Wednesday, July 9, 2008

Khairy Jangan Jaja Modal Politik Murah

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

8 Julai 2008

Khairy Jangan Jaja Modal Politik Murah

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) ingin mempertikaikan keikhlasan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang semakin galak menunjukkan belangnya menjelang Perhimpunan Agung Umno yang akan datang.

Usaha beliau untuk berterusan mencabar Dato Seri Anwar Ibrahim supaya bersumpah dengan menjunjung Al-Quran untuk menafikan penglibatan beliau di dalam salahlaku seks ciptaan Umno adalah satu usaha terdesak beliau untuk menonjolkan diri beliau sebagai calon Ketua Pemuda Umno yang kredibel dan radikal, walhal beliau sendiri menerima undi tidak percaya di kalangan akar umbi Pemuda Umno di Bahagian Rembau.

Cabaran Khairy hanya memalitkan imej beliau di saat Dato Seri Anwar sendiri telah menyatakan komitmen untuk melawan kes ciptaan Umno ini habis-habisan dan bersedia mengemukakan pembuktian dan alibi yang kukuh dan sahih.

Di sebalik cabaran murahan beliau,apakah beliau sanggup turut sama bersumpah bahawa beliau tidak terlibat dalam pelbagai skandal penyelewengan ekonomi dan politik yang melibatkan ‘tingkat 4′ Pejabat Perdana Menteri? Apakah Khairy berani bersumpah bahawa beliau tidak menerima sebarang laporan perisikan tentera berkenaan kes pembunuhan mendiang Altantuya Shaariibuu?

AMK mempertikaikan keikhlasan Pemuda Umno dan Khairy khususnya yang mahukan prosedur pembuktian mengikut lunas Islam dilakukan sekarang, sedangkan Umno sendiri sebelum ini memperlecehkan hukum Islam dan hukum Al Quran.

Apakah Pemuda Umno kini mahu mengheret kesucian Islam dan Kitab Al Quran untuk menjadi modal politik murahan mereka sedangkan mereka sebelum ini begitu bersungguh menjaja pemisahan Islam dan politik?

Justeru adalah diingatkan supaya Khairy terlebih dahulu menyahut seruan AMK sebelum ini yang menggesa Najib Tun Razak, Musa Hassan dan Abdul Gani Patail untuk turut sama bersumpah mengikut syarat yang digariskan mengikut hukum syarak berbanding mencemuh dan mencela orang lain.

AMK suka untuk menasihatkan Khairy agar kembali ke pangkal jalan dan lebih menumpukan usaha beliau memperbaiki nasib masyarakat Rembau berbanding menonjolkan imej politik murah yang ditolak majoriti rakyat Malaysia.

Haji Ramlan Roes
Exco
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: