Thursday, January 8, 2009

AMKWP Kesal Tindakan Polis Memprovokasi Penyokong Pakatan Rakyat.


Seperti apa yang berlaku di Permatang Pauh, jurugambar akhbar dibelasah. Namun kali ini agak berbeza dan janggal sama sekali. Kami sempat menyaksikan provokasi yang dilakukan oleh pihak polis terhadap para penyokong Pakatan Rakyat yang sedang berkumpul dalam kawasan Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Pada awalnya sudah diberikan jarak 100 meter antara kedua-dua pihak di atas jalanraya. Memandangkan kehadiran penyokong Pakatan Rakyat melebihi bilangan penyokong BN. Maka limpahan penyokong terpaksa bertaburan di kawasan hospital terbabit. Mereka hanya berdiri dan duduk untuk melihat serta mendengar pengumuman daripada pengurus pilihanraya.

Namun entah mengapakah, angin tak ada hujan tak ada. Pihak polis tiba-tiba mengganas dan menggempur para penyokong pembangkang. Mereka dihalau macam "budak-budak" agar menjauhkan diri daripada "batu sempadan" dengan penyokong BN. Keletah yang ditunjukkan oleh pihak polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) jelas sekali amat memalukan.

Mereka menahan orang ramai yang mahu lalu lalang dikawasan terbabit. Bahkan mereka terus menggasak penyokong Pakatan Rakyat supaya berundur. Walhal kesesakan telah berlaku di bahagian belakang. Lebih teruk lagi, pasukan FRU juga "mengamuk" dan berkawal di laluan awam untuk ke hospital termasuk juga di Wad Pesakit Luar.

Kelihatan seolah-olah mereka menyerang "hospital" pula. Senario ini jelas sekali "membingungkan" sebahagian besar doktor, nurse, kakitangan hospitak serta para pesakit dan pelawat yang berkunjung ke situ. Mereka menggasak penyokon Pakatan Rakyat hingga jarak lebih 500 meter dari jarak sempadan 100 meter yang telah dihadkan. Anehnya, pihak polis tidak pula "mengganyang" para penyokong BN.

Kami sempat mendengar rintihan beberapa orang penyokong Pakatan Rakyat yang mengatakan cara dan apa yang dilakukan oleh pihak polis itu samalah seperti Zionis (Israel) di tebing barat. Mereka telah meletakkan batu sempadan dan pagar keselamatan. Namun dalam masa yang sama mereka juga terus mengganas dan menakluki tanahair bumi Palestin tanpa belas kasihan.

Apa yang dilakukan oleh pihak polis terhadap penyokong Pakatan Rakyat itu, seolah-olah sama dengan Zionis. Mujurlah dipenghujung waktu, terlihat kelibat Exco Selangor dari PAS iaitu YB Dato' Dr.Hassan Ali. Kami sempat beramah mesra dengan Hassan Ali disitu. Kelihatan beliau memperkatakan sesuatu dengan pihak polis bagi meredakan keadaan yang sedang hangat ketika itu.

1 comment:

Amir Hamzah said...

Teruskan laporan panjang! kalau nak lagi power, ko poskan gamba sekali