Thursday, February 19, 2009

MB Haram Perak Bersama 6 EXCO Digantung Hadiri Sidang DUN.


Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir daripada menghadiri sidang dewan selama 18 bulan, manakala kesemua enam exconya digantung selama 12 bulan.

Keputusan itu diumumkan oleh Speaker DUN Perak V Sivakumar selepas selesai bersidang hari ini.

Perkembangan terbaru ini akan melontarkan Perak ke dalam satu lagi krisis, selepas Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri awal bulan ini.


Semalam, Dr Zambry memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut berhubung kenyataannya terhadap Speaker Sivakumar.

Beliau dan enam exconya dirujuk ke jawatankuasa itu berhubung dakwaan mereka telah menghina DUN apabila mengangkat sumpah jawatan Selasa lalu.

Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Turut dipanggil memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan adalah dua wartawan, masing-masing daripada akhbar The Star dan Sin Chew Daily.

Jawatankuasa itu dipengerusikan Sivakumar dan dianggotai enam Adun iaitu Datuk Hasbullah Osman (Temenggor) dari BN manakala lima lagi daripada pakatan pembangkang iaitu Husin Din (Selingsing), Chan Ming Kai (Simpang Pulai), Ong Boon Piow (Tebing Tinggi), Loke Chee Yan (Kepayang) dan Sum Chok Leng (Bercham).

Di samping itu, Perak juga dilanda khabar angin bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelapang, Hee Yit Foong telah meletak jawatan.

Sebelum ini, beliau bertindak keluar dari DAP dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN.

Bagaimanapun, seorang pemimpin DAP ketika dihubungi menafikan perkara itu.

No comments: