Monday, June 30, 2008
Siri Kisah Musang Berbulu Ayam
Musang Berbulu Ayam (Part 1)
Dua orang pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah berjaya dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor dan Pulau Pinang. Nik Nazmi Nik Ahmad dan Sim Tze Szin masing-masing telah diamanahkan untuk mewakili rakyat di DUN Seri Setia dan DUN Pantai Jerejak.
Kini khabarnya, kerusi panas Pembantu Khas Anwar Ibrahim mulai menjadi rebutan beberapa individu yang dikatakan cukup berminat untuk mengisinya. Mewarisi ‘diari merah’ sememangnya sesuatu yang paling dihajati oleh ramai anak muda yang punyai rencana untuk mengembangkan jaringan politik mereka. Menyelia jadual Anwar Ibrahim sememangnya bukan tugas yang mudah, pun begitu ianya suatu keistimewaan yang sukar dikecapi. Azmin Ali merupakan antara tokoh politik yang dahulunya bermula sebagai pemegang ‘diari merah’ Anwar.
Dan kini, selepas Nik Nazmi, saya difahamkan ‘diari merah’ menanti pewaris barunya. Saya kira ramai yang mulai mengetuk dan menempelkan diri di pejabat Anwar semenjak kebelakangan ini dalam usaha untuk mewarisi meja kerja Nik Nazmi. Ada juga yang tiba-tiba ligat menjadi peminat setia majlis-majlis ceramah Anwar walhal sebelum ini begitu taksub dengan UMNO dan Barisan Nasional. Malah ada yang cukup berani sehingga mendakwa yang dirinya kini merupakan kakitangan dan pembantu khas Anwar menggantikan Nik Nazmi.
Saya kira lingkungan kakitangan dan sekutu-sekutu yang akrab dengan Anwar harus berwaspada dalam hal ini. Dalam situasi sebegini, jelas akan ada ramai yang menunjukkan minat untuk mendampingi Anwar dan orang-orang di sekelilingnya. Beberapa orang teman turut melahirkan kebimbangan kerana kononnya terdapat individu yang cukup dicurigai latar belakangnya kini kelihatan begitu ghairah mahu dilihat sebagai sebahagian dari lingkungan tersebut.
Khabarnya ada antara mereka dahulunya merupakan individu yang terlibat secara langsung dengan Najib Tun Razak.
Barangkali sikap waspada cukup penting dalam keadaan sebegini. Jangan sampai ada musang berbulu ayam yang kemudiannya memangsakan seluruh reban sebagai santapannya.
NAJWAN HALIMI
Musang Berbulu Ayam (Part 2)
Beberapa orang teman terkejut apabila mengetahui yang saya telah melakukan tapisan terhadap ulasan-ulasan yang singgah di blog ini. Kata mereka, tindakan saya itu bakal merosakkan imej sebagai seorang pendukung kebebasan bersuara. Petang semalam, saya kembali melupuskan praktik tersebut dan kini ulasan serta komentar dalam blog ini kembali bebas tersiar.
Saya punyai alasan tersendiri dalam hal ini. Menyorot kembali entri ‘Awas! Ada Musang Berbulu Ayam’, jelas terdapat beberapa individu yang sensitif lantas melatah tanpa memikirkan kesan dan akibatnya kepada diri mereka sendiri. Saya menganggap pihak yang merasakan diri mereka ‘musang berbulu ayam’ ini sebagai terdesak dan gelisah serta kurang matang dalam berhadapan dengan realiti.
Bermula dari kesilapan mengeluarkan kenyataan, seterusnya menukar identiti melalui nama samaran, ‘musang’ yang sedang resah ini kemudiannya mengambil tindakan jahat dengan menyerang dan mencemuh peribadi beberapa individu yang sebetulnya tidak ada kaitan dengan persoalan yang dibangkitkan.
Saya suka untuk menjawab tuduhan fitnah seorang bekas ‘pemimpin’ mahasiswa (yang kandas dalam pengajiannya) yang menyebut saya sebagai penyebab kejatuhannya sewaktu beliau berkuasa sebagai seorang pimpinan kampus serta menyebabkan kehidupannya terumbang-ambing. Persoalannya, apakah saya yang menentukan hala tuju hidup individu ini? Jika benar saya punca kejatuhannya, maka saya kira hujah beliau cukup dangkal memandangkan saya hanyalah seorang mahasiswa biasa tanpa kuasa yang mampu menentukan naik turun seseorang.
Bekas ‘pemimpin’ mahasiswa (yang kandas dalam pengajiannya) ini harus merenung dirinya kembali. Urusan pemecatan dari kampus ini merupakan subjek di bawah bidang kuasa pentadbiran universiti, bukan saya.
Jika dibaca kembali entri ‘Awas! Ada Musang Berbulu Ayam’, jelas bahawa saya tidak pernah menyebut atau menuduh nama sesiapa pun, namun demikian masih ada juga seorang dua individu yang resah. Dan individu-individu resah ini kemudiannya menyerang dan mencemuh peribadi mereka yang langsung tiada kaitan dalam isu ini.
Kelab Anwar Ibrahim (AIC), sebuah organisasi anak muda yang mewacanakan idea serta pemikiran Anwar Ibrahim dijadikan sasaran fitnah dan lepas-geram individu-individu resah ini. Melalui penyamaran identiti, individu yang dikesan sebagai salah seorang pemimpin AIC ini mencemuh dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan berniat jahat yang disanggah oleh banyak pihak. Tuduhan-tuduhan jahat tanpa asas ini mengingatkan saya kepada tragedi yang menimpa Anwar hampir 10 tahun yang lalu gara-gara fitnah dan permainan kotor pihak yang tidak menyenanginya. Ini kelihatan mulai berlaku dalam AIC, melalui individu yang dikatakan diangkat sebagai pemimpin organisasi itu sendiri.
Situasi sebegini akhirnya memaksa saya untuk mengambil tindakan menapis semua ulasan yang singgah di blog ini demi memastikan tidak ada individu yang bakal teraniaya dek kerana agenda politik sempit segelintir oportunis yang rakus kuasa.
Saya menyeru kepimpinan AIC agar dipertimbangkan satu rombakan kepimpinan demi meletakkan semula objektif AIC pada landasan yang sepatutnya. Reputasi serta kredibilti AIC sebagai sebuah kelab pemikiran tidak seharusnya dipertaruhkan setaraf dengan kelab Mat Rempit ala Putera UMNO yang sarat dengan para oportunis rakus kuasa.
Barangkali benar dugaan saya.
Musang berbulu ayam mungkin wujud dalam lingkungan kakitangan di pejabat Anwar. Sama-sama kita tunggu dan lihat apa pula percaturan mereka selepas ini.
NAJWAN HALIMI
Musang Berbulu Ayam (Part 3)
Saya pernah menulis tentang ’seekor musang’ dalam beberapa entri terdahulu yang kini semakin selesa bertapak di Pejabat Anwar Ibrahim selepas mempergunakan kedudukan seorang kakitangan kanan di pejabat tersebut.
Khabarnya, ‘musang’ tersebut kini sudah mulai merencana agenda peribadinya (yang sudah saya jangka sejak tiga bulan lalu ketika terserempak dengannya dalam satu program kempen pilihanraya Anwar Ibrahim) untuk menguasai jadual dan pergerakan harian Anwar. Menurut sumber dalaman Pejabat Anwar Ibrahim, kakitangan asal yang selama ini berkhidmat menyelia jadual Anwar sudah pun meletakkan jawatan untuk menumpukan perhatian dalam pengurusan perniagaan keluarganya.
‘Sang musang’ dikhabarkan kini memulakan langkah untuk mensabotaj beberapa program yang melibatkan Anwar Ibrahim Club (AIC) serta berusaha untuk mencemar nama baik salah seorang kakitangan kanan yang baru berkhidmat di Pejabat Anwar Ibrahim.
Saya turut menerima respon daripada beberapa orang teman sekuliah berhubung dengan rancangan terbaru ‘musang’ ini yang dahulunya merupakan bekas oportunis politik di kampus. Lantaran kesibukan bermain politik ala UMNO, ‘musang’ ini kandas dalam pengajian dan disingkir oleh pentadbiran universiti.
Ketika menjelaskan kedudukan sebenar beliau di blog ini beberapa bulan lalu, ’sang musang’ menegaskan bahawa beliau akan memulakan kelas latihan penerbangan dalam bulan ini dan sekadar membantu Pejabat Anwar Ibrahim untuk kempen Pilihanraya Umum ke-12 (walhal, hakikatnya beliau antara yang cukup giat berkempen untuk Barisan Nasional secara maya pada waktu itu!). Pun demikian, sehingga kini beliau masih membayangi pergerakan Anwar dengan menonjolkan dirinya secara melampau.
Saya komited dengan pendirian saya selama ini bahawa ’sang musang’ sebetulnya mempunyai agenda serta muslihat peribadi untuk terus kekal di Pejabat Anwar Ibrahim. Oportunis licik ini cukup terkenal sebagai individu rakus kuasa dan taksub publisiti sewaktu di kampus suatu masa dahulu. Amanah dan tanggungjawab yang diberi dilayan seakan-akan ‘kuda tunggangan’ untuk dirinya meraih glamor dan populariti.
Bayangkan sekiranya Anwar Ibrahim memikul amanah kepimpinan negara dalam waktu terdekat ini, apakah rakyat mampu menerima hakikat bahawa ada antara kakitangan pejabatnya merupakan individu oportunis, seorang rakus kuasa yang tidak memiliki dukungan akademik yang selayaknya?
Saya yakin, kebijaksanaan Anwar bakal menidakkan agenda licik ’sang musang’ hingusan ini!
NAJWAN HALIMI (Riwayat Hayat Blog)
*Saya tidak kenal Saiful tetapi saya kenal Najwan Halimi. Dia menulis di dalam blognya tanpa selindung. Pro dan kontra. Kami sama-sama menyertai pertandingan blog anjuran Frierich Nauman Foundation dan dia merupakan juara pertandingan itu. Kami pernah berjumpa ketika Seminar Blog dengan kerjasama Blog Bugs di bawah tajaan FNF, July 2007. Dengan pendedahan ini diharap Najwan berhati-hati kerana saya tidak hairan jika ancaman bunuh seperti yang berlaku ke atas DS Anwar akan berlaku ke atas adik Najwan juga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment