Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts
Showing posts with label Maulidur Rasul. Show all posts

Tuesday, March 2, 2010

JANGAN MEMBUDAYAKAN PENIPUAN FAKTA DEMI FITNAH

Kenyataan Media: Jangan membudayakan penipuan fakta demi fitnah.

AIC ingin memberi respon ke atas tindakan Editorial Laman Web AIDC yang menyiarkan artikel ‘Anwar semakin gelisah,atur strategi baru dengan blogger’ bertarikh 23 Februari 2010. Artikel tersebut jelas terbukti sebuah artikel yang berunsur fitnah dan mempunyai penyelewengan fakta.

AIC tidak pernah menganjurkan sebarang pertemuan samada berbentuk rasmi ataupun tidak rasmi pada 20 Februari 2010 dengan mana-mana kelompok blogger. Malahan pada waktu tersebut, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sendiri mempunyai jadual yang sangat padat di mana beliau terlibat dalam program Pelancaran Projek Perumahan Terbengkalai Selangor di Hulu Klang, Selangor dan juga Konvensyen Peneroka & Generasi Kedua FELDA di Jerantut, Pahang.
AIC percaya bahawa tindakan ini jelas menggambarkan betapa terdesaknya gerakan blogger anti-Anwar untuk mencari ‘bahan’ baru dalam melengkapkan gerak kerja jahat mereka. Ini pastinya rentetan daripada terdedahnya transaksi mesej di jaringan sosial Facebook di antara Saiful Bukhari dan blogger pro-Umno, Papagomo yang jelas membuktikan wujud perancangan tersusun untuk membunuh karakter Dato’ Seri Anwar melalui siri-siri fitnah yang direncana oleh Saiful dan blogger-blogger tertentu.

AIC tidak menolak kemungkinan wujud usaha-usaha picisan yang mahu mengheret AIC ke kancah permainan sempit aturan blogger pro-saiful yang kelihatan semakin terdesak berikutan pendedahan menggemparkan di ruang maya beberapa hari lepas.

Kesimpulan yang boleh diperoleh daripada berita ini, AIDC jelas sedang membudayakan penipuan fakta, malah sanggup mereka-reka fakta demi memastikan strategi fitnah mereka tersusun.

Saifuddin Shafi Muhammad
Setiusaha Agung AIC

Sumber: AnwarIbrahimClub

SELAMATKAN MALAYSIA: Semua sepakat desak, gugurkan pendakwaan Anwar

darisungaiderhaka.blogspot.com

Kesan daripada perjalanan perbicaraan pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim telah muncul suara sepakat mendesak pendakwaan itu digugurkan. Siri perbicaraan itu sebenarnya telah membongkar nilai kehakiman yang bermotif politik dan tersasarkan daripada lunas keadilan sejagat.

Setelah Mahkamah Persekutuan pada 29 Januari lalu membuat keputusan muktamad menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan ke atasnya membabitkan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, maka beberapa urutan perbicaraan mahkamah telah diteruskan. Sehinggalah berlaku pula permohonannya untuk menggugurkan tuduhan Mohd Saiful ke atas Anwar di Mahkamah Rayuan. Sebelumnya, pihak Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan menolak permohonan Anwar.

Setakat ini mahkamah telah tidak melayan permohonan Anwar atas tiga isu penting: minta mendapatkan akses dokumen pertuduhan ke atasnya, minta supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya, dan permohonan digugurkan pertuduhan ke atasnya.

Sehubungan itu, permohonannya supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya yang difailkan pada 8 Februari akan didengar pada 25 Mac nanti. Anwar juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari yang telah menolak rayuannya agar mahkamah membatalkan pertuduhan terhadapnya. Sementara tarikh perbicaraan rayuan itu belum ditetapkan.

Sepakat

Ekoran daripada itu, berlakulah beberapa desakan demi desakan beberapa pihak agar kerajaan dapat menggugurkan pertuduhan kali kedua yang tidak munasabah ke atas Anwar itu. Senarai pihak yang mendesak itu antaranya ialah ahli parlimen Australia, presiden PAS, menteri besar Kelantan, ahli senat Amerika Syarikat, bekas perdana menteri Kanada, penasihat seumur hidup DAP dan ulama dunia terkenal.

Ahli parlimen

Antara yang awal adalah 50 Ahli Parlimen Australia yang diketuai oleh Michel Danby menghantar surat bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Canberra, Datuk Salman Ahmad agar Kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Bagi Hal Ehwal Luar Parlimen Australia, Michael Danby menyerahkan surat itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra Salman Ahmad.

Surat itu berbunyi antara lainnya, “adalah perlu untuk dimaklumkan kepada kerajaan Malaysia bahawa pada pandangan kami sanjungan global terhadap Malaysia akan terjejas dengan tuduhan-tuduhan ke atas Anwar ini.

“Ramai pemerhati mesra Malaysia mendapati sukar untuk mempercayai seorang pemimpin pembangkang utama (seperti Anwar) dikenakan tuduhan liwat buat kali kedua, sejurus selepas partinya memperoleh kejayaan besar dalam pilihan raya kebangsaan.

Ahli senat

Ia kemudian disusuli kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John Kerry yang menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil dan saksama kepada Anwar.

“Menggesa kerajaan Malaysia menyediakan perlindungan perundangan yang sewajarnya, yang beliau berhak peroleh selaku seorang Ahli Parlimen dan seorang rakyat dan untuk menyelesaikan kesnya dalam cara yang boleh membina keyakinan dari segi ia tidak memihak dan kewibawaan sistem kehakiman Malaysia.”

Bekas perdana menteri

Kemudian, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin dalam The Globe and Mail turut mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar.

Menurutnya, jika Malaysia mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik itu digugurkan.

“Sebagai sebuah negara demokratik yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, Anwar juga harus diberikan kebebasan untuk melaksanakan visinya.”

Presiden PAS

Sehubungan dengan kritikan pihak luar terhadap perbicaraan Anwar berkaitan tuduhan Mohd Saiful itu, terutamanya oleh pihak 50 ahli parlimen Australia, maka bagi Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah melihat sebagai ketempangan sistem kehakiman negara sehingga pihak luar mempersoalkan tuduhan dan pendakwaan ke atas Anwar.

Maka Presiden PAS memakai pertimbangan rasional dengan maksud, sekiranya kehakiman itu menepati nilai keadilan sebenar tidak mungkin pihak luar akan menegur amalan sistem keadilan di Malaysia.

Dua era kezaliman

Justeru itu, memahami konteks maklum balas tersebut, Anwar semacam berdepan dengan dua era kezaliman ke atasnya. Apabila dinilai kepada kehakiman yang pernah dilalui ketika era Dr. Mahathir kerana dituduh dengan pertuduhan yang sama seperti sekarang, pada akhirnya Anwar telah dibebaskan. Maka, pertuduhan ketika itu adalah sengaja dibuat dengan kerana motif politik.

Kini era Mohd Najib, tidak mustahil pertuduhan ke atas Anwar diulangi lagi. Memetik kata-kata John Kerry, tuduhan ke atas Anwar itu bermotifkan politik itu, maka wajarlah ia digugurkan.

Bersama meragui

Langsung, motif sebenar ahli parlimen Australia, John Kerry dan Tuan Guru Abdul Hadi Awang adalah manifestasi fakta yang secara bersama meragui realiti keadilan dalam kehakiman di Malaysia. Betapa, seluruh pihak di dunia dapat melayari kenangan apabila undang-undang jakun seperti Akta Keselamatan Negeri yang menangkap dan menahan ‘mangsa’ tanpa bicara adalah masih utuh dipakai sehingga ke hari ini.

Ditambah lagi dengan peristiwa rampasan kuasa di Perak yang membelakangkan semangat perlembagaan dan suara demokrasi rakyat. Dikemaskan lagi dengan amalan fahaman jakun yang menepikan perjanjian tatkala menolak pembayaran lima peratus “cash payment” (royalti) hasil minyak di Terengganu dan Kelantan.

Selain daripada, banyak cerita yang masyhur mengenai kes-kes kehakiman yang tertangguh dan pendakwaan terpilih atas salah laku jenayah yang melibatkan individu berprofil VIP. Di samping turut tersebar banyak fitnah bahawa berlaku ‘campur tangan politik’ di dalam proses kehakiman di negara ini.

Menteri besar

Di atas nilai yang sedemikian, Mursyidul Am PAS juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut tidak bersetuju dengan sistem kehakiman di negara ini yang dianggap tidak dapat mencerminkan keadilan sebenar apabila melayan tuduhan yang tidak masuk akal ke atas Anwar yang dibicarakan secara terbuka sehingga membuka aib orang kepada umum.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut menegaskan, “apabila orang Australia pun turut sama membuat bantahan, ini bermakna mereka pun terasa dakwaan itu adalah karut.”

Penasihat seumur hidup

Menarik lagi, apabila ‘orang lama’ yang juga penasihat seumur hidup DAP, Dr. Chan Man Hin seperti mana dilaporkan Harakah turut menuntut agar pihak kerajaan menggugurkan segera dakwaan ke atas Anwar.

Baginya, kesan perbicaraan ke atas Anwar akan menyebabkan kesan buruk kepada ekonomi negara berikutan pihak dunia luar akan mengenakan sekatan ke atas Malaysia seperti mana berlaku di Myanmar, apabila negara itu menahan pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi.

“Anwar boleh menjadi seorang lagi Aung San Suu Kyi kerana Anwar dilihat ancaman kepada Najib.”

Pandangan Dr. Chan itu dilihat menjurus kepada perspektif global yang turut mendedahkan wujudnya kesedaran komuniti antarabangsa tentang hakikat pendakwaan ke atas Anwar itu sebagai tindakan mengelakkan Anwar menjadi pencabar Najib sebagai Perdana Menteri.

Ulama dunia terkenal

Turut menggegarkan pelaksanaan kehakiman Malaysia dalam konteks pendakwaan ke atas Anwar ialah ulama dunia terkenal, Tokoh Maal Hijrah Malaysia bagi tahun 1431 Hijri, Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi. Pihak Syeikh Dr. Yusof menggesa kerajaan menimbang untuk menggugurkan pendakwaan ke atas Anwar kerana ia akan menjejaskan nama baik Malaysia di kalangan dunia Islam.

Apatah lagi, pendakwaan itu dibuat dengan penuh keraguan, dan sekiranya wujud keperluan pendakwaan itu, ia hendaklah dilakukan di mahkamah syariah bukannnya mahkamah sivil. Sewajarnya, kehakiman negara ini dapat memberi keadilan kepada Anwar yang berdepan dengan pendakwaan itu.

Serius

Apa pun, pihak kerajaan hendaklah memandang serius atas nilai-nilai keadilan dan ketelusan sistem kehakiman di negara ini. Atas pendakwaan melibatkan Anwar ini terbukti telah wujud suara pemimpin utama dari dalam dan luar negara yang menggesa supaya ia digugurkan. Bermula dengan desakan pemimpin luar (ahli parlimen Australia, ahli senat Amerika Syarikat dan bekas Perdana Menteri Kanada serta Syeikh Dr Yusof al-Qaradhawi) dan pemimpin dalam negeri (Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi dan Dr. Chan Man Hin) menjadikan kes pendakwaan ke atas Anwar kali kedua ini sebagai fokus antarabangsa.

Sehubungan itu, atas nilai kesejagatan keadilan, Anwar sewajarnya menerima pengadilan yang telus dan adil serta berteraskan syariah. Di sini relevan dan rasionalnya gesaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, dan Dr. Yusof al-Qaradhawi. Maka, ia harus diambil kira demi menyelamatkan maruah negara daripada amalan kehakiman yang rakus dan di luar konteks keadilan.

Sesungguhnya, Tuhan Yang Esa adalah Maha Adil kepada sekalian hamba-Nya.

Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik
Menteri Besar Kelantan.

Fairus, Tee Beng Keluar, Pembersihan Dalaman PKR

Dipetik dari blog http://shamsuliskandar.wordpress.com/

PUTRAJAYA, 1 MAC - Anwar yang juga ketua umum PKR menyifatkan tindakan bekas Adun Penanti, Mohamad Fairus Khairuddin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang keluar parti kerana termakan janji pihak lain sebagai pembersihan dalaman.

Anwar berkata parti itu akan terus memberikan tumpuan utama kepada permasalahan Negara dan tidak akan melayan gelagat pemimpin yang tidak tahan dengan dugaan perjuangan.

Anwar berkata tindakan Fairus dan Tee Beng keluar dari PKR tidak memberi kesan kepada perjuangan parti itu sendiri.

“Fairus dia tidak terlibat dengan parti sudah hendak dekat setahun setengah sudah dan banyak-banyak masalah berbangkit selepas itu dan sepertimana yang kita tahu, Pilihan Raya Kecil Penanti pun dia tidak turun dan Pilihan Raya Permatang Pasir pun dia tidak datang, hendak kata terkejut tidaklah juga.

“Maknanya dia tidak langsung melibatkan diri dalam parti sejak dia meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri,”katanya.

Anwar berkata apa yang penting ialah Fairus digantikan oleh Dr mansor Othman untuk memantapkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.

“Kes bekas Ketua Menteri I Pulau Pinang itu lebih dari setahun sudah kita minta dia letak jawatan kerana prestasi dia dan kita perlu seorang pemimpin Melayu yang lebih berwibawa di Pulau Pinang bekerjasama dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,”katanya.

Anwar turut tegas dalam tindakan Tee Beng mengecam guan eng secara melulu tanpa melalui saluran parti.

“Soal Tan Tee Beng, kenyataan beliau terhadap Lim Guan Eng itu, jadi kita putuskan untuk bersama dengan semanat Pakatan Rakyat dan kerjasama dengan kerajaan negeri Pulau Pinang bawah pimpinan Lim Guan Eng dan dalam kes lain kita akan jelaskan kemudian,”katanya.

Anwar berkata beliau juga mengambil pendirian bahawa parti tidak akan tersasar dari hala tuju perjuangan akibat tindakan segelintir pemimpin mahupun pegawai yang tidak mahu lagi bersamanya.

“Begitu juga dengan Setiausaha Agung yang telah menunjukkan hasrat untuk meletakkan jawatan daripada tahun lalu, kita minta tangguh, ada apa-apa masalah lain, tiada jadi kita terima baik dan mungkin ini adalah proses untuk memantapkan parti kerana kerenah-kerenah begini telah dibangkitkan,”katanya.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Malaysia

Monday, March 1, 2010

SYUKUR FAIRUS KELUAR PKR



KUALA LUMPUR : Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengucap syukur ke hadrat Allah (SWT) kerana Fairus Khairuddin akhirnya meninggalkan parti itu.

"Sejak beliau menyertai Kerajaan Pulau Pinang dan selepas meletakkan jawatan sehingga terkini, beliau merupakan liabiliti," kata Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali dalam kenyataan medianya kepada Era Pakatan.com.

Menurut beliau, Fairus tiada pilihan lain dari meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri kerana beliau ketika itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan prestasinya tidak memuaskan.

" Apabila berhenti, beliau menuntut supaya Parti melunaskan hutang untuk dua buah kereta mewahnya dan membayar beliau RM15,000 sebulan buat selama-lama yang ditentukannya. Tidak ada sebab bagi Parti melayan tuntutan itu. Lagipun Parti tidak mampu berbuat demikian," jelas Dr. Syed Husin.

Beliau berkata, atas rasa belas kasihan terhadap anak isterinya seorang baik hati memberikannya 'kerja' dengan bayaran bulanan sebanyak RM4000. Beliau tidak puas hati dan oleh itu terus memburukkan pimpinan Parti. Kini beliau sudah berjumpa dengan pemimpin Umno yang boleh membayarnya jauh lebih besar dari itu.

"Fairuz memberikan alasan kaum dan agama kerana tindakannya. Sangat memalukan. Beliau sendiri, kawan-kawannya dan Allah mengetahui sebab sebenar," kata Dr. Syed Husin lagi.

Wujudkah Kompromi Fairus-Umno-SPRM?

Petikan dari Blog http://shamsuliskandar.wordpress.com/

KUALA LUMPUR 28 Feb – Ketua Angkatan Muda KEADILAN Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan tindakan bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin menyertai Umno mengesahkan persepsi rakyat bahawa wujud satu kompromi di antara beliau dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru-baru ini membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan ke atasnya.

Ini terbukti apabila beliau menyertai Umno hanya dua minggu selepas pengumuman SPRM dibuat.

Pada 12 Februari lalu SPRM telah menutup siasatan lapan kes berprofil tinggi termasuk kes rasuah Mohammad Fairus.

“Apakah Fairus terlepas daripada pertuduhan rasuah sebahagian daripada perancangan Umno untuk membelinya?

“Ini dilihat susulan daripada kenyataan rasmi SPRM yang tidak meneruskan siasatan terhadap beliau walaupun sebelum ini Pengarah SPRM Pulau Pinang menyatakan dengan tegas bahawa agensi itu telah membuka semula kertas siasatan Fairus,” jelas Shamsul kepada Suara Keadilan.

Beliau juga menimbulkan persoalan apakah tindakan terbaru ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan terdesak dan sanggup menawarkan imbuhan kewangan untuk menarik pemimpin dan bekas pemimpin KEADILAN untuk bersama parti usang dan lapuk seperti Umno.

“Adakah Najib mahu memperlihatkan kepada rakyat seolah-olah KEADILAN sudah hilang sokongan dan hanya tinggal Anwar Ibrahim sahaja dalam parti.

“Saya tegaskan harapan Najib amat meleset sama sekali kerana walaupun ditekan dengan hebat namun sokongan rakyat dan juga muafakat pemimpin di dalam KEADILAN terus mantap dan tidak tergugat langsung.

“Kehadiran ribuan rakyat pada setiap program parti menunjukkan kebencian rakyat yang meluap-luap terhadap Najib dan kepimpinan Umno. Saya yakin serangan Najib akan dilihat sebagai “overkill” atau tindakan keterlaluan di mana natijahnya akan meningkatkan simpati rakyat kepada KEADILAN,” tegas beliau lagi.

Mengulas perkara yang sama Ketua Wanita KEADILAN Zuraida Kamaruddin berkata memang sudah amalan Umno gemar mengutip “sampah” seperti Fairus.

“Cerita Fairus ini samalah dengan Badrul (ADUN Bebas Pelabuhan Kelang). Apabila pemimpin seperti mereka dalam KEADILAN menjadi duri dalam daging dan mereka keluar parti akhirnya Umno akan mengutip “sampah-sampah” ini.

“Begitulah kerja Umno suka pungut “sampah” dan masuk ke dalam bakul mereka dengan harapan sisa buangan KEADILAN akan berguna kepada mereka. Sebenarnya saya tidak bersedih langsung kerana tindakan Fairus menyenangkan kerja kita,” jelas Ahli Parlimen Ampang itu.

Beliau berkata langkah Umno memancing bekas Ahli Undangan Negeri Penanti itu akan memberi tindak balas negatif kepada parti itu akhirnya.

Fairus membuat pengumuman menyertai Umno dalam ucapan di majlis Silat Gayung Malaysia di sebuah hotel di Ampang semalam yang dihadiri oleh Perdana Menteri.

Beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I serta Exco Pulau Pinang pada 8 April 2009.

Pada 16 April 2009 pula Fairus, 33, mengosongkan kerusi Penanti yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Pejabat Ketua AMK

Saturday, February 27, 2010

Masa Depan Felda dan Peneroka - Dr Syed Husin Ali

MASA DEPAN FELDA DAN PENEROKA


Oleh Dr Syed Husin Ali

Saya mengucapkan berbanyak Terima Kasih kepada pengelola Konvensyen Peneroka Felda yang bersejarah ini kerana memberi peluang kepada saya untuk kemukakan pendapat.


Saya harus mengakui sudah lama tidak membuat kajian atau berinteraksi dengan peneroka-peneroka Felda. Oleh itu pengetahuan saya terkini mengenai perkembangan lembaga ini dan masalah-masalah yang dihadapi oleh peneroka-peneroka tidak mendalam. Izinkanlah saya memberikan pandangan umum dari jauh.


Kertas kerja ini akan menumpukan perbincangan secara khusus lebih kepada hal-hal yang berkaitan dengan tajuk di atas. Kita akan melihat ke arah mana Felda telah dan perlu dibawa. Juga, apakah perkara-perkara yang patut dilakukan untuk membela kedudukan generasi kedua bahkan ketiga, iaitu anak dan cucu peneroka-peneroka asal. Akan tetapi sebelum itu perlulah kita meninjau apakah yang telah berlaku setakat ini.


Asal-Usul Felda


Pada tahun 1956 Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) telah ditubuhkan. Kini ia lebih dikenali sebagai FELDA, iaitu Federal Land Development Authority. FELDA merupakan sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.


Tanah rancangan FELDA yang pertama dibuka pada tahun 1958, iaitu di Lembah Bilut, Bentong, Pahang, dengan peneroka seramai kira-kira 400 orang. Mereka yang mula-mula menjadi peneroka adalah benar-benar peneroka, yang membuka hutan untuk menanam getah.


Mereka melakukan semua jenis dan peringkat kerja, dari menebang menebas hutan hingga menanam dan menoreh, dengan menggunakan tenaga empat kerat sendiri. Mula-mula mereka tinggal di rumah panjang secara membujang. Hanya setelah mereka mendirikan rumah sendiri barulah keluarga mereka dibawa bersama.


Pada tahun 1960 diluluskan Group Settlement Act, untuk menyelaras semua rancangan kemajuan berkelompok, termasuk FELDA, FELCRA dan Tanah Pinggir. Tujuan utama rancangan FELDA dan rancangan-rancangan kemajuan tanah yang lain, sebagaimana yang diumumkan oleh pelopornya Tun Razak Hussein, ialah untuk mengatasi kemiskinan, khususnya di kalangan masyarakat desa. Pada ketika itu lebih 60 peratus rakyat desa, kebanyakannya petani kecil, hidup dalam kemiskinan.


Menghapus kemiskinan merupakan tujuan ekonomi. Akan tetapi, disebaliknya tersirat juga tujuan politik, iaitu untuk memastikan sokongan dari kalangan rakyat ramai kepada Kerajaan. Agenda yang tidak dinyatakan ialah ia juga merupakan salah satu projek untuk mengatsi cabaran dari parti-parti lawan, termasuk PAS, Fron Sosialis dan PKM. Apabila konsep serta rancangan kemajuan kampung, yang diperkenalkan kerajaan dengan Buku Hijau, FELDA menjadi projek terpenting di dalamnya.


Peneroka FELDA dipilih terutama dari kalangan petani yang tidak mempunyai tanah sama sekali. Namun dipilih juga mereka yang memiliki tanah kurang dari dua ekar. Tanah pertanian seluas ini dianggap tidak ekonomik dan tidak boleh menjamin kehidupan.


Selepas kelulusan akta tahun 1960 itu, cara pengurusan rancangan FELDA berubah. Kebanyakan kerja, seperti menebang, menebas, menyediakan benih dan menanam dikelolakan oleh Lembaga FELDA. Kerja-kerja ini bisanya dilaksanakan secara kontrak. Segala bayaran yang dikenakan bagi semua kerja ini dianggap sebagai hutang peneroka.


Cara peneroka membayar hutang ialah dengan pihak Lembaga memotong sebahagian pendapatan dari jualan hasil yang dikeluarkan. Semua hutang, yang berjumlah sekitar RM25,000, dengan bunga agak tinggi, iaitu 6.25 peratus, harus dibayar dalam tempoh 15 tahun.


Inilah kali pertama para petani dibebankan dengan jumlah hutang sebegitu besar. Selalunya jumlah pendapatan yang boleh dibawa balik oleh peneroka bergantung kepada harga pasaran hasil pengeluaran mereka. Harga getah dan kelapa sawit tidak stabil, sering turun naik mengikut pasaran dunia.


Bagi peneroka getah dan kelapa sawit, jumlah ini agak besar juga manakala harga di pasaran dunia tinggi. Akan tetapi, apabila harganya meleset, ada yang tidak dapat membawa balik sesen pun. Bahkan kadang-kadang mereka terpaksa berhutang pula lagi untuk membeli barang-barang keperluan harian. Ramai peneroka yang merasa mereka tidak terlepas dari belenggu kemiskinan dan bebanan hutang.


Setiap bidang tanah FELDA diberi khusus untuk peneroka yang asal. Apabila peneroka meninggal, tanahnya tidak boleh dibagi-bagikan kepada warisnya mengikut hukum faraid. Begitu juga semasa hidup peneroka tidak boleh memindahkan milik atau mewasiatkan tanah kepada seorang atau semua warisnya.


Pembentukan FELDA Holdings


Keadaan di mana tanah peneroka tidak boleh diwariskan menjadi salah satu faktor pendesak bagi menubuhkan FELDA Holdings pada 06/09/1995. Namun terdapat juga faktor-faktor lain. Penubuhan FELDA Holdings ini boleh dikatakan kuat didorong oleh Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri waktu itu.


Mahathir terkenal sebagai pemimpin yang lebih mengutamakan kemajuan perdagangan serta perindustrian dari kemajuan pertanian. Beliau juga menekankan perlaksanaan projek-projek besar bukan yang kecil-kecilan. Kemungkinannya beliau memandang projek FELDA sebagai projek skala kecil yang kurang produktif dan patut diubah.

Sesuai dengan falsafah pembagunannya, tidak hairan jika Mahathir ingin melihat FELDA diuruskan atas asas skala besar. Ini bukan saja dianggapnya lebih produktif bahkan, lebih penting lagi, boleh menimbulkan ramai lagi pengurus, usahawan dan korporat/kapitalis Melayu, sebagaimana yang hendak digalakkannya selari dengan salah satu objektif asal DEB.


FELDA Holdings merupakan salah sebuah konglomerat (syarikat) yang terbesar dalam bidang perladangan di seluruh dunia. Dalam negara ia adalah syarikat kedua besarnya selepas PETRONAS. Ia terlibat dalam pelbagai bidang perniagaan yang meliputi perladangan, hiliran, pembikinan dan perkhidmatan.


Syarikat ini menguruskan tanah seluas 550 ribu hektar, 96 peratus ditanam dengan kelapa sawit. Selain itu ia terlibat juga dengan 70 buah kilang sawit, 13 kilang getah, 7 penapis, 4 kilang menghancurkan isi sawit dll. Pada tahun 2008 jumlah hasil perniagaannya mencecah jumlah RM15.4 bilion. Untung sebelum ditolak cukai pada tahun yang sama ialah sebanyak RM819 juta.


Terdapat lebih kurang 60 syarikat di bawah FELDA Holdings, 50 daripadanya aktif dan kebanyakannya membawa untung. Antara anak-anak syarikat di bawahnya ialah: Felda Plantations Sdn Bhd, Felda Palm Industries Sdn Bhd, Felda Technoplant Sdn Bhd, Felda Agricultural Services Sdn Bhd, Felda Farm Pruducts Sdn Bhd dan lain-lain lagi.


Felda Plantations membuka dan mengurus tanah-tanah ladang secara komersil. Selain itu ia menguruskan juga tanah-tanah Felda lama yang telah diserapkan kepadanya. Terdapat 323 rancangan FELDA di seluruh negara melainkan Pulau Pinang dan Sarawak. Sebahagian besar dari tanah rancangan asal FELDA ini telah diserapkan sebagai asas bagi penubuhan FELDA Plantations.


Proses penyerapan ini berlaku dengan pelbagai cara, yang melibatkan salah satu atau lebih dari yang berikut, iaitu: penerangan, pujukan, tekanan bahkan juga paksaan sereta ugutan. Ramai peneroka menyerahkan hak milik tanah mereka kepada Felda Plantations. Mereka menjadi semacam pemegang saham dalam syarikat perladangan tersebut.


Akan tetapi ramai juga yang mempertahankan kedudukan mereka dan terus bekerja sendiri sebagai peneroka cara lama. Pada masa yang sama tidak ada rancangan tanah Felda ini dibuka lagi. Ertinya, usaha untuk memberi tanah kepada petani yang ketiadaan atau kekurangan tanah tidak lagi dijalankan. Anak-anak peneroka yang tiada tanah atau pekerjaan tidak berpeluang untuk menjadi peneroka Felda.


Siapa Untung?


Huraian di atas menunjukkan perubahan FELDA dari sebuah lembaga yang bertujuan untuk menghapuskan kemiskinan menjadi Felda Plantations, di bawah FELDA Holdings, yang diselenggara secara komersil atas landasan kapitalis dengan tujuan mendapat laba sebesar mungkin. Siapakah yang menerima keuntungan terbanyak dari proses perubahan ini?

Jawabnya sudah tentulah FELDA Holdings dan berpuluh anak syarikatnya yang aktif, terutama seperti FELDA Plantations dan Felda Technoplant. Sebagai contoh, syarikat Technoplant mengelola kerja-kerja kontrak untuk menanam semula buat kali kedua bagi penoraka Felda yang telah diserapkan ke Felda Plantation.


Peneroka tidak dibenarkan menanam semula sendiri. Mereka diberikan hutang (bukan bantuan) untuk membayar semua kerja ini. Sudah tentulah hutang perlu dibayar. Technoplant mendapat untung dari kerja kontrak ini. Selain itu mereka juga menambah keuntungan dengan mengenakan bayaran untuk khidmat nasihat yang kononnya diberi kepada peneroka.


Sudah tentu FELDA Holdings membayar gaji dan/atau elaun yang lumayan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah, Pengarah-pengarah dan CEO masing-masing. Bagi FELDA Holdings, Pengerusi Lembaga Pengarah seorang Tan Seri, khabarnya dibayar gaji kira-kira RM30 ribu sebulan. Itu tidak termasuk elaun bagi menghadiri mesyuarat dan lain-lain keistimewaan.


Seterusnya sembilan dari 10 orang ahli lembaga pengarah bergelar datuk dan sudah tentu dibayar elaun sesuai dengan status mereka. Begitu juga dengan CEOnya. Tidak diketahui berapa gaji serta elaun untuk CEO itu dan berapa pula elaun mesyuarat, perjalanan, penginapan dan lain-lain bagi pengarah-pengarah.


Tiap-tiap anak syarikat FELDA Holdings, juga mempunyai pengerusi serta ahli-lembaga pengarah sendiri dan boleh jadi CEO juga. Jumlah gaji dan elaun mereka tidak diketahui. Adalah menarik jika dibuat kajian tentang ini dan berapa peratuskah keuntungan dari tiap-tiap syarikat dibayar kepada mereka.


Walau bagaimanapun mungkin item gaji dan elaun yang dibayar kepada semua pengarah dan CEO merupakan sebahagian kecil saja dari keuntungan yang diperolehi setiap syarikat. Apakah item pembayaran yang terbesar sekali? Betulkah tuduhan bahawa sebahagian dari keuntungan yang diperolehi Felda Holdings disalurkan kepada Umno? Jadi soal pokoknya ialah: apa dan siapakah yang mendapat bahagian terbesar sekali daripada untung itu. Kajian perlu dibuat untuk mendapatkan maklumat penting ini.


Siapa Rugi?


Adalah dianggarkan bilangan peneroka dalam semua rancangan tanah FELDA berjumlah kira-kira 113,000 orang. Rata-rata peneroka asal diberi pinjaman lebih kurang RM30,000 seorang untuk belanja semua jenis kerja membangunkan tanah.


Ada kerja yang peneroka lakukan sendiri dan ada yang dilakukan secara kontrak melalui pengurusan FELDA. Hutang harus dibayar dalam tempoh 15 tahun. Ada yang mengambil masa lebih lama dari itu.


Untuk membayar hutang, pendapatan yang peneroka perolehi dari menjual hasil kepada pengurusan FELDA dipotong di pangkal. Sehingga tahun 2000 semua peneroka telah melunaskan hutang mereka. Sepatutnya selepas itu secara automatik peneroka harus diberikan geran milik tanah. Sebaliknya mereka terpaksa meminta dan tidak diberikannya dengan mudah.


Yang sering berlaku ialah peneroka dengan berbagai-bagai cara diminta atau dipaksa menyerahkan milik tanah mereka supaya menjadi semacam pemegang saham dalam Felda Plantations. Tidak semua yang bersetuju. Mereka yang bersetuju diikat dengan pinjaman bagi kali kedua untuk menam semula kebun dan membina rumah baru. Jumlah hutang kali kedua ini sekitar RM70,000.


Sebagai pemegang saham mereka diberikan bayaran sebanyak kira-kira RM1200 sebulan yang boleh dianggap seolah sebagai “dividen”, yang dibayar setiap bulan. Ramai peneroka menanggung hutang lagi sewaktu umur sudah lajut dan bagi sesetengah peneroka hutang ini mungkin tidak langsai lagi apabila mereka mati.


Walaupun demikian, tidak kurang pula mereka yang berasa gembira kerana menerima pendapatan bulanan dengan bergoyang kaki saja tanpa perlu membuat sebarang kerja. Sesetengah mereka menganggap pendapatan ini sebagai bayaran “pencen” semasa tua. Kadang-kadang mereka lupa tentang bebanan hutang yang mereka pikul. Sistem ini tidak memerlukan mereka bekerja dan bahkan mengalakkan mereka menjadi malas.


Pada hakikatnya pendapatan peneroka yang diserap ke dalam Felda Plantations menerima pendapatan jauh lebih kecil dari pendapatan para peneroka yang mengambil geran dan menguruskan tanah sendiri. Misalnya, didapati bahawa semasa kelapa sawit mengalami harga yang tinggi, peneroka yang menguruskan tanah sendiri boleh mendapat pendapatan sampai RM5000, iaitu 4-5 kali ganda dari apa yang diperolehi peneroka yang menyertai Felda Plantations itu.

Peneroka yang terlibat dengan FELDA Holdings sering dalam kerugian. Bukan saja pendapatan mereka kecil, bahkan mereka memikul bebanan hutang yang banyak. Pendapatan mereka merudum turun, kadang-kadang menghampiri sifar apabila harga kelapa sawit turun terlalu rendah. Kehidupan keluarga sempit dan masa depan kebanyakan anak cucu mereka tidak terjamin.


Nasib Generasi Kedua


Seperti yang diterangkan di atas, selepas pembentukan Felda Plantations, tidak ada lagi tanah dibuka untuk peneroka baru. Ertinya, sudah dinafikan peluang untuk petani miskin yang ketiadaan atau kekurangan tanah untuk mendapat tanah. Tiada juga peluang untuk generasi kedua dan ketiga (anak serta cucu peneroka asal) walaupun tiada pekerjaan atau tidak bertanah. Mereka tidak ada peluang pekerjaan lain dan tidak dapat mengikut jejak bapa atau datuk mereka.


Bilangan pekerja di bawah FELDA Holdings (yang meliputi semua anak syarikatnya) berjumlah kira-kira 19,000 orang. Ini tidak termasuk peneroka dan pekerja ladang. Kebanyakan pekerja ladang dalam Felda Plantations terdiri dari pendatang luar negara. Begitu juga dengan pekerja-pekerja kontrak yang digunakan untuk kerja-kerja khusus seperti menanam semula di bawah kelolaan Technoplant. Bilangan orang tempatan kecil.


Walaupun ada anggapan konon generasi kedua peneroka tidak suka menjadi “kuli ladang”, namun maklumat yang dikumpul menyatakan ada di antara mereka yang memohon tidak diterima. Ada anggapan kononnya mereka ini tidak bersedia bekerja sekuat pekerja-pendatang yang dibayar gaji agak rendah, tidak mendapat syarat-syarat perkhidmatan yang baik dan mudah pula dikawal. Tiada gaji tetap bagi mereka. Ada yang merasakan seolah-olah mereka bekerja sebagai hamba.


Seterusnya, ramai anak peneroka Felda mempunyai kelayakan atau kelulusan dari pusat-pusat pengajian tinggi. Di antara mereka ada yang telah mendapat biasiswa di bawah rancangan bantuan FELDA Holdings. Sepatutnya mereka ini diberikan keutamaan menjadi pegawai dalam FELDA Holdings atau anak-anak syarikatnya. Akan tetapi tidak. Walaupun ada yang diambil bekerja, saya diberitahu peratusannya adalah kecil.


Terdapat anggaran bahawa bilangan generasi kedua dan ketiga Felda menghampiri 800,000. Bilangan sebenar boleh jadi lebih kecil dari itu. Berdasarkan bilangan 113,000 keluarga peneroka dan anggapan setiap seisi rumh terdiri dari 5-6 orang, saya anggar bilangan mereka mungkin dalam lingkungan 500 hingga 600 ribu.


Yang lebih penting dan serius dari angka ini ialah sebahagian besar dari mereka yang tidak berpeluang mendapat pekerjaan di tempat lain masih tinggal bersama-sama keluarga merek di rancangan Felda. Ramai dari mereka dalam keadaan menganggur. Mereka terbiar. Bermacam-macam masalah sosial timbul di kalangan mereka akibat pengangguran itu.


Bilangan mereka yang terlibat dengan pencurian, penyalahgunaan dadah, perbuatan-perbuatan sumbang dan menjadi Mat Rempit dan macam-macam lagi, sangat besar. Hal-hal ini buruk akibatnya dalam masyarakat peneroka dan serius implikasinya ke seluruh negara. Malangnya hampir kesemua mereka ini terdiri dari muda-mudi Melayu.


Apa Perlu Dilakukan?


Untuk memastikan masa depan lebih baik bagi peneroka Felda dan masa depan yang lebih cerah bagi generasi kedua dan ketiga peneroka Felda, beberapa langkah perlu dan boleh diambil. Antaranya ialah:


a) Membuka semula rancangan tanah Felda mengikut konsep asalnya, tetapi tanpa merosakkan alam sekitar, dengan tujuan memberi peluang terutama sekali kepada generasi kedua dan ketiga yang tidak bertanah atau tiada pekerjaan mengatasi kemiskinan.


b) Menggalakkan dan membuka peluang seluas mungkin kepada generasi kedua dan ketiga yang mempunyai kelayakan atau kelulusan, terutama yang telah menerima biasiswa dari FELDA Holdings, untuk menjadi pegawai dalam syarikat gergasi itu serta anak-anak syarikatnya.



c) Memberikan peluang luas, galakan kuat dan insentif serta syarat perkhidmatan yang baik untuk menarik anak-anak muda dari generasi kedua dan ketiga bekerja dalam ladang-ladang Felda Plantations dalam bentuk yang ada sekarang.


d) Membuka pelbagai pusat latihan serta kemahiran (seperti vokasional) yang terbuka lebih ramai (tetapi tidak eksklusif) kepada anak-anak muda generasi kedua dan ketiga bagi meningkatkan taraf kebolehan dan kemahiran mereka.


e) Mengkaji semula hutang dengan tujuan menghapuskan hutang besar dengan bunga tinggi yang dibebankan ke atas peneroka’


f) Mengubah pendekatan dan sistem perladangan Felda supaya keuntungan besar yang diperolehi FELDA Holdings serta anak-anak syarikatnya dapat diagihkan secara adil untuk memberi faedah dan kebajikan lebih besar kepada petani-peneroka umumnya.


Perlunya Penyusunan Semula


Perkara (f) di atas perlu dibincang dengan lebih lanjut lagi.


Sebagaimana yang sudah diterangkan, FELDA Holdings dan anak-anak syarikatnya seperti Felda Plantations dan Felda Technoplant merupakan syarikat-syarikat berorientasi komersil yang berasaskan sistem kapitalis. Tujuan utamanya ialah untuk memaximakan keuntungan.


Untuk mencapai tujuan ini tidak hairanlah jikalau mereka sampai tergamak melakukan penindasan ke atas peneroka yang menyertainya. Misalannya, mereka memberikan pendapatan yang rendah kepada peneroka, membelenggukan mereka dengan hutang yang agak kadar faedahnya ( 6.25 peratus), dan mengenakan bayaran lain, seperti untuk khidmat nasihat.


Sekali-sekala, khususnya berdekatan hari perayaan atau pilihanraya diadakan upacara-upacara memberikan “wang hadiah” kepada para peneroka. Para pembesar, termasuk Perdana Menteri menyampaikannya. Acapkali pemberian ini diwar-warkan sebagai langkah kerajaan yang dikatakan prihatin terhadap nasib rakyat.


Wang hadiah itu sering diumumkan sebagai wang dari kerajaan. Akan tetapi, sebenarnya ia datang, atara lainnya dari tanah kepunyaan peneroka sendiri, yang sudah dikawal oleh FELDA Holdings melalui Felda Plantations. Sebenarnya wang hadiah itu lebih kecil daripada jumlah yang sewajarnya boleh dan harus diterima oleh peneroka.


Ramai yang menganggap struktur syarikat yang wujud tidak memberikan faedah serta kebjikan sewajarnya kepada petani-peneroka. Untuk meningkatkan setinggi-tingginya faedah serta kebajikan itu mereka berpendapat perubahan atau penyusunan semula perlu dilakukan ke atas syarikat, dari segi falsafah, pendekatan, struktur dan organisasi.


Dalam hal ini mereka mengemukakan pandangan berbeza yang boleh dirumuskan kepada tiga jenis alternatif.


Alternatif A: Mengagih semula keuntungan yang diperolehi FELDA Holdings untuk faedah dan kebajikan petani-peneroka. Seperti yang telah disebut lebih awal, keuntungan syarikat bagi tahun 2008 melebihi RM800 juta. Kita belum melihat atau mengetahui laporan yang menunjukkan siapa atau golongan mana yang mendapat bahagian terbesar dari keuntungan ini.


Yang dicadangkan untuk Alternatif A ini ialah supaya sebahagian besar keuntungan syarikat diagihkan kepada petani-peneroka dengan menaikkan pendapatan mereka. Selain itu hendaklah digunakan juga keuntungan itu bagi membina pusat-pusat latihan kemahiran dan juga memberi lebih banyak bantuan (ditambah dengan subsidi dari Kerajaan) untuk pendidikan dan kesihatan bagi anak-anak petani-peneroka yang layak.


Alternatif B: Memecah-mecahkan semula semua tanah ladang yang dibuka dan dikelola oleh Felda Plantations kepada lot-lot seluas 10 ekar. Kemudian mengagihkannya kembali kepada generasi kedua serta ketiga yang tidak mempunyai tanah atau pekerjaan dan juga kepada petani yang ketiadaan atau kekurangan tanah di luar rancangan Felda.


Dengan Alternatif B ini bererti konsep pengurusan tanah secara perladangan a la Felda Plantations perlu diberhentikan dan kembali semula kepada pengagihan dan pengurusan tanah mengikut rancangan tanah yang asal. Dikatakan bahawa jikalau cara ini dilaksanakan maka kira-kira 80,000 peneroka baru (beserta keluarga mereka) boleh medapat faedah daripada ladang-ladang yang dipecah dan diagihkan.


Alternatif C: Menukar cara pengurusan semua syarikat yang terlibat kepada cara yang berasaskan prinsip kooperasi. Sehubungan ini peneroka dan juga pekerja syarikat hendaklah dijadikan sebagai pemegang saham dalam usaha koperasi yang besar. Semua urusan kerja seperti membeli benih, menanam semula, mengilang biji sawit, memasarkan minyak sawit dan sebagainya hendaklah dilakukan atas asas kooperasi.



Di sini kita lihat asas falasafah dan pendekatan menyelenggara syarikat dan menjalankan aktivitinya perlu dirombak sama sekali. Ada kemungkinan bahawa struktur dan organisasi syarikat-syarikat tidak begitu banyak perlu diubah.


Pada masa ini FELDA Holdings dimiliki seperti berikut;


51 peratus oleh Kooperasi Permodalan Felda (KPF)

49 peratus oleh peneroka Felda (yang telah diserap)

01 peratus Saham Emas (Golden Share) oleh Kementerian Kewangan.


Walaupun angka di atas menunjukkan modal terbesar syarikat dimiliki oleh badan yang dinamakan koperasi namun syarikat itu tidak kelihatan sama sekali mengamalkan prinsip kooperasi dalam urusannya.


Perubahan dan penyusunan semula yang besar memang diperlukan untuk membantu golongan rakyat miskin, terpinggir dan berpendapatan rendah. Lebih banyak yang diperlukan daripada hanya dalam proses perubahan dan penyusunan semula itu.


Berhubung dengan FELDA Holdings serta anak-anak syarikatnya, perubahan mengikut tiga Alternatif di atas merupakan cabaran sangat besar. Pada peringkat akhir Kerajaan mempunyai kuasa penentu ke atas Felda Holdings dan segala perubahan dan penyusunan semula yang hendak dilakukan. Ini dilambangkan oleh Saham Emas yang dimiliki Kerajaan.


Jikalau ada perubahan atau penyusunan semula hendak dilakukan dengan jaya, ia memerlukan keazaman politik (political will) terutama sekali di kalangan pihak yang mempunyai kuasa. Dalam keadaan sekarang ini, dengan kepentingan mereka serta kroni-kroni mereka, saya tidak nampak bagaimana pemimpin-pemimpin besarnya boleh menyetujui ketiga-tiga Alternatif yang dirumuskan.


Namun demikian para peneroka yang prihatin, seperti saudara-saudara yang hadir dalam Konvensyen bersejarah ini, harus mengkaji dengan terperinci setiap Alternatif. Kita mesti meneliti masalah-masalah dan kepentingan golongan apa yang harus diatasi. Kita mesti mengkaji cara-cara untuk mengatasinya. Kita mesti putuskan Alternatif mana yang terbaik.


Kita berharap Insha Allah akan berlaku pertukaran pemerintahan di negara ini kepada yang lebih peduli akan nasib rakyat yang lemah. Apabila ini berlaku, kita harap juga para peneroka sudah bersedia dengan apakah pilihan yang terbaik untuk faedah, kebajikan dan kepentingan mereka. Ini boleh dijadikan agenda perjuangan mereka untuk masa kini dan akan datang.


Konvensyen Peneroka, Jerantut

20hb Februari 2010

KETUA AMK BATU BERADA DI HOSPTAL


Ketua AMK Batu iaitu saudara Rozan telah berada di Hospital Ampang di Pandan Mewah. Beliau boleh dilawati di wad Ortopedik 5A di Katil nombor 3. Beliau disahkan oleh doktor pakar perlu menjalani pembedahan appenditicis dan beliau telah selamat menjalankan operasi bedah petang semalam. Mari kita semua doakan agar kesihatan beliau akan sihat seperti sedia kala.

Wednesday, February 24, 2010

10 ribu FELDA Himpun Di Pejabat Suhakam

Tarikh : 24/02/2010 (Rabu)
Masa : 2.00 petang
Tempat : Pejabat SUHAKAM, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

Dijangka seramai 10 ribu warga Felda akan berhimpun dalam satu sesi penyerahan memorandum berkaitan bantahan perlanggaran hak asasi para peneroka FELDA pada SUHAKAM pada hari esok - Rabu 24 Februari 2010 jam 2 petang di Pejabat Suhakam, Jalan
Raja Laut, Kuala Lumpur.
Dijangka ramai orang awam akan hadir memberi sokongan.
Datanglah Beramai-Ramai Tanda Sokongan

Tuesday, February 23, 2010

GOODS AND SERVICE TAX (GST) FORUM

Date: 5 March 2010 (Friday)
Time: 4pm
Admission: Free For 250 seats
Venue: Tropical Inn, Jalan Gereja, Johor Bahru, Johor D.T.

CERAMAH PERDANA:SELAMATKAN MALAYSIA

Tarikh: 24 Febuari 2010
(Rabu)Masa: 9.00pm
Tempat: Stadium Tertutup Kuala Selangor

Penceramah:
Dato' Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang/Ketua Umum PKR)
YAB Tan Sri khalid Ibrahim (MB Selangor)
YAB Lim Guan Eng (KM Pulau Pinang)
Y.B. Tuan Dr. Abd Rani bin Osman (ADUN Meru)
Sdr. Samsul Iskandar (Ketua AMK Pusat)

Dan Ramai Lagi Para Pemimpin Pakatan Rakyat

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI.

FORUM DI SELANGOR !!!


FORUM: UMNO MENIPU ORANG MELAYU - NAIKKAN CUKAI

Tarikh: 24hb Februari 2010

Masa: 8.00 malam- 11.00 malam

Lokasi: Auditorium MBSA, Shah Alam

PANELIS:

1. YAB Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor
2. YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
3. YB Dr. Dzulkifli Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor
4. YB Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara
5. Sdr Rafizi Ramli, Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor
Forum Awam Bermula

Moderator: YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor

Semua dijemput hadir.

Hubungi: 0355447017 / saifullahzulkifli@gmail.com untuk maklumat lanjut

ANJURAN PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

Thursday, February 18, 2010

TPM SILALAH MARAH NEGERI-NEGERI INI!!!!

TPM yang kita sayangi telah marah dengan kepimpinan Lim Guan Eng yang dikatakan tidak mahu mengadakan perarakan Maulidur Rasul tetapi dengan ketentuan Allah, mengikut laporan berita dari Malaysiakini, negeri Pahang, Perlis dan negeri kelahiran TPM iaitu Johor tidak akan mengadakan perarakan Maulidur Rasul jadi kena adillah, marah juga mereka, jangan pilih kasih antara Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan Kerajaan Negeri Barisan Nasional.

Petikan dari http://www.malaysiakini.com/news/124594

Maulidur Rasul: Tiada perarakan di Johor, Pahang, Perlis
Salhan K Ahmad
Feb 18, 10
5:14pm

Johor, Pahang dan Perlis tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, umumnya kerana ia tidak dituntut oleh Islam.

Di Pahang, negeri itu hanya akan mengadakan satu ceramah di auditorium RTM Kuantan, tanpa perarakan besar seperti yang diadakan beberapa tahun lalu, kata pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman.

"Kita tidak buat perarakan, tapi sambutan dalam bentuk ceramah sahaja. Seingat saya kita cuma pernah adakan perarakan sekali saja pada tahun 2008, yang lain lebih banyak kita adakan ceramah," kata Abdul Manan ketika dihubungi.

Jelasnya, keputusan untuk tidak mengadakan perarakan Maulidur Rasul tahun ini diambil setelah mengambil kira keselesaan orang ramai yang akan hadir dan tidak melibatkan hukum ke atas penganjuran perarakan.

"Kita tidak anjurkan perarakan tahun ini bukan sebab hukum tetapi kerana mengutamakan keselesaan orang ramai yang akan hadir kerana ia dibuat waktu malam.

"Kita takut nanti akan hujan, dan perlu juga ambil kira masalah kesesakan," katanya dan menjelaskan belum ada lagi fatwa yang dikeluarkan berhubung penganjuran perarakan seperti itu.

"(Pahang) belum ada lagi fatwa yang katakan tidak boleh (buat perarakan), pandangan ini juga belum diutarakan lagi. Kalau ada (ulama) yang kata tidak boleh, ia perlu dibawa ke dalam Majlis Fatwa Kebangsaan," tambahnya.

Di Johor pula, sambutan tahun ini dijangka tetap meriah walau diadakan tanpa perarakan, kata pengarah Jabatan Agama Islam Johor A Rahman Jaffar.

Katanya, sambutan kali ini akan berlangsung sepanjang bulan dengan aktiviti yang dijadualkan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru dan juga di masjid-masjid jamek di setiap daerah.

Program di masjid negeri yang akan dihadiri Sultan Johor itu antaranya akan meliputi titah sultan, ceramah dan majlis berzanji.

"Dahulu kita pernah buat perarakan tapi sekarang tidak ada lagi, lagipun acara perarakan ini tidak dituntut oleh Islam" katanya.

Tambahnya, beberapa kumpulan tetap memohon supaya diadakan perarakan tahun ini, namun cadangan itu ditolak oleh Majlis Agama Islam Johor.

Juga difahamkan, negeri itu tidak pernah mengeluarkan apa-apa fatwa berkaitan penganjuran perarakan bagi menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Kita fokuskan kepada aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong membersihkan masjid dan juga kawasan kubur. Kalau tidak, kita bersihkan kubur waktu hari raya sahaja.

"Kalau perarakan pun cuma sekali saja, lepas itu habis. Kalau kita buat aktiviti kemasyarakatan kita boleh buat secara berterusan," katanya lagi.

Sementara itu, Perlis juga tidak akan mengadakan perarakan bagi sambutan kali ini, seperti juga tahun-tahun sebelumnya.

Ini disahkan oleh exco agama Islam negeri Jefri Othman yang berkata, Perlis sememangnya tidak pernah menyambut Maulidur Rasul secara besar-besaran

"Kita memang dari dulu lagi tidak sambut Maulidur Rasul secara besar-besaran seperti negeri lain," katanya.