SERANGAN GEREJA – NGO TURUT BERTANGGUNGJAWAB
Oleh : ROZAN AZEN MAT RASIP
Tanggapan khalayak perhimpunan aman 8 Januari 2010 sebagai kemuncak protes serta pengakhiran terhadap konflik keputusan awal mahkamah membenarkan permohonan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh akhbar rasmi Gereja Katolik Malaysia ‘Herald The Catholic Weekly’. Namun isu ini terus berlarutan tahap lebih kritikal dengan berita insiden serangan bahan letupan api berbahaya terhadap 3 buah gereja di Lembah Klang. Semuanya berlaku dalam tempoh 24 jam menjelang perhimpunan.
Ketika tulisan ini dihasilkan, telah dilaporkan 12 jenayah siri serangan gereja seluruh negara dalam tempoh 7 hari (tidak termasuk sebuah kuil Sikh berusia 66 tahun terletak di Sentul, Kuala Lumpur). Terkini polis mengesahkan Gereja Katolik St. Elizabeth di Kota Kecil, Johor telah disimbah cat merah awal pagi 14 Januari. Rekod menunjukkan secara purata 2 kes berlaku setiap hari.
Vandalisme berkait agama ini dipandang serius oleh ramai disebabkan menjejaskan citra Malaysia dengan rakyat pelbagai agama-bangsa. Ianya bukti kukuh pluraliti negara majmuk kita sebenarnya rapuh dan senang tergugat. Segala usaha pembentukan identiti dan kesefahaman terutamanya pasca 13 Mei 1969, dan kini pula 1Malaysia dibawah Perdana Menteri Najib Razak layak ditanggapi hanya kosmetik dan langsung nihil konstruktif.
Ramai yang mempertikai pihak kerajaan dan PDRM yang tampak tiada petunjuk arah serta membiarkan suasana tanpa kawalan. Kenyataan media oleh Najib Razak membenarkan perhimpunan protes manakala ISA akan digunakan dalam situasi sebelum dan selepas serangan membuktikan BN sememangnya tidak menghiraukan sensitiviti masyarakat secara keseluruhan sejak isu kalimah ini tercetus.
Respon beberapa pihak yang dijangka memainkan peranan pendamai serta membantu memberi pandangan menyeluruh berbentuk akademik dalam konteks perbandingan agama sebaliknya amat pasif dan mengecewakan. Turut dikesali adalah penglibatan badan-badan bukan kerajaan (NGO) termasuk kalangan mahasiswa sebagai teraju utama perhimpunan. Disini penulis berpendapat bahawa NGO secara hakikatnya perlu diletakkan sebagai pihak yang turut bertanggungjawab dengan tercetusnya insiden ini.
Penulis tidak menolak kemungkinan NGO terlibat tersasar arah. Begitu juga dengan kumpulan mahasiswa terutama berlatarbelakangkan pendidikan Islam yang sepatutnya lebih bersikap matang dan tidak berpihak. NGO secara ideal berfungsi sebagai salah satu saluran berkecuali, bebas menyuarakan pandangan juga perlu diimbangi perspective of judgment mereka. Mahasiswa pula tidak boleh terperangkap dalam provokasi dan perlu menggelak menjadi proksi pada mana-mana parti politik dengan agenda sempit, berkepentingan terutama isu perkauman-agama. Tindakan mereka dalam menyokong perhimpunan aman dianggap sebagai terburu-buru kerana dialog dan forum interaktif boleh memainkan peranan lebih efektif mengkaji rational sensitiviti.
Termasuk dalam penilaian adalah faktor kronologi pra-insiden. Khalayak terlebih dahulu dimaklumkan beberapa hari sebelum kejadian serangan pada 6 Januari keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar menangguhkan perlaksanaan keputusan judisiari yang terlebih dahulu berpihak pada ruangan Bahasa Melayu akhbar terbitan The Archbishop of Kuala Lumpur Petaling Jaya ini. Seharusnya keputusan rayuan ini diterima, dihormati kerajaan mahupun NGO Islam sebagai alternatif sementara meredakan sentimen. Kerajaan (BN) dan NGO harus memikul tanggungjawab moral dalam mengembalikan kepercayaan setelah gagal menjaga keselamatan.
Dari kacamata politikal, menarik bagi renungan adalah siri serangan gereja ini secara umumnya tidak berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Pulau Pinang dan Kelantan. Juga agak menghairankan bagi negeri-negeri dengan kadar populasi seimbang berlainan agama dan kepercayaan, terutamanya Islam dan Kristian seperti Sabah dan Sarawak, sebaliknya memperlihatkan mood yang lebih terkawal.
Maka persepsi umum mendakwa UMNO sebagai dalang dalam usaha membangkitkan sentimen perkauman amat menyakinkan secara luaran. Jelas membuktikan masih tebal pola perkauman yang wujud dikalangan rakyat Malaysia dibawah pentadbiran BN. Juga mesej kegagalan total dasar 1Malaysia tiada upaya fungsional menarik minat rakyat yang bertambah bijak dalam penilaian politik mereka.
Penulis adalah graduan UIAM ijazah Sains Politik. Kini aktivis politik sepenuh masa dan pensyarah bebas. Diamanahkan jawatan Ketua AMK Cabang BATU dan Naib Ketua AMK WP.
No comments:
Post a Comment