sajak Dinsman
Lebam Mata Itu
Lebam mata itu
lebam sebelah wajah Malaysia
Lebam mata itu
separuh dunia tergamam
mungkinkah angkara sendiri?
sedang dia di bawah tawanan
Lebam mata itu
buta separuh rakyat Malaysia
meraba-raba kebenaran
Hitam di muka mungkin tak lama
lebam di hati rakyat ‘kan terus membara
Lebam mata itu
pengorbanan seorang reformis
mengejutkan para pahlawan
yang nyenyak tidur
Pedih peritnya dia menanggung
itulah obor perjuangan
nyala yang tak ‘kan padam
Lebam mata itu
lebam sejarah Melayu
Hitam di muka mungkin tak lama
lebam di hati rakyat ‘kan terus membara
membara hingga dalangnya ditangkap
membara hingga sistem yang korup
ditukar
(Dibacakan kali pertama di majlis Baca Puisi di Rumah Pena,
Kuala Lumpur, 4 Disember 1998)
No comments:
Post a Comment