Friday, April 2, 2010

ANAK MAHATHIR YANG TAK RETI EKONOMI

Apabila Mukhriz bercakap macam pengerusi JKKK

Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Prestasi pembangunan di Kedah amat mengecewakan sejak dua tahun Pakatan Rakyat memerintah Kedah. Demikian dakwa Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.

Sebelum ini seorang menteri Pusat yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, turut mendakwa kononnya Kedah negeri mundur. Ucapannya itu telah mendapat tempelakan dari seluruh rakyat Kedah termasuk dari penyokong dua bekas Perdana Menteri yang sebelum ini datangnya dari Kedah.

Mungkin akibat menyedari kenyataannya yang tidak disenangi oleh rakyat Kedah, maka menteri yang ‘afdhal lagi sempurna’ itu menjadi malu dan takut untuk datang ke sini sehingga memaksa beliau mengadakan mesyuarat perhubungan Umno Kedah di Sabah.

Kini, anak bekas Perdana Menteri pula yang bercakap soal prestasi pembangunan di Kedah. Jika benarlah bagai didakwa, maka jelaslah bahawa Ahli Parlimen Jerlun itu belum sedar bahawa terdapat dua kerajaan yang memerintah Kedah; iaitu Pakatan rakyat di peringkat negeri dan BN di peringkat Pusat. BN juga bertanggungjawab dalam soal pembangunan bagi setiap inci bumi Malaysia kerana mereka adalah pemerintah Pusat.

Sebagai menteri Pusat, Mukhriz patut bertanya diri sendiri apa yang dia buat selaku menteri demi pembangunan rakyat negeri Kedah. Tak usahlah fokuskan untuk Kedah, besar sangat. Fokuskan Jerlun terlebih dulu.

Sejak beliau dilantik jadi timbalan menteri, kawasannya sendiri Jerlun pun tidak berjaya dibangunkan. Dengan status menteri yang ada padanya sepatutnya dia berjaya membawa masuk pelaburan yang besar-besar untuk memberi peluang pekerjaan kepada penduduk Jerlun.

Sekalipun projek besar mungkin melibatkan kelulusan dari pihak negeri kerana urusan tanah dan sebagainya, tetapi tiada masalah dalam hal tersebut kerana Menteri Besar Kedah seorang yang terbuka dan bertoleransi dengan Pusat.

Mungkin juga Mukhriz berfikir bahawa jika projek-projek untuk kebaikan rakyat dibuat oleh beliau di Jerlun mahupun Kedah, maka kerajaan negeri yang akan dapat kredit, isu itu bukan persoalan besar. Sedia dimaklumi bahawa semua projek kerajaan Pusat dilabelkan ‘Projek ini adalah sumbangan Kerajaan Persekutuan’ dan diletakkan logo dacing di atasnya. Letaklah logo dacing dan wajah Mukhriz di setiap projek yang mahu dibuatnya jika itu menjadi simbol ‘keikhlasan dan tanggungjawab’ kerajaan BN. Rakyat tidak akan berkata apa-apa kerana sudah biasa dengan situasi keriyakan BN itu.

Persoalan besarnya mengapa Mukhriz tidak buat? Bercakap berdegar-degar menghentam kerajaan negeri walhal diri sendiri mahupun kerajaan sendiri (Pusat) tidak berbuat apa-apa.

Apa yang dibuat oleh Mukhriz di Jerlun hanyalah turun ke kampung menghulur beras, gula dan kopi. Kalau setakat menteri turun nak hulur beras, lebih baik dia letak jawatan dan cari jawatan lain yang lebih rendah. Rasanya Pengerusi JKKK adalah jawatan yang lebih layak untuk beliau berdasarkan tindakan dan pandangan sempitnya berhubung isu pembangunan di Kedah.

Yang bertungkus-lumus membawa masuk pelaburan ke Kedah hanya kerajaan negeri saja. Hujung tahun lalu, pelaburan bernilai 1 Billion dari First Solar masuk ke Taman Teknologi Tinggi Kulim. Angka itu menjadikan Kedah sebagai negeri keempat di negara ini dari segi jumlah pelaburan masuk.

Di pihak mereka, bukan setakat gagal membawa masuk pelabur tetapi juga cuba membuat onar untuk menghalang kemasukan pelabur. Baru-baru ini Pemuda BN mengadakan perhimpunan haram di hadapan Wisma Darul Aman kononnya berlaku krisis air di Kedah, walhal tidak berlaku seperti digembar-gemburkan. Jika terdapat pelabur yang terpengaruh dengan dakyah BN itu pastinya mereka akan takut untuk datang melabur.

Di awal pemerintahan kerajaan Pakatan dua tahun lalu, para pelabur dan bakal pelabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim cuba dipengaruhi pihak tertentu supaya meninggalkan Kedah kerana negeri ini diperintah oleh Taliban. Mujur kebanyakan mereka datang sendiri mendapatkan maklumat sebenar dari Menteri Besar, maka tidak jadilah mereka melarikan diri kerana ‘takutkan Taliban.’

Baru-baru ini Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Kedah mengadakan demonstasi menuntut ahli-ahli persatuan itu diberi peluang mendapat tender projek landasan keretapi berkembar yang dibuat oleh syarikat Gamuda bernilai RM13 Billion. Walaupun 60 peratus daripada projek itu dijalankan di Kedah, tapi kontraktor dari Kedah khususnya Bumiputera tidak dapat merasa sesen pun dari projek yang besar itu. Projek tersebut adalah projek Pusat dan Gamuda adalah syarikat kroni pemimpin Umno, tapi kontraktor Bumiputera di Kedah jangankan nak merasa ‘kuah’, ‘tulang’ pun tak dapat. Menteri-menteri dari Kedah termasuk Mukhriz buat apa?

Satu lagi isu yang disebut anak Dr. Mahathir itu ialah kononnya kerajaan negeri gagal mengeksploit aset pelancongan, misalnya Langkawi. Dia bercakap tidak berlandaskan fakta kerana ternyata selepas setahun Pakatan mengambil-alih kerajaan kedatangan pelancong ke pulau lagenda itu bertambah dari 2,303,098 orang (2008) kepada 2,492,692 orang (2009). Pelbagai program menggalakkan pelancongan dibuat oleh kerajaan negeri, walhal Majlis Tindakan Pelancongan yang ditubuhkan oleh pusat di negeri ini nampaknya tidak berbuat apa-apa. Mungkin mereka khuatir jika pelancong ramai ke Kedah maka kerajaan negeri juga yang akan dapat nama. Lagi-lagi ‘nama’ yang difikirkan, buat kerja kerana undi bukannya ikhlas nak jaga kepentingan rakyat.

Dalam satu program promosi pelancongan yang diadakan di Singapura, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kedah tidak menyertainya. Jika sudah enggan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mempromosikan negeri ini di mata pelancong, lebih baik Majlis Tindakan Pelancongan negeri-negeri di bawah negeri Pakatan ditutup saja. Buat apa nak beri gaji buta kepada mereka kerana duit gaji itu datangnya dari rakyat bukannya dari tabung Umno.

Isu besar yang melanda pemimpin Umno Pusat, khususnya yang datangnya dari Kedah, ialah mereka masih tidak sedar bahawa mereka juga bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat Kedah, bukan kerajaan negeri semata-mata. Lantaran itu mereka mencari jalan untuk menyalahkan negeri dalam apa jua isu yang berlaku di Kedah.

No comments: