Friday, April 13, 2012

Pindaan Auku bercanggah kampus demokrasi dan autonomi

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mengkritik tindakan kerajaan pusat yang membuat pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak membawa perubahan yang sebenar, malah bercanggah dengan prinsip kampus demokrasi dan autonomi pelajar.

Pindaan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan permintaan dan pendapat umum untuk mansuhkan AUKU, malah mencengkam kebebasan akademi dan mahasiswa serta meneruskan dasar campur tangan politik daripada pemerintah ke atas pentadbiran universiti.

Sebenarnya pindaan yang dikemukakan hanya untuk meredakan kemarahan rakyat semata-mata khasnya Pilihanraya Umum Ke-13 yang kian dekat. Pindaan ke atas Seksyen 15 AUKU yang membenarkan pelajar mendaftar sebagai ahli dalam parti politik tetapi melarang politik parti ke dalam kampus adalah bercanggah diri dan tidak masuk akal.

Kerajaan telah menunjukkan keyakinan diri yang lemah dan tidak berwibawa dalam menangani pindaan AUKU. Pindaan tersebut adalah ketinggalan masa serta membongkarkan bahawa kerajaan pusat tidak berupaya berdepan dengan golongan mahasiswa yang berfikiran bebas serta kritikal.

AMK menegaskan bahawa pindaan AUKU tidak mengembalikan kuasa kepada golongan akademik dan mahasiswa. Pihak universiti masih kekal dengan kuasa menafsir undang-undang dan menjatuhkan hukuman. Samada sesuatu persatuan/aktiviti adalah sah atau haram, memenuhi kepentingan universiti atau tidak, semuanya tertakluk di bawah tafsiran pihak universiti.

Mahkamah universiti yang tertutup atau ‘kangaroo court’ masih dikekalkan dan diguna untuk menghukum mahasiswa yang lantang serta kritikal terhadap pihak universiti atau kerajaan. Kesemua ini adalah bercanggah dengan hak asasi manusia serta prinsip kampus demokrasi.

AMK berpendapat bahawa sekiranya kerajaan pusat ingin membina imej menepati janji dan transformasi Perdana Menteri Najib, maka janganlah mengurus universiti seperti cara mengurus tadika atau melayan mahasiswa seperti budak-budak kecil. Akibat daripada itu, matlamat transformasi tidak akan tercapai malah menjadi bahan jenaka orang ramai.

Oleh itu, AMK menegaskan bahawa pindaan AUKU yang dibuat oleh kerajaan bukan sahaja tidak membawa sebarang makna kepada kampus demokrasi, malah tidak bertepatan dengan permintaan rakyat untuk menjalankan reformasi yang tulen. Buku Jingga telah menggariskan bahawa bila Pakatan Rakyat menjejaki Putrajaya, maka AUKU akan dimansuhkan. Pakatan Rakyat akan melaksanakan kampus demokrasi serta autonomi pelajar.

LEE KHAI LOON

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

No comments: