Thursday, April 8, 2010

sajak- HARI INI WANITA BERSAMA

HARI INI WANITA BERSAMA

Prolog :
mengenali jasamu
dewasa dalam gelut kuasa gelombang zaman bersilih
bertahun-tahun denai kematangan
mengajar apa itu sabar, mengajar apa itu setia
dalam perlahan dan teguh
terus gagah membina kejayaan
terus tabah memacu pemerintahan.

datanglah dugaan marak membakar
wanita bisa tampil penawar,
kadangkala garang, kadangkala rintih
membina nama, mencipta citra
sebutlah, serulah wanita jua tampil laju sahut
tanyalah, tunggulah wanita jua gelaran jaguh.

i.
apakah rahsiamu wahai wanitaku?
kadangkali ditinggalkan oleh ligat pidatomu.
apakah azammu wahai wanitaku?
seringkali ditewaskan oleh egomu.

betapa benar kalimah-keramat, hujah-hakikat
tangan yang mengayun buaian
tangan yang mengoncang dunia !

kini dikagumi sarananya hemah bicaranya
dengan berkat semangat, dengan teguh hasrat
takkan bisa rapuh
walau langkah itu datangnya
gelap malam tepi perigi, penuh tangis sawah padi,
cita menara tinggi, jerit amarah jeriji penjara besi,
rindu kasih dalam sakit onar duri demi harga diri
semuanya balasan budi
berjuang lagi wanita berjuang lagi -
untuk cerah harapan generasi merdeka mukahari.


dalam sekian amanahmu wanitaku
kini hampir-hampir lenyap berita adu-domba wanita dipinggir,
kini hampir-hampir sunyi berita rintih wanita diskriminasi,
sianghari bertukar meriah bicara warga semuanya wanita berdaya.

bawakanlah rahsia itu,
biar rakyat restu jujurmu
khabarkanlah azam itu,
biar sejarah sahut jasamu.

ii.
betapa buana takkan terlupa
lakaran wanita tamadun dunia sepanjang masa
pada pedomanmu wahai -
saiyiddinatul khadijah-halimah-aisyah-fatimah-balqis sulaiman
kuasamu wahai -
ratu Isabella-joan of arc-elizabeth-rachel carson-marie curie-zubaidah ja’far- hang li po-wan azizah wan ismail
tekadmu wahai -
rosa parks-evita peron- rachel carson - shajarat ad-Dur-shamsiah fakeh-aishah ghani
harapanmu wahai -
puteri diana-hillary clinton-oprah winfrey-mother theresa- helen keller- marie curie-yasmin yusoff
pengorbananmu wahai –
corazon aquino-aung san suu kyi-margaret thatcher-maria macapagal arroyo-megawati sukarnoputri-adibah amin
kehebatanmu –
mary robinson-chandrika kumaratunga-ellen johnson sirleaf-michelle bachelet-az-zahra-khadijah awang

inilah penantian kebanggaan jelata
inilah bayangan guruh gandingan warga bersama
apakah wanita rawang menuju ke putrajaya?
apakah wanita ampang takhta ke putrajaya ?


iii.
bersama lafaz puisi matari april ini,
dari bumi darul ehsan bergema wanita saksi pelusuk dunia
sekali lagi kalian tampil jaguh istimewa
merawat duka menyembuh derita,
dengan perutusan hebat ingatan sambutan jagat
“ pesankan untuk wanita - Pemulihan
kirimkan untuk wanita - Keselamatan
letakkan untuk wanita - keHormatan
jaminkan untuk wanita - Kesaksamaan “.

Nah! Itulah srikandi anggun kita pesan kirimkan
Nah! Inilah nona-nona hebat letakkan jaminkan
Nah! Semua kalian adalah wanita istimewa itu.

maka tenangkanlah hatimu rakyat dunia,
tak pernah, bukan-bukan, takkan terlena wanita berdaya
tak pernah, bukan-bukan, takkan terleka wanita negara.

maka tenangkanlah hatimu rakyat dunia,
kerna hari ini detik-batu tanda
kaulah mutiara, kaulah ratna
barisan wirawati anugerah WANITA BERDAYA, HARAPAN NEGARA

salut untukmu, salut selamanya.

mari, mari kita raikan hari ini - Hari Wanita
Selamat Hari Wanita !

rozan azen mat rasip
sentul-rawang-bkt. jalil
19 mac – 4 april 2010


(puisi telah dikarang & dideklamasikan sempena HARI WANITA SEDUNIA NEGERI SELANGOR di Tmn. Kanching Jaya, Rawang pada 4 April 2010 anjuran Wanita PKR)

No comments: