Tuesday, April 15, 2008

Teks Ucapan Bahas Wakil AMK Wilayah di Kongres ke 4

TEKS UCAPAN BAHAS

ROZAN AZEN MAT RASIP
WAKIL NEGERI WILAYAH PERSEKUTUAN
ANGKATAN MUDA PARTI KEADILAN RAKYAT
DI KONGRES TAHUNAN KEEMPAT PKR
25 MEI 2007
DEWAN SMKJ CHUNG HWA, SEREMBAN

“DARIPADA HARAPAN KEPADA KEMENANGAN”

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Saya memohon usul supaya ucapan dasar Pemangku Angkatan Muda Malaysia, Parti Keadilan Rakyat diterima oleh Kongres.

Yang dihormati Tuan Pengerusi Tetap, para perwakilan, tetamu-tetamu kehormat dan pemerhati Kongres Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat.

Selamat Datang, salam kongres dalam semangat perjuangan reformasi.

Selaras dengan tema yang menjadi dasar perbahasan pada sidang kongres kali ini, “Daripada Harapan Kepada Kemenangan”, saya mewakili perwakilan negeri Wilayah Persekutuan Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat dengan izin masa dan ruang yang diberikan membawa tajuk perbahasan Nilai Politik Lawan Nilai Kuasa.

Sesungguhnya AMK Negeri Wilayah Persekutuan ingin membawa perhatian perwakilan suatu kelebihan, keistimewaan yang harapnya terus kekal di dalam Parti KeADILan Rakyat, iaitu nilai politik.

Kontrak Sosial –

Sejarah bangsa dan kontrak sosial,

Mesti selalu diingat dan dihayati

Janganlah alpa janganlah ingkar,

Agar negara aman, makmur abadi.

AMK Wilayah PKR Persekutuan di bumi Seremban hari ini meletak semangat toleransi dan persefahaman antara rakyat Malaysia yang terdiri pelbagai agama dan kepercayaan, latar budaya serta tingkat pendidikan sebagai agenda utama. Ini adalah agar warganegara terus menikmati suasana kualiti hidup masyarakat harmoni yang lebih progresif terbentuk.

Apabila ini dapat dicapai, ahli dan rakyat dapat berpaling dan mengesahkan AMK PKR bukan sahaja sebagai wadah politik sebaliknya ruang berdialog dan seterusnya menjadi juara dalam kesepakatan antara rakyat, lalu menemui titik persefahaman bagi keselesaan generasi anak bangsa negara Malaysia di masa hadapan.

Dalam memastikan segala asas manifesto dan dasar, keputusan resolusi dan tindakan, program - program daripada peringkat perancangan hingga perlaksanaan samada jangka masa panjang mahupun singkat AMK perlu pasti kesemuanya adalah dalam kerangka visi membentuk masyarakat madani dan berbudaya hemah tinggi.

Ini adalah agar PKR sentiasa berada dalam paksi kebenaran, sesuai dengan cita- cita mencapai impian sebagai parti politik yang matang serta direstui kerana berjiwa rakyat. PKR adalah parti rakyat. Sentiasa ikhlas membela hak rakyat tanpa sebarang kepentingan terselindung tanpa agenda tersembunyi daripada peringkat pimpinan teratas sehinggalah ahli biasa yang menyumbang sumbang saran, tenaga dan pelbagai lagi untuk AMK khususnya dan PKR umumnya.


Para hadirin –hadirat sekalian,

Kebebasan memilih -

Kebebasan adalah suatu isu yang luas pengertiannya, sensitif sifatnya, tiada nilai mutlak dalam konteks pemahaman politik sekular dan kerana itu ia kadangkala menjadi kawan apabila menyuarakan rasa hati dan pemikiran intelek, tetapi musuh di saat kepentingan diri datang dengan propaganda peribadi.

Maka apabila kebebasan ini seakan tiada penyelesaian, dengan izin consensus, maka apa yang baik untuk kemajuan parti perlu lebih didahulukan.

Ini sesuai, dengan izin Pengerusi Tetap firman Allah s.w.t. dalam konteks ini dalam surah al-Imran ayat 159 atau chapter al-Imran versus 159 bermaksud;

“Hendaklah kamu sentiasa melakukan perbincangan / syura di kalangan kamu”


Tuan –tuan sidang kongres sekalian,

Kebebasan akhbar

Pendidikan media dan komunikasi,

Perlu diubah perlu dirombak,

Perlu dipantau dinilai kembali,

Memenuhi keperluan pelbagai pihak.

Sekali lagi ditegaskan bahawa AMK PKR sentiasa bertunjangkan dasar liberal dan prinsip terbuka dalam menerima kepelbagaian pendapat, pandangan serta kritikan. Dalam usaha sebagai agen penggubah yang konsisten dan efektif, AMK memberi jaminan saksama bagi semua bentuk saluran media samada media cetak, elektronik seperti akhbar, vcd ceramah mahupun blog dan laman web untuk beroperasi dan menjalankan kerja-kerja penerbitan dan penyiaran kepada mana- mana pihak walaupun berbeza ideologi politik atau pendirian dalam sesuatu isu dari semasa ke semasa.

Slogan keadilan untuk semua, slogan natijah inilah masa perubahan yang semuanya menjadi keutamaan halatuju AMK digenggam erat teguh, dipancarkan luas yojana dalam had dan batas demokrasi yang adil dan sihat. Penuh beradab sesuai dengan tamadun modal insan acuan ahli dan penyokong AMK pelbagai ras kaum dan tingkat ilmu.

Maka dengan tujuan merealisasikan hasrat ini adalah tidak lain mengamalkan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dengan izin Tuan Pengerusi Tetap, accountability serta check and balance baik dari peringkat tertinggi hingga ke ahli bahagian. Tanpa sebarang sikap prejudis mahupun berat sebelah. Tiada sekatan tanpa sebab-musabab yang berkaitan kepentingan dan pendirian politik.

Tepat sekali sebagaimana ditekankan oleh reformis Islam terkenal, Ibn Taymiyyah, dasar amanah ini amat penting kerana dapat menjamin pihak berkuasa benar-benar menjalankan siasah atau politik yang adil, berpegang kepada sistem dan peraturan, etika dan nilai yang mulia.


Para hadirin –hadirat sidang kongres teman reformis sekalian,

Barisan Nasional (BN) pula sebaliknya meletakkan nilai kuasa sebagai kiblat kerakusan dalam menjalankan halatuju politik mereka. Ini dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai strategi kotor. Dari pelan kepentingan diri yang berselindung atas nama kepentingan rakyat, segala amalan dan nafsu nepotisme dan kronisme berlangsung sebegitu sahaja. Mengapa ini terjadi? Apakah AMK lemah? Apakah AMK kuat?

Betapa benarlah ungkapan klasik Inggeris berbunyi “might is right” (kuat/berkuasa itu benar/betul). Bertitik-tolak dari pegangan ini BN senantiasa memastikan kepimpinan dayus dan palsu mereka dikekalkan. Institusi-institusi yang sepatutnya berfungsi dalam membela kebajikan rakyat, menjamin keselamatan, menjaga integriti serta kepercayaan yang dapat kita berpaling dengan mudah diperkotak-katikkan tanpa rasa malu dan bersalah. Kehormatan terhadap semangat kedaulatan perlembagaan negara Malaysia dicabul terang – terang. SPR masih menjadi dalang upahan di dalam setiap pilihanraya. Ingin saya cabar diri saya dan saya cabar para perwakilan sekalian dan kita cabar SPR. Kita kembalikan senario dimana fenomena politik baru semasa gelombang reformasi lahir, dengan ribuan penggundi atau penyokong yang dinafikan hak undi mereka. Saya cabar kita bangkit lebih hebat dan garang. Lebih yakin dan teguh. Kita cabar SPR. Dan ini semua belum disentuh pencabulan jenayah korupsi dan moral politik dan pelbagai lagi seperti badan perundangan dan polis.

Budaya ketakutan atau culture of fear kini menjadi senjata psikologi. Baik dalaman mahupun luaran. Tindakan ganas gangsterisme seperti memukul penyokong dan wartawan, mengancam atau mengugut para pengundi, perlakuan vandalisme terhadap harta-benda tokoh dan ahli PKR ternyata mendedahkan siapa sebenarnya yang liar, biadap dan zalim.

Maka sudah terbukti jelas sebagaimana contoh rujukan terbaru dari kawasan politik pilihanraya kecil Ijok yang disebutkan dengan panjang di dalam ucapan perbahasan oleh Pemangku Ketua Angkatan Muda KeADILan Malaysia, Sdr. Shamsul Iskandar Md. Akin.


Teman reformis sekalian,

Izinkan saya memetik dua para pidato kemerdekaan 2005 tulisan Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berjudul Membangun Semula Makna Diri Malaysia.


“Demokrasi perlu dilaksanakan sebagai satu matlamat, dan juga sebagai satu instrumen untuk melaksanakan pelbagai reformasi. Apabila kita menyebut demokrasi susah pasti kita mahukan satu demokrasi yang tulen, bukan satu demokrasi yang tempang. Tidak akan ada demokrasi tanpa pilihanraya. Tetapi pilihanraya tidak akan bermakna tanpa kebebasan media. Demokrasi juga akan cacat sekiranya institusi kehakiman tidak bebas.”

“…Tidak ada guna untuk kita berbicara tentang pembangunan, sekiranya ruang kebebasan demokrasi semakin sempit, kerana pembangunan hanya akan menjadi omong kosong tanpa melalui jalan kebebasan. Tidak ada gunanya kita bercakap tentang kemajuan, sekiranya tidak lahir manusia yang bebas, kreatif dan yang mampu untuk mandiri.”


Sebagaimana tepat dan relevan hujah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan dua premisitu, warga Malaysia perlu sedar dan sentiasa semai bahawasanya demokrasi adalah pintu pada nilai politik yang bermatlamatkan reformasi. Dan pilihanraya adalah salah satu anak kunci kejayaan demokrasi yang kita hajati. Semua ini hanya akan tinggal manifesto habuk, cita politik berkarat jikalau kita biarkan segala kezaliman di luar terus berlangsung, segala kebiadapan terus berlaku, segala penipuan, rompakan tetap dilakukan dan perlakuan menconteng sejarah perjalanan politik Malaysia yang kita mahukan iaitu reformasi akan terpadam. Dalam mengakhiri perbahasan usul, izinkan dibaca sebuah puisi yang saya karang pada tahun 1999. Sebuah puisi menggambarkan suasana yang diharapkan dapat dibaca apabila kita memenangi pilihanraya.


Hari – hari Terakhir Barisan Nasional

maka dacing biru telah tumbang

tersungkur rebah lalu patah

setelah sekian lama BerBarisan, Bersatu

dimanakah dilema pemuda Melayu kelmarin?

hanyut dalam retorika?

tewas dalam realiti majoriti undi?

Oh! hapuskanlah airmata palsu kerana

Sandiwara perjuangan kini telah selesai.


Sekian, berjumpa kita dalam persidangan yang bakal melihat reformasi sebagai tunggak rakyat Malaysia.

No comments: