Jimadie Shah Othman (Malaysiakini.com)
Sekumpulan seniman dan budayawan yang bergiat aktif dalam gerakan reformasi 1998 mengambil inisiatif menubuhkan sebuah persatuan untuk "memperjuangkan suara-suara rakyat".
"Dengan penubuhan Paksi, kita berharap suara seniman akan lebih didengar. Kita juga harap ia menjadi medan memperjuangkan suara-suara rakyat," kata pengerusi penajanya Dinsman.
Idea penubuhan persatuan ini pada peringkat asalnya digerakkan oleh 40 seniman yang bermesyuarat dan berbincang selama dua hari di Shah Alam awal Jun lepas.
Hasil pertemuan itu, mereka sepakat menamakan persatuan itu Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan manifesto menyatakan pendirian mereka dinamakan Manifesto Seniman Rakyat turut dirangka dalam pertemuan itu.
Manifesto itu menyebut, antaranya, seniman juga sebahagian "rakyat yang dijajah, diperbodoh dan dinafikan hak untuk menggarap karya yang mengangkat kerohanian, kesejahteraan dan kemanusiaan."
Turut disebut: "Kami 'Seniman Paksi Rakyat' bertekad untuk menggarap dan merayakan karya-karya seni yang membebaskan minda dan jiwa rakyat yang terkongkong sejak sekian lama.
"Sekali gus menyokong semua bentuk perjuangan rakyat yang merentasi batas-batas kaum dan agama, mendukung kebenaran, menegakkan keadilan sosial dan menentang segala bentuk penindasan."
Penyajak terkenal dan aktivis teater Dinsman, atau Samsuddin Othman, berkata, kumpulan ini didukung oleh pelbagai pihak seperti penyanyi, pengarah filem, pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan kurator.
Mereka yang terlibat di peringkat awal penubuhan badan ini termasuklah Hishamuddin Rais, Azizi Abdullah, Ainon Mohd, Anual Bakri Haron, Zunar, Pyanhabib, Amir Muhammad dan Ahmad Lutfi Othman.
Persatuan ini sekarang dalam proses memohon kelulusan Pendaftar Pertubuhan.
Laman webnya dan logonya dirasmikan oleh menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, Jumaat lalu di Kelana Jaya, Selangor.
Sehari selepas majlis perasmian itu, Paksi mengadakan seminar pertama membincangkan peranan penulis yang turut dijayakan oleh naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Tan Sri Nordin Kardi, mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan editor sastera terkenal Sutung Umar RS.
Laman web Paksi boleh diakses di www.paksi.org dan blognya di www.paksi.esasterawan.net.
No comments:
Post a Comment