Monday, April 26, 2010

Hulu Selangor: Keputusan Kalah Tidak Mengejutkan

HARAKAH - Petugas Pakatan Rakyat di Hulu Selangor yakin PR akan menang dalam PRK kali ini, namun keputusan adalah sebaliknya. Walau bagaimanapun keputusan tersebut tidak memeranjatkan dan tidak juga mengecewakan.

BN tidak pula menang besar sebagaimana yang dijangkakan. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri begitu sombong dan angkuh kononnya BN pasti akan menang dengan majoriti 6000 undi.

Keputusan yang diumumkan ialah calon BN P Kamalanathan mendapat 24,997 undi, manakala calon PKR Datuk Zaid Ibrahim memperolehi 23,272 undi. Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi. Majoriti 1,725 undi yang diperolehi oleh BN dilihat jauh lebih rendah dari angka yang menjadi sasaran UMNO BN.

Majoriti yang dicapai tidak berbaloi dengan puluhan juta yang dihamburkan kepada rakyat bagi merampas kerusi Parlimen Hulu Selangor, belum dikira dengan janji-janji BN yang ditaburkan ketika berkempan. Media arus perdana setiap minit menyebelahi BN, tidak ada sedikit berita yang positif mengenai PR.

Kempen-kempen mereka berjaya meracuni pemikiran orang kampung terutamanya di kawasan felda dan perkampungan tradisonal yang tidak mendapat maklumat dari sumber yang sebenar. Berbeza dengan pengundi dalam bandar dan juga pengundi Cina yang lebih terbuka sikap mereka. Media berbahasa Cina lebih terbuka dan banyak melaporkan cerita yang sebenar mengenai PR.

Tidak ada yang terperanjat sebenarnya dengan keputusan ini kerana propaganda dan fitnah jahat yang dimainkan oleh UMNO BN dengan menyerang peribadi calon. Banyak bahan-bahan terbitan yang diterbitkan oleh UMNO mengandungi fitnah jahat yang paling tidak bermoral dan beretika.

Tidak kurang juga ada yang diugut dengan berbagai ugutan, dan ada yang dirasuah dengan benda untuk memancing undi.

Kesimpulan ringkas UMNO BN tidak boleh mendabik dada dengan kemenangan majoriti yang terkeluar dari KPI mereka. Muhyididn meletakan harapan yang tinggi untuk menang dengan majoriti lebih besar berdasarkan pencapaian baik adun-adun BN dalam memenangi peti undi di peringkat DUN masing-masing pada PRU 2008. Ternyata ketiga-tiga Adun BN tidak membantu menambahkan majoriti yang selesa.

Walau bagaimanapun post mortem mesti dibuat bagi memuhasabah faktor-faktor kekalahan dalam tempoh terdekat. Saya mencadangkan jawatankuasa post mortem mesti dibentuk atas nama Pakatan Rakyat. Biarlah PAS dan DAP yang ramai menganggotai Jawatankuasa post mortem PRK Hulu Selangor, seorang dua PKR boleh juga dilantik tetapi biarlah yang agak berkecuali. Post mortem mestilah telus, ia mesti sampai ke akar umbi. Semua faktor hendaklah dilihat, bermula dengan faktor Jentera Pilihanraya, faktor calon, faktor kewangan, faktor media dan sebagainya.

Berdasarkan post mortem ini, jadikanlah ia sebagai panduan dalam merangka strategi bagi menawan semula Hulu Selangor pada PRU akan datang, ia juga boleh menjadi panduan untuk keseluruhan negeri Selangor. Komposisi kaum di Hulu Selangor adalah gambaran komposisi kaum di seluruh negeri Selangor.

Kepada para petugas PR terutamanya petugas PAS, jangan sedikitpun rasa kecewa dan sedih di atas kekalahan ini. Jadikan ia sebagai satu tekad untuk kemenangan akan datang. Kemenangan UMNO BN kali ini bukan bermakna ia akan menang selama-lamanya. Saya percaya dengan kemenangan ini, mereka akan bertambah angkuh, bongkak, takabbur dan sombong, mereka akan memandang rendah keupayaan dan kekuatan kita. Kita juga percaya kemenangan yang mereka capai akhirnya akan membawa kekalahan dan kehancuran yang lebih besar suatu ketika ini.

Para pimpinan PR hendaklah sentiasa memuhasabah dengan kekalahan ini. Tudinglah jari ke arah diri masing-masing sebelum kita menuding ke arah orang lain. Mengakui kesilapan dan kelemahan sebenarnya adalah lebih baik dari menyalahkan pihak lain, ia tidak menjadikan kita hilang kredibiliti dengan mengakui kesilapan dalam percaturan ini. Malahan ia akan menjadikan titik tolak bagi kita memperbaiki segala kelemahan dan membina kekuatan baru.

Para petugas pilihanraya sudah tentu akan balek ke negeri dan kampung masing-masing mulai malam ini. Namun rakyat dan pengundi di Hulu Selangor tidak boleh ditinggalkan begitu sahaja. PRK merupakan permulaan yang baik bagi gerak kerja untuk pilihanraya akan datang. Menjadi tugas dan tanggungjawab jentera parti di peringkat DUN masing-masing terus mengisi dengan program-program yang berterusan. Kerajaan PR Selangor tidak boleh berlengah dalam melaksanakan agenda pembangunan, buktikan sekalipun Hulu Selangor PR tidak mempunyai Adun dan Ahli Parlimen, pembangunan material dan program kebajikan untuk rakyat tetap diutamakan.


Ustaz Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Politik YAB Datuk Seri Nizar.


Pejabat Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: