SELAMAT PULANG WIRAKU
(didedikasikan khas buat Anwar Ibrahim)
Sekali lagi matari September menjadi saksi
bahawa maha kezaliman selama merantai
penuh dongeng tuduh fitnah
kini kalah dan kerdil berdepan hakikat kebenaran
yang lama sabar menanti.
walau kelmarin dilontar seribu keji dayus
walau kelmarin dicabar seribu helah rakus
namun wiraku terus kekal terbukti dan terbilang
(simbol kebangkitan harapan satu dalam seribu).
Selamat Pulang Wiraku
kami semua sudah sedia untuk bersamamu
membawa gelombang senantiasa subur
tak lumpuh pudar atau lenyap padam.
Selamat Pulang Wiraku
datanglah dugaan, datanglah cabaran
sumpah kami adalah setia berkorban dan sedia berjuang
(kini lebih teguh, kini lebih gagah).
kerana betapa kami hayati pesanan keramat itu
masih bergema segar nadi juang dan nada amanahmu
“kalau takut dengan risiko
jangan bicara soal perjuangan.”
Selamat Pulang Wiraku
teruslah pimpin kami berjuang!
ROZAN AZEN MAT RASIP
Bukit Damansara - Ampang - Gombak
2 September 2004 - 23 April 2005
(puisi ini dideklamasikan kesekian kali di program Malam Karyawan Bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim di teratak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Bukit Damansara pada 12 Februari 2008)
menuju puncak (i)
resolusi kongres seremban usai
maka bermulalah langkah kerdil
membawa tekad teguh
mengenggam hasrat kukuh
berlari menyambut semangat
mengejar kemenangan majoriti undi
membentuk kerajaan janji perubahan
apakah ini nyata atau maya?
dan kiraan hari demi hari
terus berlalu berdetik…
ROZAN AZEN MAT RASIP
Angkatan Muda, Bahagian Batu, PKR
Bukit Damansara
31 Mei 2007
KEMENTERIAN PENDIDIKAN 2002
(sebuah puisi dokumentari)
Prolog
Bermula dari para intelek, para akademik, para linguistik
Ke Kelab dan Persatuan, Koperasi dan Kesatuan
Badan Bebas Berkecuali dan Parti Politik
sehinggalah Rukun Tetangga serta Dewan Perhimpunan
semuanya gemar bersidang dalam cemas dan risau
semuanya duduk bicara sekitar masalah
ketika pengumuman usul…
Dasar 1
memang tangis syukur dan senyum riang
lebih menghiasi debaran keputusan kertas,
memang kepuasan dan kebanggaan
lebih miliknya anak bumiputera,
dan memang perancangan berjalan teratur
setelah lepas lega merintang pusingan
meritokrasi ke puncak menara gading,
namun masih ada juga keciciran…
hanya dengan sekali rayuan
tanpa perlu bising atau tuduhan ugutan
demi perpaduan, keselamatan dan ketenteraman
segalanya diberi dengan senang lagi pantas
tanpa penat lelah atau riuh gaduh
dalam bingung, dalam hairan
ke manakah garis penentu itu,
syarat memanjat tangga institusi
mengejar kejayaan dan masa depan
ibarat perlumbaan kalah mati
siapa yang terbaik, dialah layak
tiada sebarang prejudis, tiada sebarang diskriminasi
kita wajib soal, kita wajib tanya
lakukan mihnah teliti buat inkuisi telus
mengapa mudah tunduk pada desakan
kerana mungkin esok,
dan selama – lamanya nanti,
akan kedengaran…
“…PUNCA KELEMAHAN PELAJAR IPT
MASIH DALAM KAJIAN. NAMUN KERAJAAN
TIDAK MENOLAK KEMUNGKINAN
PENURUNAN PRESTASI ADALAH AKIBAT
PERLAKSANAAN MERIKTOKRASI YANG
LONGGAR DAN TIDAK KONSISTEN.”
bukalah hati…
ini semua caca – marba
segalanya pasti haru – biru
Dasar 2
dengan teguhan dan keyakinan
mereka tampil tegas membela kedaulatan
dengan suara penuh amarah
mereka bangkit berani membawa mandat amanah
bukan kudeta, bukan tirani
cuma adab perlembagaan sistem demokrasi
sebulat suara sepenuh rasa telah usul undi
natijah bersama kemudi tinggi ilmu perlu diganti
dalam bingung, dalam hairan
pintu ilmu warisan anak watan
yang sekian lama dijaga penuh tinggi
kukuh dirantai tradisi berzaman,
telah terlepas dikompromi oleh
sandiwara integrasi, pakatan orde baru
oligarki pasca merdeka yang mudah lupa
biarlah didatangi pelbagai tindakan
biarlah diserangi pelbagai tafsiran
kita perlu lantang, kita perlu tegas
bak melempar pukulan ribut pawana
melanda dinding kuasa Putrajaya,
sesekali protes, sesekali bantah
bak meniup gelora taufan rasa amok
mara tanpa henti sepanjang jalan
ke Parlimen dengan jujur lagi yakin
kerana mungkin esok,
dan selama – lamanya nanti
akan kedengaran,
“…APA PERLU LAGI PADA HAK DAN ISTIMEWA?
SEKADAR STATUS KOSONG DAN JANJI SEMENTARA,
BAKAL HILANG BERSAMA IMUNITI INSTITUSI DIRAJA.
SEJARAH CEMERLANG AKAN DICABAR, BERUBAH TERUS
DALAM KETUANAN YANG SEMAKIN RAPUH LAGI BUTA.”
bukalah hati…
ini semua caca- marba
segalanya pasti haru – biru
Dasar 3
bagaikan wajah dan gema keranda 157 berulang
kini telah datang episod rangkaian panjang
caturan antara dasar, wawasan negara
dengan maruah martabat bahasa bangsa
dan seperti kelmarin
malam itu di balai Budaya
api dan airmata masih hidup menyala
terus panas dibakar semangat membara
menjulang dengan garang oleh obor ikrar
‘Bahasa Jiwa Bangsa’ terdengar nyaring
diseru kembali nilai kedaulatan
dalam bingung, dalam hairan
ke manakah cita – cita lingua franca
hebat dinobat serata rantau kelmarin,
usaha puluhan tahun terlempar jauh diusir
menanti kematian detik korban
dipenggal tragis dari akar jati diri
oleh bangsa yang dikenali berbudi
tidak lebih algojo belangsungkawa
kita harus sepakat, kita harus cepat
duduk bincang atau bangun lantang
ke hadapan bersama tindakan resolusi
kerana mungkin esok,
dan selama – lamanya nanti
akan kedengaran,
“…ONE PLUS TWO EQUALS THREE,
THREE MINUS ALL IS ZERO.
REPEAT AFTER ME!
EUREKA! THE WORLD IS ROUND,
IT CIRCLES THE SUN IN ITS OWN ORBIT.”
bukalah hati…
ini semua caca – marba
segalanya pasti haru – biru
Inilah kemajuan, inilah kefasihan
harapan masa muka generasi celik IT
tafsiran ekslusif pada impian realiti globalisasi
era revolusi mental, gelombang menghadapi cabaran
erti perjuangan yang belum selesai dan dilema seluruh
Hidup Melayu yang Merdeka!
ROZAN AZEN MAT RASIP
No comments:
Post a Comment