Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan kepada Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk mengarahkan Barisan Nasional menurunkan papan tanda yang menyerang keperibadian pimpinan Pakatan Rakyat dan bersifat provokasi.
Walaupun tidak diketahui sejauh mana SPR berani bertindak terhadap Barisan Nasional (BN) yang jelas melanggar peraturan pilihan raya tetapi suruhanjaya itu berjanji akan berbuat demikian.
Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin bertemu SPR untuk mendapat kepastian mengenai peraturan papan tanda, poster dan kain rentang berunsur provokasi sepanjang tempoh berkempen pilihan raya ini.
Hasil pertemuan di pejabat sementara SPR di Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Bharu, SPR mengakui BN melanggar peraturan apabila memacakkan papan tanda yang bersifat provokasi dan bercorak serangan peribadi.
"Saya mendapatkan kepastian dari SPR mengenai papan tanda (billboard) BN yang berunsur provokasi dan fitnah. Ada lapan atau sembilan lokasi. Kalau SPR kata ia boleh dibuat, kami akan naikkan papan tanda juga. Banyak isu yang boleh kemukakan.
"Tetapi kami bercadang untuk tanya SPR kerana kami yakin itu melanggar beberapa peraturan pilihan raya," kata Shamsul Iskandar kepada TV Selangor, hari ini.
AMK yang turut membuat laporan polis berhubung perkara ini, bertekad untuk menurunkan papan tanda berkenaan dalam tempoh 48 jam jika bantahan mereka tidak diendahkan pihak berkuasa.
"Hasil dari mesyuarat pagi ini, mereka menyatakan ia melanggar peraturan pilihan raya. Hari ini kena turunkan. Mereka sudah kenal pasti papan tanda yang perlu diturunkan dan akan menasihati BN.
"Saya beri amaran. Jangan mulakan kempen secara ini. Kalau esok tak turun, kami sendiri akan turunkan papan tanda dan poster yang ada unsur fitnah dan provokasi," katanya.
No comments:
Post a Comment