KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Debat di antara Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Penerangan Dato' Shabery Cheek baru-baru ini turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana membenarkan debat antara Pembangkang dan Kerajaan namun baginya ia bukanlah satu pertandingan yang adil.
"Shabery sangat kurang pengalaman didalam bidang yang mana Anwar adalah jaguh iaitu bercakap. Perkara yang didebatkan pula sudah pasti meletakkan Kerajaan didalam keadaan tertekan.
"Apabila Shabery menimbulkan apa yang telah dikatakan oleh Anwar mengenai saya pada masa lampau, ianya telah sedikit sebanyak menjejaskan kredibiliti Anwar. Tetapi adalah jelas bahawa Shabery gementar," kata Mahahtir dalam blognya.
Baginya Anwar boleh meyakinkan terutama kepada mereka yang mahu mempercayainya malah Media Barat telah membuat kesimpulan bahawa tuduhan terkini terhadap Anwar adalah sama dengan agenda politik yang lama yang dibuat untuk menghalangnya menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu rata-rata pemerhati dan responden melihat persembahan pembukaan Menteri Penerangan itu sebagai berjalan lancar dan berada di landasan yang betul dalam mempertahankan dasar kerajaan.
Namun setelah agak lama, beliau kelihatan agak tersasar dan lebih tertumpu kepada serangan peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat Dato' Seri Anwar Ibrahim malah dengan tidak semena-mena cuba membangkit nostalgia lama Anwar memperjuangkan isu Baling pada 1974.
Shabery serang peribadi, Anwar pertahan nasib rakyat
"Saya lihat Anwar tidak berubah. Masih lagi mengambil kesemepatan atas kesempitan hidup rakyat," begitulah kira-kira antara ungkapan Shabery kepada Penasihat KeADILan itu.
Shabery terus menerus mengungkit latar belakang Anwar sebagai Timbalan Perdana Mneteri yang tidak berbuat apa-apa semasa berada di dalam kerajaan tetapi 'pandai bercakap' bila berada di luar dan menjadi pembangkang.
"Senanglah cakap. Dulu masa saudara menggerakkan massa, berdemostrasi Baling kata yang kaya menjadi kaya, yang miskin papa kedana," kata Menteri Penerangan itu dan dijawab secara seloroh dan sinikal oleh Anwar :"Betul tu."
Pemerhati debat juga kesal isu fitnah terhadap Anwar yang kononnya menjadi 'pak turut' IMF dalam krisis ekonomi negara ditimbulkan semula dalam debat tersebut malah menuduh Anwar membawa rakyat ke jalan raya demi mencapai matlamatnya.
"Kenaikan harga minyak sekarang adalah mengikut perskripsi IMF," begitulah bidasan tajam Anwar kepada Shabery.
Malah Anwar juga mencuit dan meruntun rasa rakyat apabila menyatakan perbezaan antara subsidi dan insentif yang dilaungkan oleh kerajaan selama ini.
"Kalau untuk menyelamat dan bantu pedagang-pedagang, korporat dipanggil insentif tetapi kalau untuk rakyat dipanggil subsidi. Perkataan subsidi itu seperti negatif," antara petikan kata-kata Anwar
Rata-rata pemerhati politik dan rakyat bawahan yang memberi maklum balas menyatakan berpuas hati dengan perdebatan semalam khususnya hujah Anwar yang dilihat tertumpu dan menekankan isu membela nasib rakyat berikutan kenaikan mendadak melampau harga minyak di negara ini.
Ini berbeza dengan Shabery yang menyenaraikan 'kesalahan' lampau Anwar dan menyerang secara peribadi tanpa sebarang hujah dan fakta yang jelas demi menjatuh kredibiliti tokoh yang telah membuat 'come-back' dalam landskap politik negara.
Malah lebih mengejutkan dan dikagumi ramai ialah tindakan Anwar yang tidak menyerang balas hujah dangkal Sahbery tersebut.
"Biarlah dia serang peribadi saya. Saya tak akan balas kerana ini bukan platformnya. Malah Shabery ada banyak ruang media lagi untuk berbuat demikian, saya selepas ini tidak ada peluang," demikian antara kata akhir Anwar dalam Debat tersebut.
Tidak syak lagi, sesiapa pun mengakui Anwar ternyata hebat dalam berpidato beserta dengan nada, intonasi, retorik dan kecekapannya mencantas hujah lawan manakala Shabery pula dilihat boleh berhujah tetapi mula terbawa-bawa dengan emosi dalam mengemukakan hujah.
Perdebatan di Balai Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam dianjurkan oleh Agendadaily atas tajuk " Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" menyaksikan kehadiran kira-kira 300 hadirin dengan moderatornya Dato'Johan Jaafar.
Pihak TV9,TV3,Astro Awani,Bernama TV dan Radio 24 telah merakamkan serta menyiarkan secara langsung debat itu untuk tontonan 27 juta rakyat Malaysia yang terhimpit berikutan kenaikan harga minyak ini. Syabas untuk semua! _
No comments:
Post a Comment