PETALING JAYA 11 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pihak polis menyoalsiasat beliau berhubung siri ceramah yang beliau sampaikan kepada rakyat sebagai langkah terdesak Perdana Menteri sehingga terpaksa memperalat polis untuk mengugut pimpinan Pakatan Rakyat.
Anwar hari ini didatangi tiga pegawai polis dari Pulau Pinang dan dua dari Cawangan Khas Bukit Aman untuk menyoalsiasat beliau berhubung ucapannya di empat majlis Pakatan Rakyat di Pulau Pinang bulan lalu. Anggota polis tersebut tiba di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana, Petaling Jaya kira-kira pukul 11.25 pagi.
Menurut Ketua Umum KEADILAN itu tindakan keras polis beberapa minggu ini terhadap pimpinan Pakatan Rakyat merupakan satu bentuk ugutan yang dilakukan atas arahan politik Perdana Menteri.
Tegasnya Pakatan Rakyat membantah sekeras-kerasnya tindakan Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa memperalatkan polis untuk mengganggu perjalanan proses demokrasi di negara ini.
“Soalnya mengapa Najib dan Rosmah memilih tekanan begini keras. Saya jawab tentunya kerana rasa terdesak. Pemimpin otoritar atau diktator di mana-mana sekalipun sebaik merasakan kesan kemarahan rakyat akan memilih cara ganas dengan memperalatkan institusi pemerintah termasuk polis untuk menekan dan mendera rakyat.
“Kalau ini caranya saya nak bagi jaminan bagi pihak Pakatan Rakyat, ia sedikitpun tidak mengganggu kita.
“Soalnya yang dikaitkan dalam laporan polis itu kerana menyentuh isu pembunuhan Altantuya, enjin jet pesawat hilang, isu kapal selam Scorpene, kenapa pula isu ini jadi masalah kepada polis, ini adalah isu politik, biar kita tangani dengan cara politik,” kata beliau pada sidang akhbar selepas memberi keterangan kepada pihak polis.
Walau bagaimanapun Anwar berkata beliau telah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis semasa sesi soalsiasat itu namun berharap pihak polis menjalankan tugas mereka secara profesional.
“Saya lihat sikap polis di peringkat ini tidak ada masalah, mereka hanya menjalankan tugas. Sebab itu saya memilih bersikap baik dan sopan manakala mereka juga bersikap baik dan sopan terhadap saya. Tetapi bantahan kita ialah terhadap ganggguan polis yang telah diperalatkan oleh pimpinan Umno.
Tambah Anwar jika beliau disabitkan dengan tuduhan dan didapati bersalah, beliau berhadapan dengan sabitan hukuman penjara, denda atau hukuman terlucut jawatan sebagai anggota Parlimen.
“Puluhan siasatan dilakukan, kalau tanya apa yang berlaku, kalau ikut hukum dan bersandarkan keterangan, tidak ada kesalahan dilakukan, negara Malaysia ini harus ikut negara hukum, bukan hukum rimba.
“Ini muslihat jahat pimpinan politik tetapi saya tidak fikir semudah itu kerana kita akan pertahankan dan lawan sekiranya ada pertuduhan di mahkamah nanti,” tegasnya.
Selain beliau beberapa lagi pimpinan Pakatan Rakyat turut disiasat sebelum ini termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang Lim GUan Eng, Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub serta Naib Presiden KEADILAN Sivarasa Rasiah.
Anwar disiasat di bawah seksyen 112, Kanun Acara Jenayah berhubung empat laporan polis yang dibuat terhadap beliau mengenai kandungan ceramah beliau di Kampung Baru (Bukit Mertajam), Batu Maung, Kepala Batas dan Kubang Semang, Pulau Pinang.
Tiga laporan itu dibuat oleh pihak polis dan satu dari orang awam bersabit siri ucapan yang disampaikan di tiga majlis sambutan Tahun Baru Cina dan satu ceramah anjuran Pakatan Rakyat.
Sumber: Suara-Keadilan
Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia
No comments:
Post a Comment