Saturday, April 17, 2010

PANAS-KES KAPAL SELAM DIBICARA DI MAHKAMAH PARIS

Masa depan Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam semakin gelap dan diibaratkan bagai telur dihujung tanduk berikutan tindakan berani tiga peguam kanan Perancis yang memfailkan permohonan di mahkamah Paris menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pembayaran komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan Malaysia.
Menurut laporan Asia Sentinel yang bertajuk "Murky Arms Deal Linked To International Pattern of Kickbacks" oleh wartawan John Berthelsen bertarikh 16 April 2010, skandal berbilion dolar ini yang didakwa didalangi oleh Najib kini tidak lagi dapat dibendung dalam Malaysia dan kini telah melimpah ke arena antarabangsa.

Asia Sentinel berkata tindakan peguam, William Bourdon, Renaud Semerdjian dan Joseph Breham dengan kerjasama pertubuhan hak asasi Malaysia, Suaram, memfailkan kes tersebut dengan pihak pendakwa Perancis telah memusnahkan perancangan kerajaan Malaysia melalui badan kehakiman dan institusi Parlimen selama lapan tahun untuk menyekat kes ini daripada diadili pada peringkat antarabangsa.

Barisan hakim di Pejabat Pendakwaraya Paris telah menjalankan penyiasatan terhadap pegawai tinggi di Perancis, Pakistan dan negara lain berkaitan urusan pembelian kapal selam yang sama yang didakwa ada kaitan dengan unsur rasuah dan pembayaran komisyen.

Elemen pembabitan Malaysia dalam penyiasatan panjang ini disahkan dalam kertas siasatan bertarikh 4 Disember 2009 dan 23 Februari 2010.

Laporan itu menambah penyiasatan teliti tersebut dilakukan sejak dua tahun lalu oleh hakim penyiasat, Francoise Besset dan Jean-Christophe Hullin yang merangkumi ahli politik kanan Perancis serta penjualan kapal selam dan peralatan ketenteraan lain kepada kerajaan di seluruh dunia.

Media Perancis dikatakan tidak sanggup melaporkan sesetengah daripada tuduhan paling serius disebabkan kebimbangan implikasi politik.

Asia Sentinel menjelaskan dakwaan yang dibuat mempunyai kaitan dengan salah satu konglomerat pertahanan Perancis iaitu DCN yang dimiliki oleh kerajaan. Syarikat tersebut bergabung dengan firma elektronik Perancis, Thales pada 2005 menjadikannya antara kuasa dominan dalam industri pertahanan Eropah.

Anak syarikat DCN, Armaris terlibat dalam pembinaan kapal selam disel daripada kelas Scorpene yang dijual kepada India, Pakistan dan juga Malaysia. Kesemua kontrak jualbeli, menurut peguam yang bertindak bagi pihak Suaram, disyaki mempunyai unsur rasuah

Tambah laporan itu lagi sejak Najib berpindah portfolio daripada menerajui Kementerian Pertahanan ketika mana urusan jualbeli itu dikendalikan pada 2002 sehingga beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, skandal tersebut dilihat ancaman terbesar kepada kerajaan dan juga parti.

Kekuasaan Umno dilihat sebagai penghalang kepada skandal itu mendapat apa-apa pelunag untuk diutarakan dalam mahkamah Malaysia dan ini menjadi sebab utama mengapa Suaram terpaksa mendapatkan pertolongan daripada pendakwa Perancis.

“Kertas siasatan baru sahaja dikemukakan dan setakat ini telah menggerakkan siasatan awal polis terhadap aspek kewangan urusniaga tersebut," kata satu sumber Paris yang intim dengan pihak pertahanan Perancis.

"Belum ada siasatan rasmi lagi dan siasatan akan melihat kepada dokumen yang dirampas di DCN yang dilakukan ketika satu lagi penyiasatan dijalankan terhadap rasuah yang dibayar oleh DCN di Pakistan.

Sumber juga menyatakan pihak polis kini hanya menumpukan perhatian kepada dakwaan rasuah dan belum lagi melihat kepada kes pembunuhan wanita Mongolia pada 2006 yang bekerja sebagai penterjemah bagi pihak Najib dan sahabat beliau, Abdul Razak Baginda semasa berada di Paris berhubung urusan perniagaan kapal selam.

Asia Sentinel mendedahkan terdapat banyak kes pembunuhan yang berkaitan urusan penjualan pertahanan DCN di Taiwan dan Pakistan. Pendakwaraya mensyakki kematian 11 jurutera kapal selam Perancis dalam kejadian letupan bom pada 2002 di Karachi, yang pada mula dianggap perbuatan Al-Qaeda, sebenarnya adalah pembunuhan balas dendam akibat keenganan pihak Perancis untuk memberi rasuah bernilai jutaan dolar kepada pegawai tentera Pakistan.

Pembabitan Malaysia berkisar dakwaan pembayaran komisyen berjumlah €114 juta (RM540 juta) kepada sebuah syarikat tempatan, Perimekar bagi perkhidmatan sokongan berkaitan pembelian kapal selam. Perimekar dimiliki oleh KS Ombak Laut Sdn Bhd yang dipunyai oleh sahabat baik Najib, Abdul Razak Baginda. Isteri Abdul Razak, Maslinda ialah seorang peguam dan bekas majistret serta pemegang saham syarikat tersenut menurut peguam Perancis.

“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakang ini, hakim di Perancis telah menyiasat beberapa kes yang melibatkan DCN," kata peguam Renaud Semerdjian kepada Asia Sentinel dalam temuramah melalui talipon.

"Ini bukanlah kes seumpama yang pertama disiasat. Terdapat banyak lagi ks yang serupa di Pakistan dan juga India. Apabila dilihat secara dekat setiap kali berlaku penjualan senjata maka kemungkinan pelanggaran undang-undang adalah amat tinggi.".

Sebagai Menteri Pertahanan dari tahun 2000 hingga 2008, Najib telah bertanggungjawab terhadap perancangan menaiktaraf pertahanan angkatan tentera Malaysia secara besar-besaran. Ini termasuk pembelian dua kapal selam daripada Armaris dan pajakan sebuah lagi kapal kelas Agosta yang pernah digunakan oleh tentera laut Perancis.

Jet pejuang Sukhoi juga dibeli Rusia dalam tempoh Najib menerajui Kementerian Pertahanan termasuk juga jutaan ringgit dicurahkan kepada kapal peronda perairan. Kesemua pembelian ini telah menimbulkan kecurigaan oleh pihak pembangkang dalam Parlimen Malaysia tetapi sebarang usaha penyiasatan berjaya dikekang oleh Umno. Malah apabila soalan diaju kepada Najib, beliau menjadi marah dan enggan menjawab.

Walaupun usaha hebat dilakukan oleh Umno untuk menutup kes rasuah berhubung pembelian peralatan tentera oleh Najib, isu pembunuhan penterjemah Mongolia berusia 28 tahun, Altantuya Shaariibuu yang juga kekasih yang ditinggalkan Abdul Razak akhirnya mendedahkan segala penyelewengan yang berlaku kepada perhatian dunia. Altantuya yang berperanan dalam perbincangan jualbeli kapal selam mendedahkan dalam suratnya yang dijumpai selepas kematian beliau bahawa dia cuba mengugut Abdul Razak untuk mendapatkan US$500,000.

Bagaimanapun Altantuya ditembak mati pada Oktober 2006 dan mayatnya diletupkan oleh dua pengawal peribadi Najib dengan menggunakan bahan letupan setelah Abdul Razak mengadu kepada ketua pengawal peribadi Najib, Musa Safri supaya menghalang Altantuya daripada menganggu beliau. Tidak lama setelah dibebaskan pada November 2008 dalam keadaan keputusan hakim yang meragukan, Abdul Razak meninggalkan Malaysia dan menetap di England. Kedua pengawal peribadi Najib tersebut dihukum tetapi tidak ada motif dibuktikan mengapa mereka melakukan pembunuhan itu.

Walaupun terdapat pengakuan daripada salah seorang yang tertuduh bahawa mereka akan dibayar lumayan sekiranya melupuskan wanita itu namun pihak mahkamah tidak membenarkan penyiarannya.

Urusan pembelian kapal selam itu tidak pernah dibangkitkan sepanjang perbicaraan mahkamah selama sebulan yang memperlihatkan bagaimana pendakwa, peguambela dan juga hakim berganding bahu bagi memastikan nama Najib tidak sesekali dikaitkan dalam mahkamah. Malah seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Abdul Razak untuk melindungi daripada Altantuya membuat pengakuan bersumpah yang menunjukkan bahawa Najib sebenarnya kekasih wanita Mongolia itu dan kemudiannya diserahkan kepada Abdul Razak.

Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam mendedahkan bagaimana beliau dinyahkan dari Kuala Lumpur. Akhirnya beliau keluar daripada tempat persembunyian di India untuk menceritakan bahawa seorang ahli perniagaan yang rapat dengan isteri Najib telah menawarkan RM5 juta untuk menutup mulut dan meninggalkan negara. Bala juga mengatakan beliau menemui adik Najib, Nazim yang meminta beliau menarik balik akuan bersumpah yang dibuat.

Dalam penyiasatan yang sedang dijalankan di Paris sekarang, isunya berkisar apakah syarikat Perimekar kepunyaan Abdul Razak berhak kepada komisyen sebanyak RM540 juta tersebut.

Datuk Zainal Abidin Zin, Timbalan Menteri Pertahanan ketika itu memberitahu Parlimen, Perimekar menerima amaun tersebut iaitu 11 peratus daripada harga jualan kapal selam untuk "koordinasi dan khidmat sokongan". Kertas siasatan di Paris menunjukkan tidak ada sebarang jenis perkhidmatan sedemikian diberikan.

Menurut kertas siasatan, Perimekar didaftar pada 2001, beberapa bulan sebelum kontrak jualbeli ditandatangan. Syarikat tersebut menurut kertas siasatan itu lagi," tidak mempunyai daya kewangan yang kukuh untuk melaksanakan kontrak tersebut." Semakan akaun pada 2001 dan 2002 kata kertas siasatan itu lagi,"menunjukkan dengan jelas bahawa syarikat ini tidak langsung ada sebarang kemampuan atau kemampuan perundangan atau kemampuan kewangan dan/atau kepakaran untuk menyokong kontrak sedemikian rupa."

"Tidak seorang daripada pengarah atau pemegang saham Perimekar mempunyai pengalaman walau sedikit dalam pembinaan, penyelenggaraan atau logistik kapal selam," tegas kertas siasatan itu. "Di bawah terma kontrak €114 juta (RM540 juta) adalah berhubung beberapa peringkat pembinaan kapal selam." Pertimbangan pembayaran kepada Perimekar "adalah secara bulanan dan kos tanggungan penginapan anak kapal Malaysia sepanjang tempoh latihan mereka. Maka dengan itu tidak ada sebarang kaitan antara langkah-langkah pembilan dan peringkat pembinaan kapal selam seperti yang dinyatakan."

Pada 1 April 2010 Asia Sentinel melaporkan perkhidmatan penyelenggaraan kapal selam dilakukan oleh sebuah syarikat bernama Boustead DCNS iaitu syarikat kerjasama antara BHIC Defence Technologies Sdn Bhd, anak syarikat Boustead Heavy Industries Corp Bhd yang senaraikan di Bursa Malaysia, dan DCNS SA, anak syarikat DCN. Bahagian Industri Berat Boustead kini memasukkan Perimekar sebagai "sekutu kumpulan. PSB terlibat dalam pemasaran, menaiktaraf, penyelenggaraan dan khidmat berkaitan bagi industri pertahanan maritim Malaysia," menurut laporan tahunan Boustead.

Pada asalnya Boustead memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa kontrak perkhidmatan adalah berjumlah RM600 juta untuk tempoh enam tahun atau RM100 setiap tahun tetapi kontrak itu kemudiannya melambung kepada RM270 juta setahun. Boustead Holdings dimiliki sebahagiannya oleh Kerajaan Malaysia dan berkait rapat dengan Umno.

"Terdapat asas kukuh untuk mempercayai bahawa (Perimekar) diwujudkan hanya untuk satu tujuansahaja: mengurus pembayaran komisyen dan mengagihkan amaun kepada penerima berlainan termasuk penjawat awam dan/atau orang tengah Malaysia atau asing," dedah kertas siasatan itu lagi.

No comments: