Thursday, August 14, 2008

Najib umum Adun Seberang Jaya sebagai calon BN

Mohd Sabri Said
Wed | Aug 13, 08 | 10:34:55 pm MYT

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Hrkh) -Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, Dato' Arif Shah Omar Shah akan mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak menyatakannya sebentar tadi di Permatang Pauh ketika melancarkan jentera BN bagi pilihan raya kecil itu malam ini di Pusat Konvensyen Sunway Carnival.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan pengunduran penyandangnya Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga penasihat parti itu Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Pilihan nama beliau sekaligus mengenepikan calon sebutan Ketua Bahagian Permatang Pauh, Dato' Abdul Jalil Abdul Majid serta bekas Imam besar Masjid Negara, Dato' Pirdaus Ismail.

Bagi orang ramai di Permatang Pauh pemilihan namanya bertanding ke kerusi Parlimen umpama 'serah leher' untuk dicantas oleh rakyatnya sendiri.

Ini kerana, selama ini namanya memang tidak disenangi oleh orang nombor satu dan dua dalam bahagian sehingga menyisihkan peranannya ketika menjawat jawatan Ketua Penerangan Umno Bahagian dua penggal lalu.

Walaupun beliau merupakan calon popular di kalangan rakyat di Dun Seberang Jaya apabila berjaya mengekalkan dua penggal berturut-turut pada tahun 2004 dan 2008 setelah namanya diambil untuk menggantikan calon sebelumnya, Dr Radin Mohamad Amin Radin Haji Hadi Munir yang memenangi Dun tersebut tahun 1999.

Namun, selepas beliau berkeras mahu bertanding di Seberang Jaya ramai kalangan rakan taulannya 'lari malam' kerana tidak menyukainya memandangkan tempat itu menjadi pilihan Dato' Jalil sebab lebih selamat daripada Dun Penanti.

Kini jelas usaha segelintir puak dalaman Umno telah berjaya membawa Dato' Arif Shah ke muka perangkap bagi menghapusnya terus daripada agenda politik Umno Permatang Pauh ekoran sikapnya yang peramah dan tidak melebelkan bukan Umno sebagai rakan dan sahabat.

Usaha itu hampir menjelma dan sebagai rakyat yang prihatin semuanya kena berikan sokongan yang lebih pada calon Pakatan Rakyat supaya Permatang Pauh berjaya menjadi titik mula Dato' Seri Anwar ke Putrajaya menjelang 16 September 2008 akan datang. - mks._

No comments: