Friday, July 18, 2008

AMK Kecam Penahanan Anwar Ibrahim Secara Biadap

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

16 Julai 2008

AMK Kecam Penahanan Anwar Ibrahim Secara Biadap

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras tindakan pihak polis yang menggunakan kaedah kasar dan biadap untuk menahan Dato’ Seri Anwar Ibrahim awal petang ini.

Penahanan Dato’ Seri Anwar oleh hampir 30 anggota polis termasuk pasukan komando polis lengkap bertopeng seolah-olah menyamai skrip konspirasi penahanan Dato’ Seri Anwar pada September 1998.

AMK membidas tindakan pihak polis yang langsung bercanggah dengan arahan melalui Waran Tangkap yang dikeluarkan oleh pihak polis sendiri pada 14 Julai lepas, dalam keadaan Dato’ Seri Anwar telah menyatakan kerjasama beliau melalui persetujuan dengan DSP Jude Pereira untuk hadir tepat jam 2 petang hari ini.

Kenyataan Pengarah CID, Datuk Bakri Zinin bahawa ‘polis mempunyai alasan untuk percaya bahawa Dato’ Seri Anwar tidak akan hadir ke IPKKL’ seperti dilaporkan di laman web The Star petang ini adalah satu kenyataan yang bersifat spekulasi dangkal dan AMK menggesa beliau memberikan justifikasi mengenai kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini.

Penahanan Dato’ Seri Anwar melalui kaedah ganas dan biadap ini adalah bercanggah dengan hak asasi manusia, dalam keadaan polis sendiri memungkiri peruntukan yang digariskan oleh mereka melalui waran tangkap ke atas Dato’ Seri Anwar.

AMK percaya ini adalah sebahagian daripada intimidasi politik yang dirancang oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat.

Justeru AMK menggesa pihak polis membebaskan Dato’ Seri Anwar pada kadar segera tanpa sebarang alasan.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: