Tuesday, April 6, 2010

Ayuh Nyahkan Pengaruh Zionis Dari Malaysia

Angkatan Muda Keadilan Malaysia

6 April 2010

Ayuh Nyahkan Pengaruh Zionis Dari Malaysia

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) hari ini mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dua individu berhubung pendedahan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen pada 30 Mac lepas bersabit perkaitan Apco Worldwide Sdn Bhd dengan pimpinan Zionis, Israel.

Kedua individu tersebut ialah Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO, Dato' Sri Najib Tun Razak dan juga Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Keterlibatan kedua individu ini secara langsung ataupun tidak memberikan impak yang sangat besar buat negara, dalam konteks keselamatan khususnya. Apatahlagi pembuktian konkrit di Parlimen mengenai perkaitan tokoh Zionis di dalam Apco yang dilantik sebagai perunding komunikasi Malaysia langsung tidak dinafikan secara imperikal oleh mana-mana pihak daripada kerajaan Malaysia khususnya UMNO.

Dato' Sri Najib sebagai pemimpin negara seharusnya sedar akan risiko yang diambil dengan membenarkan Apco terlibat untuk menasihati beliau dalam hal ehwal komunikasi dan ‘image building’, pun begitu kelihatan obsesi ke atas slogan 1Malaysia hanya mencetus polemik yang berpanjangan apabila wujud ‘acuan Zionis’ di dalam gagasan yang sedang disiulkan saban waktu oleh beliau.

Hubungan baik Khairy dengan Omar Mustapha, Pengarah Ethos & Company yang dahulunya merupakan Penasihat kepada Najib (sewaktu menjawat Timbalan Perdana Menteri) boleh memberi petunjuk mengapa Khairy bermatian mempertahankan Ethos dan Omar yang bertanggungjawab menghubungkan kerajaan Malaysia dan Apco. AMK percaya bahawa hubungan baik sama sekali tidak boleh diguna pakai untuk menghalalkan susupan masuk puak Zionis di dalam pentadbiran negara.

AMK mengulangi gesaan Ketua Pembangkang betapa wujud keperluan untuk sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat keterlibatan ini, demi menjamin keselamatan negara tidak digolok gadai demi melampiaskan nawaitu politik UMNO semata.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: