Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi ditangguhkan ke jam 9.30 pagi esok.
Penangguhan ini bagi mendengar permohonan peguam utama, Karpal Singh yang memohon Hakim Datuk Mohamad Zabidin Md Diah dilucutkan daripada mendengar perbicaraan itu.
Pihak pembelaan dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan hakim Mohamad Zabidin kerana enggan mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas Utusan Malaysia pada perbicaraan kes itu.
Ia dikatakan berhubung dengan tajuk utama Utusan Malaysia yang menggunakan perkataan 'lagi' dalam laporannya tempoh hari yang menjadi pertikaian oleh pihak pembelaan.
Selain itu, sekeping gambar dengan penerangannya juga dijadikan bahan pertelagahan kedua-dua pihak.
Perbicaraan yang memasuki hari keempat hari ini sepatutnya bermula dengan pihak pembelaan menyoal balas Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pasukan peguam Anwar diketuai oleh Karpal dan dibantu oleh Param Cumaraswamy, CV Prabhakaran, SN Nair, Ram Karpal Singh Deo, Marisa Regina Fernando dan Mohd Razlan Jalaluddin.
Saiful, 25, bekas pembantu peribadi Anwar, adalah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula pada Rabu lalu di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin.
Anwar, 63, penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Dia dituduh mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit kesalahan.
Perbicaraan itu berlangsung selepas 18 bulan, Anwar pertama kali dihadapkan ke mahkamah pada Ogos 2008.
No comments:
Post a Comment