Wednesday, June 25, 2008

Suara Keadilan Mohon Terbit Dua Kali Seminggu

Kenyataan Media
25 Jun 2008

Suara Keadilan Mohon Terbit Dua Kali Seminggu

Lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan akan mengemukakan permohonan untuk penerbitan dua kali seminggu dalam masa terdekat agar maklumat parti dapat disebarkan dengan lebih meluas dan pantas.

Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) meluluskan permohonan akhbar rasmi PAS, Harakah seharusnya konsisten dan berlaku adil terhadap semua akhbar parti, termasuk Suara Keadilan yang kini mempunyai edaran sebanyak 100,000 naskhah.

Suara Keadilan yang diluluskan permitnya oleh KDN pada 20 April lalu telah menyaksikan peningkatan yang mendadak dalam edarannya dalam dua bulan ini.

Pencapaian ini menggambarkan permintaan yang tinggi terhadap berita berkenaan perjuangan Parti dan kepimpinan Anwar Ibrahim, khususnya di kawasan luar bandar hasil daripada penambahan pengedar dan penjual akhbar ekoran kelulusan permit.

Maka dengan perkembangan politik yang baru selepas Pilihanraya Umum ke-12, di mana Pakatan Rakyat menguasai lima buah negeri dan bertambahnya pengaruh Pembangkang dalam Dewan Rakyat, adalah perlu Suara Keadilan menambahkan kekerapan penerbitannya, di samping menyaji berita dan analisa yang menyeluruh dan berkualiti.

Lidah rasmi KeADILan mula diterbitkan sejak Jun 2005 dengan dua minggu sekali. Permohonan permit telahpun dikemukakan kepada KDN ketika itu namun tidak mendapat sebarang jawapan selama tiga tahun. Berpuluh-puluh surat pertanyaan telah dihantar ke KDN dan satu memorandum telah diserahkan kepada Suhakam, namun masih terdapat ramai pengedar diintimidasi dan beribu-ribu nashkah Suara Keadilan dirampas oleh KDN kerana status permit yang tidak jelas selama ini.

TIAN CHUA
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat
Ahli Parlimen Batu, WP

1 comment:

Anonymous said...

Setuju sangat2, kalau boleh harian pun boleh, boleh update berita tentang PKR dan Pakatan Rakyat dengan lebih terkini.

Ayuh rakan2 sertai perhimpunan 6 Julai ini di AMCORP MALL P.J untuk PROTES harga minyak kerana kita sudah GERAMM. Kita berjuang hingga ke titisan minyak yang terakhir. Silalah ke http://www.GERAMM.org untuk tandatangan tanda protes kenaikan harga minyak.

Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru