Friday, January 16, 2009

Pegawai pengurus tarik diri kendali pilihan raya Kuala Terengganu

[DIKEMAS KINI 9 MALAM] KUALA TERENGGANU: Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim yang menjadi kontroversi ekoran dakwaan PAS bahawa beliau meraih undi untuk calon Barisan Nasional (BN), menarik diri daripada mengendalikan pilihan raya kecil tersebut berkuatkuasa hari ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pukul 8.20 malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa pihaknya telah menerima surat penarikan diri Mat Razali sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya mulai hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ngah Senik berkata, pihaknya telah mengadakan mesyuarat berhubung keputusan Mat Razali itu dan setelah memperhalusi pelbagai sudut permohonan penarikan diri itu, SPR bersetuju untuk menerima keputusan tersebut.

Justeru kata beliau, selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 3 (C) dan 5 (1) (a), Akta Pilihan Raya 1958, SPR melantik Wan Mustafa Wan Hassan sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang baru.

Wan Mustafa merupakan Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan juga salah seorang daripada enam penolong pegawai pengurus pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

Bagaimanapun kenyataan SPR itu tidak menyatakan sebab beliau menarik diri.

Dalam reaksi segera, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abd. Muttalib Embong berkata, pihaknya hanya mahukan seorang pengurus pilihan raya yang bebas dan kelihatan bebas.

Ketika ditanya sama ada pihaknya menyambut baik perkembangan itu, beliau berkata, PAS akan menilai situasi tersebut.

PAS yang semalam mendakwa Mat Razali meraih undi untuk calon BN hari ini menggesa SPR menangguhkan hari pengundian Sabtu ini jika perlu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu pilihan raya kecil kerusi Parlimen ini ditangguhkan sementara suruhanjaya memutuskan pengganti Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

“Jika wujud implikasi undang-undang dalam pelantikan Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang baru, SPR wajar menangguhkan pilihan raya kecil ini,” kata Wan Abd. Muttalib Embong di Markas PAS Kuala Terengganu pagi tadi.

Semalam, Mat Razali yang merupakan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ketika dihubungi mStar Online menafikan yang beliau telah berkempen meraih undi dengan meminta kakitangan MBKT supaya mengundi BN Sabtu ini.

Menurut Wan Abd. Muttalib, selain pertemuan pagi semalam di bangunan MBKT, Mat Razali juga dikatakan ‘berkempen’ untuk BN dalam tiga majlis berasingan secara berturut-turut iaitu Ahad, Isnin dan Selasa lalu.

Jelas Mat Razali semalam, selaku Datuk Bandar MBKT, beliau hanya menerangkan dasar-dasar kerajaan pada majlis taklimat yang diadakan pagi semalam.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,229 orang pengundi dan daripada jumlah itu, kira-kira tujuh peratus merupakan kakitangan awam.-Mstar

——————–
Isu RO: PAS mahu SPR tangguh pilihan raya kecil jika perlu

KUALA TERENGGANU: PAS yang semalam mendakwa Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim meraih undi untuk calon Barisan Nasional (BN) hari ini menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan hari pengundian Sabtu ini jika perlu.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu mahu pilihan raya kecil kerusi Parlimen ini ditangguhkan sementara suruhanjaya memutuskan pengganti Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

“Jika wujud implikasi undang-undang dalam pelantikan Pegawai Pengurus Pengurus Pilihan Raya baru, SPR wajar menangguhkan pilihan raya kecil ini,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abd. Muttalib Embong di Marks PAS Kuala Terengganu hari ini.

Wan Abd. Muttalib berkata, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Ibu Pejabat SPR dan Pejabat Pilihan Raya Terengganu di sini awal pagi ini.

“SPR perlu menggugurkan Mat Razali sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya. Jika perlu, tangguhkan pilihan raya,” katanya.

Semalam Mat Razali ketika dihubungi mStar Online menafikan yang beliau telah berkempen meraih undi dengan meminta kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu supaya mengundi BN Sabtu ini.

Menurut Wan Abd. Muttalib, selain pertemuan pagi semalam di bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mat Razali juga dikatakan ‘berkempen’ untuk BN dalam tiga majlis berasingan secara berturut-turut iaitu Ahad, Isnin dan Selasa lalu.

Jelas Mat Razali semalam, selaku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, beliau hanya menerangkan dasar-dasar kerajaan pada majlis taklimat yang diadakan pagi.

“Tanggungjawab sebagai Datuk Bandar, saya selalu mengadakan pertemuan dengan kakitangan saya… majlis mingguan, majlis bulanan, esok pun ada taklimat juga.

“Misalnya semalam ada majlis Hari Kualiti yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri. Dalam pertemuan hari ini, saya menjelaskan kepada mereka (kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) tentang dasar-dasar kerajaan sebagai majikan,” katanya beliau.

Bagaimanapun tegas Mat Razali, beliau sama sekali tidak meminta kakitangannya “memangkah” BN.

Wan Abd. Muttalib menjelaskan, pihaknya juga akan membuat laporan polis petang ini.

“Kami telah meminta peguam-peguam kami agar menguruskan laporan polis,” katanya.

Petang semalam laporan berhubung perkara itu dibuat oleh Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Ketika ditanya sama ada PAS turut membuat petisyen hari ini, Wan Abd. Muttalib berkata, pihaknya tidak berbuat demikian hari kerana masa suntuk untuk mahkamah bertindak dengan segera.

“Hari ini hari Khamis, hari terakhir kerja minggu ini dan esok cuti, dan Sabtu adalah hari pengundian… mungkin mahkamah tidak dapat dengar kes ini dengan segera,” katanya.
Kata beliau, tindakan Datuk Bandar itu bertentangan dengan Seksyen 32 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Kawasan Parlimen Kuala Terengganu mempunyai 80,229 orang pengundi dan daripada jumlah itu, kira-kira tujuh peratus merupakan kakitangan awam.-Mstar

——————–
RO nafi raih undi, PAS kemuka petisyen mahkamah hari ini

KUALA TERENGGANU: Pengurus Pilihan Raya kecil Kuala Terengganu, Datuk Mat Razali Kassim menafikan yang beliau telah berkempen meraih undi dengan meminta kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu mengundi Barisan Nasional (BN) Sabtu ini.

Ketika dihubungi mStar Online lewat petang semalam, Mat Razali berkata, selaku Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, beliau hanya menerangkan dasar-dasar kerajaan pada majlis taklimat yang diadakan pagi.

“Tanggungjawab sebagai Datuk Bandar, saya selalu mengadakan pertemuan dengan kakitangan saya… majlis mingguan, majlis bulanan, esok pun ada taklimat juga.

“Misalnya semalam ada majlis Hari Kualiti yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri. Dalam pertemuan hari ini, saya menjelaskan kepada mereka (kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu) tentang dasar-dasar kerajaan sebagai majikan,” katanya beliau.

Bagaimanapun tegas Mat Razali, beliau sama sekali tidak meminta kakitangannya “memangkah” BN.

“Semuanya tak betul… itu hak mereka ,” katanya.

“Saya menjelaskan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan dan terserah kepada mereka sama ada mahu mengundi calon BN atau calon PAS,” katanya.

Mat Razali juga berkata, kemungkinan apa yang dinyatakan oleh beliau telah disalahertikan oleh kakitangannya yang terdiri daripada peringkat bawahan.

Difahamkan taklimat pagi ini dihadiri oleh kakitangan peringkat sokongan.

Pagi semalam, PAS menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggugurkan Mat Razali daripada terus mengepalai urusan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu atas alasan Pengurus Pilihan Raya itu telah ‘menyalahgunakan’ kedudukan beliau untuk mempengaruhi kakitangannya supaya mengundi BN.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Wan Abd. Muttalib Embong pada sidang media di Markas PAS Kuala Terengganu di sini.

Wan. Abd. Muttalib berkata, pihaknya telah menerima maklumat bahawa Mat Razali telah meminta kakitangan pihak berkuasa tempatan itu mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh pagi semalam.

Setakat pukul 8 malam semalam, PAS belum membuat laporan polis dan aduan kepada SPR.
Laporan berhubung perkara itu dibuat oleh Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) pukul 4.25 petang.

Timbalan Ketuanya, Fariz Musa berkata, selaku anggota Pakatan Rakyat pihaknya membuat aduan dan menyerahkan kepada PAS untuk mengambil tindakan susulan.

Wan Abd. Muttalib ketika dihubungi sebentar tadi memberitahu, pihaknya akan mengemukakan petisyen di mahkamah pagi esok untuk meminta agar Mat Razali digugurkan sebagai Pengurus Pilihan Raya.

“Peguam-peguam kami sedang menyediakan dokumen dan petisyen akan difailkan esok (hari ini),” katanya.

Kawasan Kuala Terengganu mempunyai 80,229 orang pengundi dan daripada jumlah itu, kira-kira 10,000 orang merupakan kakitangan awam.-Mstar

No comments: