Monday, May 18, 2009

DUN Penanti: BN tidak bertanding



KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadual 31 Mei ini.

Keputusan itu dicapai sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Najib berkata, BN mengambil keputusan itu kerana kekosongan di DUN itu bukan disebabkan oleh peruntukan dalam perlembagaan, sebaliknya hanya mainan politik pembangkang.

"Kekosongan itu disebabkan PKR (Parti Keadilan Rakyat) nak selesaikan masalah dalaman, oleh kerana ia merupakan satu mainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan peruntukan Perlembagaan.

"BN lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat dan usaha memulihkan ekonomi, maka kita memutuskan supaya tidak meletakkan calon untuk bertanding pada pilihan raya kecil di Penanti" katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kira-kira dua jam itu.

Ditanya sama ada keputusan itu disebabkan BN bimbang ditewaskan, Najib berkata hal itu tidak timbul kerana parti itu tetap akan menghadapi rakyat semasa pilihan raya umum akan datang.

"Kita tidak mahu terjerumus dalam politik pembangkang sebab lepas dua tiga bulan, dia akan minta (kerusi) kawasan lain pula dikosongkan," katanya.

Berhubung sama ada keputusan itu akan mengecewakan penyokong-penyokong BN di Penanti, Najib berkata: "Saya percaya mereka akan faham. Kepentingan parti keseluruhannya lebih besar.

"Pilihan raya kecil bukan satu keperluan dan ia tidak diperuntukkan dalam perlembagaan.

"Kita masih akan berkhidmat di kawasan Penanti dan Permatang Pauh ikut saluran kita," katanya.

Najib berkata, ini bukan kali pertama BN tidak meletakkan calon untuk bertanding dalam pilihan raya kerana beliau difahamkan, ia pernah sekali berlaku pada satu ketika dahulu. Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Malah PKR juga telah mengumumkan calon mereka untuk bertanding di Penanti iaitu Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56.

Selain PKR, calon bebas, Aminah Abdullah, 56, bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

sumber : MStar Online

Tuesday, May 12, 2009

HADIAH HARIJADI UMNO YG KE 63

from MalaysianInsider

RON97 PETROL PRICE UP TO 20 SEN

PUTRAJAYA, May 12 - The price of RON97 premium petrol will be increased to RM2 per litre from Sept 1 onwards.

Domestic Trade and Consumer Affairs Minister Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob said the 20 sen increase per litre takes effect when RON95 becomes available nationwide.

RON95 petrol and Euro 2M grade diesel are expected to hit the market by Sept 1.

Former minister Datuk Shahrir Samad, had said that the prices for both upgraded fuels would be the same as the previous grades.

RON95 is a higher grade and will replace RON92 but will be sold at the same price as the lower-grade petrol.


//Zambry nak pakai petrol buat goreng roti canai..

Hakim: Nizar MB Perak yang sah - Malaysiakini


May 11, 09 3:45pm
kemaskini 8.34pm Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar sah Perak setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar, lapor Bernama.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini menteri besar boleh disingkirkan," Abdul Aziz dipetik berkata dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah menteri besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Nizar, yang dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan tersebut.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang menteri besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan menteri besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Hakim berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak melantik menteri besar, bagaimanapun seseorang menteri besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada ADUN dan tidak kepada pihak-pihak lain, lapor agensi berita itu lagi.

Dalam penghakimannya juga, Abdul Aziz - hakim ketiga di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes itu - tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan menteri besar boleh memohon bagi pembubaran DUN.

"Peguam negara berhujah bahawa menteri besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi menteri besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada menteri besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz seperti dilaporkan.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan peguam negara dan Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

"Peguam negara dan responden berhujah bahawa perkataan 'akan meletak jawatan' dalam Perkara 16(6) berupa mandatori bahawa menteri besar mesti meletak jawatan.

"Bagaimana jika menteri besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun ia mandatori, peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai bermaksud bahawa menteri besar dianggap telah meletakkan jawatan," Abdul Aziz dilaporkan berkata lagi

Beliau juga mencadangkan perkara itu dipinda bagi mengatasi kelemahan dalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Mengenai isu afidavit penasihat undang-undang Perak Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz memutuskan beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil.

"Ia merupakan pengakuannya sendiri bahawa beliau telah diarahkan oleh peguam responden untuk mengikrarkan afidavit itu. Perkataan yang digunakan amat keras.

"Bagi saya beliau bukan saksi yang berkecuali dan adil, keterangannya diwarnai dengan arahan yang diterimanya," kata Abdul Aziz yang memilih versi Nizar mengenai apa yang berlaku semasa menghadap Sultan Perak di Istana Kinta pada 4 Feb.

Hakim berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan DUN kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam dewan (apabila Pakatan Rakyat dan BN masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua ADUN PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran DUN tetapi permohonan itu ditolak.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.

Hakim itu turut mempersoalkan kenapa BN, selepas
mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari.

Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

Tuesday, May 5, 2009

Baju hitam protes sidang DUN

dari Malaysiakini

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) tidak mahu lagi berbaju kuning, ia akan melancarkan kempen berbaju hitam sempena membantah sidang DUN Perak, Khamis ini.

NGO yang terkenal dengan demonstrasi besar pada 2007 kini membawa slogan baru, "1Malaysia Gelita, Demokrasi Didahulukan, Adakan Pilihanraya Sekarang" - meniru slogan perdana menteri baru.

Jurucakapnya Faisal Mustaffa berkata Bersih menganggap slogan Datuk Seri Najib Razak itu sebagai "lawak jenaka kepada rakyat Malaysia" apabila rampasan kuasa Februari lalu membelakangkan perlembagaan.

Bersih akan mengadakan sidang media jam 10 pagi esok di Kuala Lumpur bagi mengumumkan pendiriannya tentang perkara tersebut.

Sementara itu, Speaker DUN V Sivakumar berkata beliau telah mengutuskan surat rasmi kepada Sultan Perak pagi ini, memohon baginda menangguhkan persidangan tersebut "buat sementara waktu" bagi mengelakkan insiden "yang sukar dikawal."

Beliau juga berharap persidangan DUN dapat diadakan selepas pertikaian antara menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dengan menteri besar BN Datuk Zambry Abd Kadir.

"Saya juga berasa bimbang akan berlaku perselisihan dan pertelingkahan yang sukar dikawal pada hari tersebut.

"Pada jangkaan saya, kedua-dua pihak akan bertikam lidah mempertahankan pendirian masing-masing.

Untuk menjaga keharmonian, kemuliaan dan kehormatan dewan, saya telah memohon kepada Tuanku Sultan menangguhkan persidangan ini buat sementara waktu," katanya dalam satu kenyataan.

"Saya berpendapat bahawa adalah tidak munasabah sidang dewan negeri diadakan dalam kedudukan YAB menteri besar Perak masih dalam pertikaian di mahkamah."

Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan, polis memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berhimpun berhampiran bangunan DUN itu sewaktu persidangan sedang berlangsung.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkefli Abdullah berkata polis banyak menerima maklumat terdapat pemimpin-pemimpin parti tertentu dalam ceramah mereka sebelum ini telah menyeru orang ramai supaya berhimpun di bangunan SUK dan seruan yang
sama juga didapati di laman-laman blog tertentu dan media alternatif.

"Perhimpunan tanpa permit adalah perhimpunan haram dan menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada ke atas mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram termasuk mereka yang merancang atau yang menganjurkan perhimpunan-perhimpunan tersebut," beliau dipetik berkata hari ini.

"Polis akan bertindak tegas ke atas sesiapa sahaja yang merancang atau melakukan apa-apa perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam."

Beliau juga menyeru pengguna-pengguna jalan raya tidak menggunakan jalan-jalan berdekatan dengan bangunan DUN pada hari tersebut dan menasihatkan orang ramai yang tiada kaitan dengan persidangan itu supaya tidak berkumpul dan mereka yang menerima jemputan sahaja dibenarkan masuk ke bangunan tersebut.

Zulkefli berkata satu perjumpaan antara polis dengan wakil-wakil dan ADUN PAS, PKR dan BN telah diadakan pagi tadi di ibu pejabat kontinjen Perak untuk berbincang bagi melancarkan perjalanan sidang dewan berkenaan tetapi beliau dukacita wakil parti DAP tidak turut serta walaupun telah dijemput sama dalam pertemuan tersebut.