Saturday, July 5, 2008

Categorized | News Mari berhimpun beramai-ramai di Kelana Jaya, Ahad ini - Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Hrkh) - “Pakatan Rakyat berpandangan rakyat perlu diberikan ruang untuk mengeluarkan pendapat dan berkumpul bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga minyak dengan begitu drastik tanpa alasan kukuh,” kata pemimpin Pakatan Rakyat Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Rakyat juga diseru agar menyertai perhimpunan aman pada hari 6 Julai ini dan dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan provokasi pihak luar.

Pakatan Rakyat juga memaklumkan bahawa perubahan lokasi perhimpunan bantah kenaikan harga minyak dilakukan atas nasihat pimpinan Pakatan Rakyat, yang diputuskan selepas mesyuarat di rumah Anwar Ibrahim, semalam.

Menurut kenyataan bersama Setiausaha Agung parti komponen Pakatan Rakyat, pertukaran lokasi tersebut dilihat berdasarkan perkembangan suasana politik semasa.

Kenyataan media itu ditandatangani Anwar, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaffar; dan Setiausaha Agung KeADILan, Datuk Salehudin Hashim.

Sementara itu, jurucakap Protes, Moon Hoi, ketika dihubungi mengesahkan pertukaran tersebut, bagaimanapun pengisian program tersebut tidak berubah.

Pelbagai program akan diadakan, termasuk solat hajat perdana selepas Isyak yang dijangka akan diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Nik Abd Aziz Nik Mat.

Difahamkan, selain Anwar, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah mengesahkan untuk turut serta dalam perhimpunan itu. - mr_

No comments: