Friday, July 25, 2008

"Dah sampai masa rakyat bangun" Fauzi




Oleh Bernama
Khamis, 24 Julai 2008

KL: Datuk Fauzi Abdul Rahman, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Fauzi, 62, membuat pengumuman itu di Ibu pejabat PKR dengan diapit Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya beliau meninggalkan Umno, yang disertai pada 1966, kerana sudah hilang keyakinan kepada parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional dan kepimpinannya.

"Saya meninggalkan politik secara aktif lima tahun lepas tetapi senario politik semasa telah memaksa saya kembali semula.

Saya fikir sudah sampai masanya rakyat Malaysia bangun. Apa pun saya sudah berehat terlalu lama , katanya pada sidang akhbar.

Ahli politik veteran itu pernah menuntut bersama Anwar di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Fauzi yang pernah menerajui Umno Bahagian Kuantan dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan pada 1990 sehingga 1995 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Tanah dan Koperasi (1995-1997) sebelum menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (1997-1999).

Menjawab soalan, Fauzi berkata beliau tidak menganggap dirinya sebagai orang buangan Umno kerana beliau masih mendapat sokongan daripada penyokongnya di dalam parti itu.

"Sebenarnya, penyokong saya mahukan saya bertanding dalam pemilihan Umno bahagian tahun ini tetapi saya menolaknya," katanya.

Sementara itu, Anwar mengulangi kenyataannya bahawa tempoh yang ditetapkannya untuk parti pembangkang membentuk kerajaan baru tidak berubah walaupun berdepan dengan tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu yang menyaksikan pembangkang menawan empat negeri -- Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor selain Kelantan yang sudah berada di tangan Pas, Anwar berkata gabungan parti pembangkang, PKR, PAS dan DAP, akan menubuhkan kerajaan pusat pada 16 Sept.

Anwar berkata PKR juga sedang berbincang dengan PAS dan DAP berhubung "pilihan raya kecil tidak lama lagi" yang akan ditandingi beliau sebelum melangkah ke Parlimen.

Menjawab soalan, Anwar berkata ramai lagi anggota Umno akan menyertai pembangkang " tetapi kami akan membuat lebih banyak kejutan dari semasa ke semasa".

Berhubung muzakarah di antara PAS dan UMNO seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lepas, Anwar berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk mempersoalkan kejujuran PAS.

"Saya tidak sangsi dengan komitmen PAS. Saya tidak nampak sebarang masalah yang bakal mendatang," katanya.

No comments: