Wednesday, March 3, 2010

NAJIB VS MUHYIDDIN

BERBALAH DENGAN NAJIB, PORTAL MUHYIDDIN TUTUP - Free Malaysia Today

Persaingan politik antara kem Muhyiddin Yassin dan bos beliau Najib Razak dilihat semakin meruncing apabila laman web Muhyiddin itu ditutup sejak seminggu lalu, selepas dilancarkan baru dua bulan.

Laman sesawang rasmi milik Muhyiddin, www.my-malaysia.com.my, ditutup tanpa sebarang notis setelah ia dilancarkan pada Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri, 30 Januari lalu.

Ketika dihubungi, seorang pegawai pejabat Muhyiddin mendakwa portal tersebut mengalami masalah teknikal dan mendakwa ia akan diaktifkan semula dalam “sedikit masa.”

Namun “kehilangan” laman web itu tetap menimbulkan spekulasi bahawa ada sesuatu yang tidak kena antara Najib dan Muhyiddin.

Beberapa pihak beranggapan portal itu samada diarah tutup oleh pihak tertentu dalam Jabatan Perdana Menteri atau digodam oleh pihak upahan kem pro-Najib.

Portal yang membawakan tema “MY Malaysia – Muhyiddin Yassin Untuk Malaysia” itu membawa aspirasi dan buah fikiran orang nombor dua dalam kerajaan itu.

Namun beberapa pihak di dalam dan luar Umno melihat isi pandangan Muhyiddin itu bercanggah dengan konsep-konsep yang dicanang oleh Najib menerusi slogan Satu Malaysia.

Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan laman web Muhyiddin dilenyapkan akibat “dua pemimpin itu
mempunyai pandangan berbeza dan ingin membawa dasar masing-masing dalam pentadbiran negara.

“Perkara ini sudah diduga awal kerana Najib dan Muhyiddin “tidak boleh bertemu muka”. Mereka dilihat tidak seiring dalam banyak perkara.

Kelompok Muhyiddin tidak senang dengan monopoli kumpulan Najib dalam membuat keputusan dan ini dilihat beberapa kali apabila Muhyiddin bercanggah pendapat dengan Najib,” kata beliau.

Abdullah Sani beranggapan perpecahan dalam Umno dan Barisan Nasional sudah mencapai tahap kritikal dan rakyat hanya menunggu masa untuk melihat pemberontakan besar-besaran oleh kem Muhyiddin terhadap Najib.

“Kem Muhyiddin tidak berpuas hati terhadap banyak perkara. Contohnya isu Ku Li dan royalti minyak di mana amaran diberi kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu datang daripadad Muhyiddin bukannya Najib,” kata beliau lagi.

Keretakan yang melanda Umno-BN semakin jelas kata Abdullah Sani sambil menambah Muhyiddin dan Najib “tidak boleh duduk sekapal”. Najib dan Muhyiddin dilihat tidak sebulu sejak era mereka berdua bersama dalam Pergerakan Pemuda Umno lebih dua dekad lalu. Ketika itu Najib menerajui Pemuda Umno sementara Muhyiddin sebagai Exco kanan.

“Muhyiddin menganggap beliau exco paling kanan dalam Pemuda Umno ketika itu dan merasakan tidak perlu tunduk kepada Najib yang lebih muda dan “junior” dalam politik.

“Jadi antara beliau dengan Najib sentiasa ada perasaan tidak senang sehinggalah apabila beliau menjadi timbalan kepada Najib,” kata Abdullah Sani lagi.

Pertelagahan antara Najib dan Muhyiddin telah hangat diperkatakan dalam blog serta laman web politik sejak Ahli Parlimen Pulai itu menyandang sebagai timbalan dalam kerajaan dan parti.

Muhyiddin dianggap bercita-cita tinggi dalam politik dan ramai menjangkakan Timbalan Presiden itu akan mencabar Najib untuk jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti 2011 nanti.

No comments: