Thursday, May 31, 2012

akta keterangan pindaan 2012 bakal buru pesalah media baru

Akta Keterangan (Pindaan) 2012 Berkuat-Kuasa Mulai Esok – 1 Jun 2012

Dengan media baru yang semakin popular, termasuk blog, Facebook dan Twitter, serta dalam usaha untuk menjadikan rakyat lebih bertanggungjawab terhadap aktiviti mereka di atas-talian, kini ia telah pun ditetapkan yang mana Akta Keterangan (Pindaan) 2012 bakal dikuat-kuasakan bermula esok, iaitu 1 Jun 2012.
Bagi yang tidak ketahui, melalui pindaan pada Akta Keterangan, ia menetapkan yang mana para pengguna Internet akan bertanggungjawab terhadap sebarang kandungan yang dihantar ke internet melalui rangkaian ataupun peranti mereka. Secara ringkasnya, sekiranya seseorang pengguna menghantar komen pada blog anda, halaman Facebook Page anda, tweetjack akaun Twitter anda, mahupun dengan “menumpang” talian WiFi anda, maka anda akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang perkara yang dikongsikan melaluinya.
Selain daripada itu, ia juga mengatakan yang mana sekiranya seseorang memulakan halaman Facebook, Twitter, blog mahupun sebarang perkara menggunakan nama dan gambar anda dan menerbitkan kandungan yang bertentangan dengan undang-undang serta memfitnah seseorang melaluinya, maka anda akan didapati bersalah, dan perlu membuktikan sebaliknya.
Anda mungkin akan menghadapi masalah sekiranya:
  • Anda mempunyai blog, dan seseorang pembaca menerbitkan komen, maka anda akan dianggap sebagai menerbitkan komen tersebut.
  • Anda mempunyai halaman Facebook Pages, dan seseorang pengguna menghantar komen atau menerbitkan sesuatu pada Wall, maka anda akan dianggap sebagai menerbitkannya.
  • Seseorang menggunakan tablet atau telefon pintar anda untuk menghantar sesuatu yang tidak baik, maka anda akan dianggap sebagai yang menerbitkannya.
  • Seseorang menggunakan komputer anda atau laptop anda untuk menerbitkan sesuatu pada internet, maka anda akan bertanggungjawab atasnya.
  • Seseorang menceroboh ke talian WiFi anda dan menghantar pelbagai perkara yang bertentangan dengan undang-undang di internet, maka anda akan bertanggungjawab ke atasnya.
  • …dan pelbagai perkara yang berkaitan.
Dalam arena digital dan elektronik ini, semestinya ia boleh dikatakan perkara ini salah satu perkara yang sukar untuk direalisasikan. Apatah lagi memandangkan pada halaman Facebook dan Twitter sesiapa sahaja boleh menggunakan nama dan gambar orang lain, dan berlakon seperti mereka.
Sebagai contoh, pada hari ini, akaun Facebook Pages untuk seseorang artis mahupun ahli politik sahaja, terdapat lebih daripada satu akaun untuk mereka, yang mana dimulakan oleh peminat dan juga penyokong. Sekadar perbandingan, akaun Facebook milik Najib Razak apabila dilakukan carian, secara kasar, terdapat lebih daripada 10 akaun, sekaligus menjadikan beliau bertanggungjawab terhadap kesemua akaun tersebut sekiranya sesuatu yang tidak sepatutnya diterbitkan, sehinggalah beliau membuktikan sebaliknya.
Jadi, secara ringkasnya, jagalah peranti dan rangkaian internet anda, disamping bertanggungjawab ke atas pelbagai perkara yang dikongsikan di arena internet, supaya ia tidak menyukarkan anda di kemudian hari.

Friday, May 11, 2012

Pelantikan Tun Haniff Omar: AMK mengajak rakyat Malaysia untuk tolak hasil siasatan panel Bersih 3.0


Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

11 Mei 2012
Sejarah perundangan dilengkapi dengan penegasan bahawa 'keadilan itu bukan sekadar perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan'.
Memperlihatkan kepada prinsip ini, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpandangan bahawa pelantikan mantan Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar selaku Pengerusi Panel Siasatan Bebas Bersih 3.0, adalah satu langkah terkebelakang, menempangkan proses keadilan dan membuktikan kerajaan BN terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Malah, AMK berpandangan pelantikan ini sebenarnya hanyalah satu strategi mainan media Umno-BN. Ini bertujuan untuk terus-menerus mengalihkan pandangan rakyat daripada menekankan soal reformasi sistem pilihanraya, dengan memfokuskan kepada isu siasatan yang 'bebas' di bawah panel yang diketuai oleh individu yang 'tidak bebas'.

AMK menggariskan tiga (3) sebab mengapa kredibiliti Tun Haniff selaku Pengerusi Panel ini boleh dipertikaikan:

1.  Sebagaimana yang telah disiarkan oleh media beberapa hari lepas, sikap prejudis beliau kononnya Bersih 3.0 didalangi oleh pihak pro-komunis, adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab malah keluar daripada norma realiti politik negara. Kenyataan tanpa fakta, digembar gembur secara bersistematik, memperlihatkan Bersih 3.0 seolah-olah satu gerakan yang 'kotor'. Dan inilah persepsi awal yang diperlihatkan oleh beliau sebelum memimpin panel yang akan dinanti-nantikan oleh rakyat apakah resolusi lanjut yang bakal dihasilkan.

2.  Tun Haniff juga tidak pernah kita lupakan dengan kalimah keramat beliau di mana beliau tidak pernah menjumpai ayat di dalam Al-Quran yang mengharamkan judi. AMK tidak berminat untuk tahu apa iktiqad pegangan beliau, tetapi dalam keadaan prinsip keadilan asas di dalam Al-Quran pun masih gagal beliau fahami, bagaimana beliau mampu mengemudi sebuah panel yang bertanggungjawab menyiasat gerakan Bersih yang menuntut keadilan dalam sistem pilihanraya Malaysia?

3.  Bersih 3.0 menyaksikan keganasan pihak polis berada pada tahap yang paling parah dalam sejarah penyuraian perhimpunan aman yang berlaku di Malaysia. Bagaimanakah seorang mantan Ketua Polis Negara, mampu mengheret institusi yang pernah beliau pimpin selama 20 tahun ke kancah pengadilan? Ini persepsi dan realiti yang sedang membelenggu rakyat ke atas kredibiliti beliau kini.

AMK berharap Tun Haniff boleh kembali menyemak artikel tulisan beliau di dalam The Star pada 12 Februari 2006, tatkala beliau memberikan respon balas mengenai cadangan penubuhan IPCMC :

The IPCMC must have the confidence not only of the public but also of the police. Thus, appoint the right people to be commissioners; this is absolutely vital.
Dalam kes siasatan Bersih ini, Panel harus meraih keyakinan rakyat, bukan keyakinan polis. Maka, melantik pihak yang tepat sebagai Pengerusi adalah sesuatu yang maha penting. Terbukti, Tun Haniff bukan individu yang sesuai. Maka AMK berpandangan, sewajarnya beliau, atas integriti selaku bekas Ketua Polis Negara, mengundur diri secara terhormat. Begitu juga dengan ahli-ahli panel yang lain. 

 
AMK dengan tegas mengajak rakyat Malaysia untuk menolak hasil siasatan Bersih 3.0 sekiranya Pengerusi dan ahli-ahli panel yang tempang kredibilitinya terus dikekalkan !

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Monday, May 7, 2012

Fatwa Majlis Kebangsaan Ehwal Islam Mengenai Hukuman Haram Berdemonstrasi

BIRO PENERANGAN
PARTI KEADILAN RAKYAT
KENYATAAN MEDIA

Petaling Jaya, Selangor, 7 Mei2012.  KEADILAN berpendirian tegas bahawa pandangan Pengerusi Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Abdul Shukur Hussain, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan seperti yang disiarkan dalam media semalam (5hb Mei 2012) adalah sangat bertentangan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh seorang ilmuan Islam yang sangat berotoriti iaitu Shaikh Yusuf al-Qaradawi, Presiden Persatuan Ulama Sedunia seperti yang tercatat dalam buku yang berjudul Thawrah al-Sha’b (Revolusi Rakyat). Beliau berpendapat bahawa demonstrasi adalah harus kerana ia adalah salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman.

Adalah jelas bahawa fatwa tersebut semata-mata bertujuan untuk memenuhi kehendak pimpinan UMNO yang terdesak menggunakan isu-isu agama Islam dan bangsa Melayu bagi survival politik mereka. Sewajarnya Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merujuk dahulu kepada beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat bagi mendapat fakta yang sebenar apa yang telah berlaku pada 28 hb April yang lalu. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak wajar berat sebelah. Yang jelas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah gagal melihat insiden 28hb April secara menyeluruh. KEADILAN yakin bahawa pihak penganjur Bersih 3.0 sejak dari awal lagi mempunyai tujuan yang jelas itu perhimpunan secara aman demi untuk mempastikan berlakunya keadilan dan ketulusan dalam pengurusan pilihanraya di Malaysia.

Justeru, kewibawaan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebagai sebuah badan tertinggi dalam pembuatan fatwa amat diragukan kredibilitinya. Kita ingin bertanya di manakah pendirian rasmi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap amalan budaya fitnah jahat,  perbuatan mengaibkan individu Muslim serta penyebaran video seks yang begitu berleluasa penyebarannya serta mendapat perlindungan dari pemerintah? Apakah pandangan Jawatankuasa Fatwa terhadapan keganasan fizikal yang telah dilakukan oleh pasukan PDRM ke atas demonstran dalam demonstrasi Bersih 3.0? Rakyat berhak mendapat jawapan-jawapan yang ikhlas dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu-isu tersebut demi kebenaran dan keadilan sejagat.

Sesungguhnya peranan jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah untuk mempastikan fatwa-fatwa yang dikeluarkan memenuhi ciri-ciri kesahihan sesuatu fatwa seperti yang dikehendaki dalam Islam iaitu mempastikan fakta yang diperolehi adalah benar bukan artificial atau penuh dengan sangkaan buruk (su’ al-zann), mempunyai sandaran hukum yang berpaksi kepada al-Qur’an, Sunnah dan lain-lain sumber yang muktabar, serta adil. Adalah jelas bahawa fatwa Jawatankuasa Kebangsaan lebih berbaur “politik murahan” dari kewibaan fatwa yang dibahaskan oleh alim ulama yang berotoriti.

Dr Muhammad Nur Manuty
Ketua Penerangan
Parti Keadilan Rakyat
Tel: 019-332-8302
Email: dr_manuty@hotmail.com

Wednesday, May 2, 2012

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

2 Mei 2012

AMK desak PM Najib Razak mohon maaf kepada rakyat Malaysia

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang berani bangkit untuk menuntut reformasi sistem pilihanraya pada 28 April yang lalu. Lebih daripada 300,000 rakyat telah merdekakan diri dari rasa takut serta mencipta sejarah penting dalam proses pendemokrasian Malaysia.  

AMK menyeru Pengerusi dan Naib Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) agar tidak mengamalkan sikap ‘syndrome of denial’ serta henti menuduh Gabungan Bersih 2.0 sebagai alat kepada parti pembangkang.  Pimpinan tinggi SPR perlu akur kepada kuasa rakyat dan meletakkan jawatan segera bagi membolehkan reformasi sistem pilihanraya dapat dilaksanakan dengan segera.

Di samping itu, AMK juga berpendapat bahawa Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein Onn perlu bertanggungjawab atas tragedi keganasan polis terhadap peserta himpunan duduk bantah pada 28 April.

Sebenarnya pihak penganjur dan banyak pertubuhan NGO telah menyeru PM Najib Razak agar membenarkan orang ramai untuk mengadakan duduk bantah di Dataran Merdeka sebelum 28 April, tetapi beliau telah lari daripada desakan orang ramai sebagai Perdana Menteri serta melepaskan tanggungjawab kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

AMK juga mengecam sekeras-kerasnya keganasan polis pada 28 April. Tindakan polis seolah-olah samseng yang berlesen. Ramai wartawan media juga dipukul dan ditembak semasa menjalankan tugas mereka. Terdapat kamera dan kad memory yang merekodkan keganasan polis yang dimiliki oleh wartawan juga dirampas oleh polis. Tindakan polis tersebut telah dilihat sebagai cubaan untuk memusnahkan bukti keganasan polis serta menghalang kebenaran ditegakkan.

Maka, penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu dipercepatkan demi mereformasikan institusi polis yang kewibawaannya yang kian hilang. Jikalau tidak, kesemua Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta NKRA yang diusahakan oleh kerajaan UMNO/BN hanya tinggal slogan kosong sahaja yang tidak membawa sebarang makna kepada rakyat.

AMK menegaskan bahawa institusi penguatkuasaan kerajaan telah hilang peranan yang neutral dan professional dalam menjaga kepentingan rakyat. Polis yang sepatutnya melindungi rakyat telah mengguna kekerasan dan keganasan untuk menekan rakyat.

SPR yang sepatutnya bebas daripada campur tangan parti politik telah diperalatkan oleh UMNO/BN. Kesemua penyelewangan dan salahguna kuasa telah menyebabkan kebangkitan rakyat untuk demokrasi sebenar.

Oleh itu, AMK mendesak PM Najib Razak untuk menunjukkan keberanian serta memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia atas keganasan polis dan pilihanraya yang tidak adil dan kotor.

Sementara itu, kerajaan UMNO/BN diseru agar bertaubatdan melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0 dengan segera. Rakyat akan menghukum UMNO/BN dalam Pilihanraya Umum ke-13 sekiranya tiada reformasi sistem pilihanraya secara ikhlas daripada kerajaan UMNO/BN.


LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia
012-2258607