10 Sep 2008 11:15AM
KETIKA tinggal kurang seminggu, Pakatan Rakyat mengubah tarikh mencapai sasaran membentuk kerajaan persekutuan? Jawapannya nampak menjurus ke arah itu berdasarkan kenyataan terbaru Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
Kata beliau, sasaran 16 September bagi membentuk kerajaan yang baru boleh dianjak ke satu tarikh yang lain jika wujud masalah yang boleh menghalang proses peralihan kuasa seperti yang dirancang.
"Walaupun kita sudah ada sasaran iaitu pada 16 September, tapi gambaran setakat ini hasil perbincangan bersama PAS dan DAP, tarikh itu boleh kita anjak... kalau tak jadi 16 haribulan mungkin 20 haribulan kerana tarikh itu juga ada sejarah.
"Tapi saya fikir dalam keadaan sekarang adalah susah bagi mereka (kerajaan Barisan Nasional) untuk gagalkan kehendak dan kebangkitan rakyat," kata beliau semasa menyampaikan ucapan selepas majlis solat tarawih dan hajat di rumahnya di Bukit Segambut malam tadi.
Anwar menyatakan demikian sehari selepas pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan hampir tiga jam pagi kelmarin susulan pertemuan informal lebih dua jam di ibu negara Ahad lalu.
Ketika ditemui semalam, beliau menjelaskan bahawa perancangan untuk membentuk kerajaan berjalan dengan lancar.setakat ini.
Bagaimanapun malam tadi Anwar berkata, perbincangan secara terpeinci akan diadakan bersama pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP bagi meneliti sebarang risiko yang bakal terjadi.
"Esok saya perlu ikuti prosedur mahkamah. Jadi kemungkinan pada sebelah petangnya atau hari berikutnya kita akan bermesyuarat mengenai persediaan kita menghadapi 16 September," katanya.
Anwar, bekas Timbalan Perdana Menteri akan muncul di Mahkamah Sesyen Jalan Duta di sini esok bagi mendengar sebutan semula kes liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 23.
Anwar mengumumkan pelan sasaran 16 September enam bulan lalu iaitu sejurus selepas pilihan raya umum ke-12 diadakan.
Tambah beliau, jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan lompat parti menyertai Pakatan Rakyat sudah mencukupi.
"Jumlah mereka kita sudah ada. Tapi disebabkan mereka pergi lawatan 'menghayati Ramadan' di Taiwan kita perlu tunggu dahulu," katanya.
Menurut beliau lagi. ada antara Ahli Parlimen BN yang menyertai lawatan tersebut telah berjanji kepadanya untuk meneruskan matlamat mereka meninggalkan BN.
"Saya ada dapat maklumat bahawa mereka yang pergi itu tidak dibenarkan pulang sebelum 16 September bagi mengahalang sasaran kita," katanya.
Dalam pada itu KLpos sebelum ini melaporkan berita 'terbalik kot' yang mendakwa dua orang MP Pakatan akan melompat ke Umno.
Khabarnya wakil rakyat ini mewakili parlimen di Kelantan. Satu dari PAS dan satu dari PKR.
Menurut blogger 'Kapak Jangak' yang dikendalikan oleh Ramli Abdul Halim, dua ahli parlimen berkenaan akan sertai Umno dan pengisytiharan penyertaan mereka akan dibuat pada 1 Oktober nanti.
Beliau yang juga penerbit akhbar Mingguan Wasilah mendakwa menerima satu panggilan yang memberikan maklumat terpeinci mengenai isu lompat tersebut.
"Pemanggil berkenaan memberikan nama dan biodata penuh kedua-dua ahli parlimen itu dengan seorang daripadanya adalah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagaimanapun saya tidak akan menyiarkan nama mereka berdua buat masa ini", dakwa Ramli dalam blognya.
"Faktor yang mendorong kedua-duanya memilih menyertai Umno adalah bagi memastikan kedudukan kerajaan Umno/BN di pusat terus kukuh dan sekaligus untuk menidakkan dakwaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan yang ada akan bertukar tangan kepada PKR dan beliau yang akan jadi perdana menteri", tambah beliau lagi.
Ramli turut mendakwa pemanggil tersebut memberitahu tidak ada sebarang tawaran harga, jawatan atau pujuk rayu dari mana-mana pemimpin Umno negeri atau pusat yang menyebabkan mereka terdorong mahu menyertai Umno.
Sebaliknya keputusan itu dibuat atas pilihan sendiri demi masa depan agama, bangsa dan negara tercinta dan permohonan rasmi untuk menyertai Umno dikatakan telah pun dibuat dan keduanya kini menunggu keputusan sama ada permohonan mereka diterima atau ditolak.
"Dakwanya, selain dari kedua-duanya, beberapa orang ahli parlimen lain lagi, termasuk dari Pas akan turut sertai Umno, malah ada beberapa ahli dewan undangan negeri juga turut akan berbuat demikian", dakwa Ramli lagi didalam blog tersebut.
Sementara itu penulis politik terkenal Mohd Sayuti Omar yang mengulas isu ini didalam blognya Merah Tinta mendakwa alasan Ramli itu sedap didengar tetapi ada sedikit unsur retorik.
"Saya tidak perlu siasat mengenai laporan berkenaan. Sebagai seorang pengamal media dan menjadi penganalisa kecil politik, mudah saja untuk memberi gambaran atas laporan berkenaan.
Walaupun laporan itu tidak mustahil, tetapi apakah munasabah dalam keadaan semua orang bersemangat tinggi untuk melihat BN jatuh tiba-tiba ada orang seperti dua ahli Parlimen itu hendak menyertai Umno", kata Sayuti didalam blognya.
Sayuti turut menyangkal laporan tersebut dengan memberi alasan langkah menyertai Umno ketika ini adalah langkah songsang dan hanya mereka yang kabur saja bersedia untuk mengikuti Umno.
"Umno dalam keadaan seperti hari ini saya tidak fikir ada orang ingin mencemarkan maruahnnya untuk bergelumang di dalam parti berkenaan yang disifatkan oleh Rais Yatim sebagai tidak berbudaya Melayu lagi itu. Saya rasakan kalau rakyat begitu tinggi semangat dan keazamannya hendak lihat BN jatuh, apatah lagi dengan ahli-ahli Parlimen. Mereka tentu lebih bersemangat lagi untuk melihat realiti itu.", tambah Sayuti lagi.
Beliau berpendapat orang yang memberi maklumat kepada Ramli ada agenda tersendiri. Mungkin beliau menggunakan ruang untuk mencuri tumpuan orang dan menimbulkan kegemparan kecil.
Di akhir tulisannya Sayuti tidak menolak kemungkinan pemberi maklumat kepada Ramli itu sudah pun menghubungi akhbar-akhbar dan media eletronik berkenaan.
Namun kerana kesahihannya dan nilai beritanya boleh diketawakan orang maka ia tidak disiarkan. / KLpos, Mstar
Tarikh 20 September juga ada sejarah
No comments:
Post a Comment