Thursday, April 12, 2012

AMK Berpendapat Kerajaan UMNO/BN Tidak Ikhlas Dalam Menegakkan Hak Asasi Manusia

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
12 April 2012

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon berpendapat bahawa Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menunjukkan kerajaan tidak ikhlas dalam menegakkan prinsip hak asasi manusia malah terdapat unsur penipuan dalam proses transformasi yang diwar-warkan oleh UMNO/BN.

Walaupun Perdana Menteri seringkali bangga dengan ‘tepati janji’, tetapi dengan pindaan Kanun Keseksaan yang masukkan kesalahan berhubung kegiatan yang mengancam demokrasi berparlimen serta pindaan AUKU yang benarkan pelajar berpolitik tetapi mengharamkan politik parti dalam kampus adalah usaha yang mengelirukan. Kesemua usaha tersebut adalah taktik politik retorik murahan untuk mengaut sokongan rakyat.
Dengan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang masih mengekalkan unsur-unsur kezaliman di mana tahanan tanpa bicara, serta memberi kuasa mutlak kepada polis untuk mengumpul bahan bukti serta memintas atau gangguan maklumat komunikasi tanpa waran mahkamah.

Maka, perubahan undang-undang yang dijalankan oleh kerajaan telah menimbulkan pertikaian di kalangan masyarakat sivil serta badan-badan NGO. Mereka berpandangan bahawa kerajaan ingin mengekang ruang kebebasan rakyat serta memperluaskan kuasa untuk teruskan matlamat menjajah rakyat.

Dalam pindaan Kanun Keseksaan yang memperkenalkan 13 peruntukan khasnya Seksyen 124B dan 124C yang menghukum mana-mana individu, penerbitan atau penyebar maklumat yang terlibat dalam kegiatan mengancam demokrasi berparlimen adalah 20 tahun manakala hukuman bagi kesalahan cubaan melakukan perkara itu adalah 15 tahun.

Pindaan tersebut seolah-olah memberi kelulusan menyeluruh (blanket approval) kepada pemerintah untuk menafsirkan kegiatan mengancam demokrasi berparlimen. Tindakan tersebut bukan sahaja menyekat kebebasan bersuara dan maklumat, malah mengekang kebebesan teknologi maklumat yang sedia ada di Malaysia.

AMK menegaskan Rang Undang-undang baru serta pindaan yang dibentangkan oleh kerajaan adalah bertentangan dengan hasrat masyarakat sivil yang berjuang untuk menegakkan hak asasi manusia serta demokrasi.

Walaupun kerajaan UMNO/BN seringkali menyatakan bahawa mereka telah banyak berkompromi serta memperbaiki keadaan hak asasi manusia, namun apabila diteliti dengan isi kandungan rang undang-undang masih terdapat banyak unsur yang zalim serta penipuan yang cuba mengelirukan rakyat.

Oleh itu, AMK menyeru semua ahli parlimen dari pemerintah atau pembangkang perlu mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak dan rakyat berlandaskan konsep ‘negara yang paling demokrasi di dunia’ yang diutarakan oleh PM Najib Razak sendiri.

Semua Ahli Parlimen diphon agar tidak meluluskan rang undang-undang dan pindaan akta tersebut dalam keadaan tergesa-gesa. Perbincangan serta perbahasan yang menyeluruh perlu diadakan sebelum kelulusan dibuat. Janganlah mempergadaikan asas demokrasi dan kebebasan yang telah dibina sejak Kemerdekaan Malaysia.

No comments: