Thursday, October 16, 2008

AMK Kecam Tindakan Zalim Polis Rempuh Kampung Baru Plentong Tengah

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

16 Oktober 2008

AMK Kecam Tindakan Zalim Polis Rempuh Kampung Baru Plentong Tengah

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras tindakan polis yang bertindak biadap merempuh dan menyerang penduduk kampung tanpa mengira batasan umur secara ganas dan zalim di mana menyaksikan 10 buah rumah dirobohkan di Kampung Baru Plentong Tengah Johor hari ini.

Apa yang sangat dikesalkan ialah kebiadapan pihak polis yang memukul dan mengasari masyarakat setempat termasuklah warga emas,golongan wanita dan kanak-kanak kecil.

Meski permohonan penduduk untuk memohon penangguhan perlaksanaan pemusnahan kampung di Mahkamah Tinggi Johor Bahru telah ditangguhkan ke 29 Oktober 2008, pihak pemaju dengan dibantu oleh pihak polis dan beberapa samseng upahan telah bertindak mengasari hampir 100 warga kampung dan meroboh hampir 10 buah rumah. Warga emas yang cedera telah dibawa oleh AMK dan Pakatan Rakyat untuk mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

AMK kesal kerana dalam masa yang sama Menteri Besar Johor sedang menjamu para Exco dan Adun Umno-BN tanpa mempedulikan nasib warga kampung yang tertindas teruk di sini.

Adalah sangat malang bagi rakyat negeri Johor tatkala mereka masih dicanang kubu kuat Umno-BN,tetapi tidak seorang pun pimpinan Umno-BN yang berada bersama warga Kampung Plentong Tengah untuk mempertahankan hak mereka daripada diragut oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab.

AMK menggesa penjelasan segera diberikan oleh Ketua Polis Negara dan Menteri dalam Negeri mengenai kebiadapan pihak polis yang sangat bertentangan dengan hak asasi manusia dan di luar norma kewarasan fikiran.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: