Wednesday, March 10, 2010

MAZLAN ALIMAN SUDAH JADI HERO UTK FELDA

Niat beliau ingin membantu para peneroka daripada terus ditipu oleh FELDA. Kini beliau menjadi tahanan apabila di dakwa menceroboh kawasan FELDA. Agak pelik juga, bukannya masuk rumah orang cuma kawasan FELDA, kawasan yang bebas diterokai, bukannya buat jenayah. Begitulah nasib seorang pejuang menentang arus, pasti ada geloranya, kalau pandai berenang, pasti dapat menghadapinya sehingga ke daratan. Walaupun apa-apa pun, kita memanjat doa kepada yang Maha Esa, semoga beliau akan selamat keluar dari Neraka Dunia tersebut.

Dipetik dari http://www.malaysiakini.com/news/126169

Mazlan Aliman ditahan reman
Salhan K Ahmad
Mac 10, 10
4:20pm

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman hari ini ditahan reman sehingga esok berhubung siasatan terhadap laporan polis yang mendakwa berlaku pencerobohan jenayah di sebuah kawasan rancangan Felda.

Hakim mahkamah majistret Raub, Siti Hajar Mustaffa mengeluarkan perintah tersebut hari ini. Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS pusat ditahan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Raub, Pahang.

Peguam Haris Abdullah berkata beliau percaya anak guamnya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan itu ketika mengadakan sesi dialog dengan peneroka semalam.


"Polis kata Mazlan disiasat di bawah Seksyen 445 (Kanun Keseksaan) tetapi seksyen itu tidak menyebut kesalahan kerana ia seksyen hukuman," kata Haris ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, Mazlan ditahan pada kira-kira jam 11.30 malam tadi selepas diambil keterangan oleh polis di IPD tersebut.

"Dia ditahan selepas membuat satu laporan polis di balai yang sama," katanya lagi.

Haris berkata, Mazlan membuat laporan berhubung satu kekecohan yang berlaku di tempat Mazlan mengadakan dialog dengan peneroka Felda Lembah Klau.

"Dialog itu diadakan di dalam sebuah rumah. Pemilik rumah itu sendiri yang pelawa beliau adakan dialog di situ, jadi dia tidak perlukan permit.

"Kemudian berlaku kekecohan apabila datang seorang pegawai Felda untuk halang dialog tersebut," katanya mengulas kejadian yang berlaku pada kira-kira jam 3.30 petang semalam

Menurut Haris lagi, Mazlan kemudiannya bersama pemilik rumah dan seorang peserta dialog itu pergi membuat laporan polis ke IPD Raub.

"Polis kemudian ambil keterangan daripada Mazlan, pemilik rumah dan seorang lagi peneroka di situ sehingga pukul 11.30 malam," katanya.

Katanya, sebelum itu, satu laporan polis telah dibuat di balai yang sama, mendakwa Mazlan telah menceroboh kawasan Felda terbabit.

Berikutan itu, polis menahan Mazlan untuk disiasat.

Sebelum ini, Mazlan selaku presiden ANAK telah menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 24 Februari lalu, berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi, diskriminasi dan dakwaan berlakunya penipuan oleh Felda

No comments: