Monday, April 30, 2012

TAHNIAH KEPADA PEJUANG RAKYAT!

Angkatan Muda keADILan Cabang Batu ("AMK Batu") ingin memanjatkan setinggi-tinggi syukur dan ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada lebih 300,000 hadirin yang mempedulikan nasib Rakyat dengan menyertai perhimpunan TERBESAR dalam sejarah Malaysia sejak demonstrasi 'Haram' oleh UMNO apabila menentang Malayan Union.

AMK Batu juga ingin merakamkan setinggi-tinggi SYABAS kepada Ahli Parlimen Batu YB Tian Chua yang 'sepertimana biasa' turut diangkut dan diambil kenyataan di markas latihan Polis di PULAPOL. Turut ditahan adalah Prof. Abdul Aziz Bari, bekas professor undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

Pengorbanan para demonstran menuntut pilihanraya yang bersih dan adil tidak akan dilupakan, malah perhimpunan bersejarah ini ternyata menjadi pencetus ataupun 'Watershed Event' yang bakal merubah lanskap politik Malaysia (disamping memaksa Najib Razak memikirkan semula tarikh pilihanraya).

Insiden provokasi Polis ternyata mencetuskan kemarahan Rakyat yang telah tersedia tersinggung derita akibat kenaikan harga barang ruji, kos hidup disamping gaji dan pendapatan yang tidak meningkat.

UMNO dan BN harus sedar bahawa tindakan populis mereka tidak membuahkan hasil, malah jika dikira jumlah ratusan ribu yang PASTInya telah menerima 'rasuah politik' seperti BR1M, KR1M dan selainnya, TURUT SERTA dalam perhimpunan. Nyata, mereka merasakan buah tangan tersebut adalah milik mereka, namun mereka TETAP mahu UMNO dan BN hancur luluh.

Kami sebagai sayap politik yang menyokong tuntutan gabungan NGO dalam BERSIH 3.0, mengucapkan tahniah kepada semua, dan mengusulkan, sekiranya UMNO/BN masih memilih untuk membutakan mata, memekakkan telinga, agar BERSIH 4.0 diadakan pula.

Salam BERSIH 3.0!

HIDUP RAKYAT! Semarakkan Perjuangan!


Sudah tiba masanya untuk kita
Bersama berkumpul dalam satu cita
Menunjukkan sedih pilu Rakyat  semua
Yang dahagakan kebenaran!
Yang dahagakan ketelusan!
Yang dahagakan keadilan dalam pilihanraya!

Seluruh diaspora Malaysia sepertimana dahulukala
Dalam negeri mahupun luar negara
Bersatu hati dengan impian yang nyata
Berhimpun lagi pada esok hari 

Baju kuning yang sama pelbagai versi
Bergerak bersama bersatu hati
Meninggalkan keluarga demi 
Yang tua, Yang muda, Yang sakit, Yang lemah
Bersama semua DUDUK DAN BANTAH!

Anak ku sama serupa sahaja
Anwar Ibrahim katamu ku ulang semula
India, Melayu dan yang Cina
Semua bersama mengangkat suara!

KAMI BANTAH!
KAMI BANTAH!
KAMI BANTAH!

Rona-rona kuning bertaburan
Dipaksa lari bertempiaran
Namun hati teguh berdiri
NIATKU BUKAN UNTUK PERIBADI!

New Zealand, Jepun termasuk Arab Saudi
Sokongan tidak berbelah bahagi
Demi negara dan masa hadapan
Aku berdiri demi keadilan!

Puncak Gunung Everest sudah ditawan
Sejuk, panas khatulistiwa semua berperanan
menunjukkan kasih dan sayang kepada
Negara Malaysia Tanah Airku Tercinta!

Hentikan kezaliman, penindasan, penipuan
Hentikan samseng, tiga-line dan bunohan
Agar Rakyat dapat merasa
Kemewahan negara sementara ada

AYUH! kita kentalkan semangat
AYUH! kita naikkan kalimat
Sakti yang menggegarkan, mengempitakan, mengasyikkan
HIDUP RAKYAT! Semarakkan Perjuangan!

Oleh:

Amir Hamzah bin Amha
www.puterakemuning.com

Thursday, April 26, 2012

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia bertemu YAB Dato Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim

Melihat kepada perkembangan hari ini, isu pendidikan percuma cukup luas dibicarakan. Bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat dan negeri-negeri, malah wacana ini dibicarakan pada peringkat akademik, Universiti dan para ibu bapa di seluruh negara.

AMK melihat isu ini sebagai urusan yang wajar disegerakan untuk membuktikan bahawa pentadbiran dan tatakelola kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya, walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan.Justeru AMK berhasrat mengadakan satu kunjungan hormat untuk bertemu YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan tujuan berbicara dan menyampaikan sumbang saran tentang dasar pendidikan percuma, khususnya di negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.

Satu surat kunjungan hormat telah dihantar ke Pejabat Menteri Besar. Maka, AMK dengan penuh harapan agar YAB Dato’ Menteri Besar mempunyai ruang untuk berdiskusi. AMK percaya dan yakin, setelah empat tahun mentadbir negeri Selangor. YAB mampu sekali lagi mendepani isu ini dengan merangka satu dasar pendidikan percuma, khususnya di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan negeri Selangor.

Kami, di peringkat AMK mewakili golongan anak muda akan sentiasa berada di belakang kepimpinan YAB dalam meneruskan agenda merakyatkan ekonomi dan pendidikan di negeri Selangor. Oleh yang demikian, Selangor mampu menjadi model dan peneraju pendidikan percuma di peringkat nasional.


Setiausaha
Angkatan Muda Keadilan
Julailey Jemad
Kenyataan Media Angkatan Muda Keadilan Malaysia
26 April 2012

Bersih 3.0 : Datuk Bandar Kuala Lumpur Jangan Angkuh 

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail dalam beberapa respon beliau mengenai Perhimpunan Aman Bersih 3.0 yang akan diadakan pada 28 April 2012. Terdahulu, beliau menyatakan penolakan kelulusan kepada Bersih untuk menggunakan Dataran Merdeka kerana kononnya perhimpunan ini bukanlah program bersifat nasional dan berteraskan politik. 

AMK berharap Datuk Bandar tidak lupa apabila pada 27 Jun 2009, Dataran Merdeka juga menjadi medan pelancaran logo 1Malaysia yang jelas merupakan kempen politik berterusan Umno-BN sehingga kini. Jika dibandingkan dengan Bersih, motif Bersih lebih jelas dan transparen : memperjuangkan sistem pilihanraya yang adil dan telus. 

Solidariti telah ditunjukkan oleh rakyat Malaysia di luar negara, malahan masyarakat antarabangsa seantero dunia turut bersama-sama menyatakan sokongan mereka ke atas Bersih 3.0 ini. Terkini pada 25 April 2012, Datuk Bandar sekali lagi memberi amaran kepada Bersih bahawa tindakan keras akan diambil jika mereka meneruskan hasrat untuk berhimpun di Dataran Merdeka pada 28 April ini. Alasan yang diberi ialah Dataran Merdeka berada di bawah tangungjawab DBKL melalui kuasa Datuk Bandar melalui undang-undang yang digunapakai sejak 1992 dan ini, kononnya, jelas bertentangan dengan Akta Perhimpunan Aman 2011. 

AMK melihat kenyataan Datuk Bandar ini jelas bersifat 'mala-fide', dalam keadaan beliau bersikap selektif dalam menentukan apa jenis program yang boleh dianjurkan di Dataran Merdeka. Malah, kenyataan ini juga sebenarnya menimbulkan pertikaian apabila beliau kemudiannya menawarkan beberapa lokasi lain. 

Apa bezanya jika Dataran Merdeka menjadi lokasinya? Mengapa perlu perubahan lokasi dicadangkan di saat-saat terakhir? Apakah mereka khuatir jika Dataran Merdeka menjadi saksi gelombang kuning kebangkitan rakyat menolak penyelewengan sistem pilihanraya Malaysia? 

AMK melihat ini jelas merupakan sekatan-sekatan politik yang dilakukan oleh Umno-BN, di mana kemungkinan suspek terbesar ialah Menteri Wilayah Persekutuan dengan "memperkudakan" institusi Datuk Bandar Kuala Lumpur dan DBKL untuk menghalang dan mencetuskan provokasi awal ke atas Bersih 3.0. 

AMK menggesa agar Datuk Bandar tidak bersikap angkuh dengan siri-siri kenyataan yang hanya menunjukkan kegusaran mereka untuk berhadapan dengan ketidakpuasan hati rakyat. AMK turut mendesak agar Perdana Menteri, sekiranya benar beliau komited dengan agenda wassatiyyah, tidak bersikap jumud dengan menyalahgunakan agensi kerajaan seperti DBKL untuk menghalang rakyat menyuarakan pendapat mereka. Adalah amat malang, apabila agenda membersihkan sistem pilihanraya nasional daripada elemen penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan juga penggunaan pengundi-pengundi yang diragui statusnya. 

Tindakan menghalang Bersih 3.0 hanya membuktikan bagaimana pihak-pihak ini sanggup menggunakan segenap kuasa yang mereka ada - termasuk menghalalkan penyelewengan pilihanraya - demi memastikan Umno-BN terus berkuasa.

Friday, April 13, 2012

Bersih pertikai larangan berarak ke Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR 13 April: Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga mempersoalkan kenyataan polis yang melarang peserta perhimpunan Bersih 3.0 berarak ke Dataran Merdeka.

“Anda fikir peserta akan menaiki helikopter? Mereka harus berjalan kaki, atau memandu,” katanya.

Katanya lagi, Bersih akan menetapkan laluan untuk membantu peserta ke Dataran Merdeka, dan peserta mesti mematuhinya bagi mengelakkan sebarang masalah.

Beliau juga menyangkal dakwaan perhimpunan itu akan mencemarkan status Dataran Merdeka sebagai warisan sejarah.

“Setiap minggu, pelbagai pihak mengadakan acara dan aktiviti di Dataran Merdeka, jadi mengapa hanya kami yang mendapat halangan?

“Adakah hanya kerana pihak berkuasa tidak suka dengan apa yang kami suarakan?” soalnya lagi.

Ambiga juga menyuarakan keyakinan perhimpunan kali ini akan berjalan dengan lancar dengan kerjasama polis.

“Seperti juga semasa perhimpunan sebelumnya, kami bertegas akan menyerahkan sendiri mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Bersih menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan tema ‘Duduk Bantah’ di Dataran Merdeka 28 April ini, ekoran tidak berpuas hati dengan laporan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk Pembaikan Pilihan Raya yang tidak memenuhi lapan tuntutan mereka.

Selain Dataran Merdeka, Bersih 3.0 juga akan diadakan di beberapa lokasi lain di Malaysia, dan 33 buah bandaraya di seluruh dunia.

Jika anda suka berita ini, sila ‘Like’ laman Facebook KeadilanDaily.

Anda juga boleh ‘follow’ Twitter KeadilanDaily.

Pindaan Auku bercanggah kampus demokrasi dan autonomi

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mengkritik tindakan kerajaan pusat yang membuat pindaan ke atas Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak membawa perubahan yang sebenar, malah bercanggah dengan prinsip kampus demokrasi dan autonomi pelajar.

Pindaan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan permintaan dan pendapat umum untuk mansuhkan AUKU, malah mencengkam kebebasan akademi dan mahasiswa serta meneruskan dasar campur tangan politik daripada pemerintah ke atas pentadbiran universiti.

Sebenarnya pindaan yang dikemukakan hanya untuk meredakan kemarahan rakyat semata-mata khasnya Pilihanraya Umum Ke-13 yang kian dekat. Pindaan ke atas Seksyen 15 AUKU yang membenarkan pelajar mendaftar sebagai ahli dalam parti politik tetapi melarang politik parti ke dalam kampus adalah bercanggah diri dan tidak masuk akal.

Kerajaan telah menunjukkan keyakinan diri yang lemah dan tidak berwibawa dalam menangani pindaan AUKU. Pindaan tersebut adalah ketinggalan masa serta membongkarkan bahawa kerajaan pusat tidak berupaya berdepan dengan golongan mahasiswa yang berfikiran bebas serta kritikal.

AMK menegaskan bahawa pindaan AUKU tidak mengembalikan kuasa kepada golongan akademik dan mahasiswa. Pihak universiti masih kekal dengan kuasa menafsir undang-undang dan menjatuhkan hukuman. Samada sesuatu persatuan/aktiviti adalah sah atau haram, memenuhi kepentingan universiti atau tidak, semuanya tertakluk di bawah tafsiran pihak universiti.

Mahkamah universiti yang tertutup atau ‘kangaroo court’ masih dikekalkan dan diguna untuk menghukum mahasiswa yang lantang serta kritikal terhadap pihak universiti atau kerajaan. Kesemua ini adalah bercanggah dengan hak asasi manusia serta prinsip kampus demokrasi.

AMK berpendapat bahawa sekiranya kerajaan pusat ingin membina imej menepati janji dan transformasi Perdana Menteri Najib, maka janganlah mengurus universiti seperti cara mengurus tadika atau melayan mahasiswa seperti budak-budak kecil. Akibat daripada itu, matlamat transformasi tidak akan tercapai malah menjadi bahan jenaka orang ramai.

Oleh itu, AMK menegaskan bahawa pindaan AUKU yang dibuat oleh kerajaan bukan sahaja tidak membawa sebarang makna kepada kampus demokrasi, malah tidak bertepatan dengan permintaan rakyat untuk menjalankan reformasi yang tulen. Buku Jingga telah menggariskan bahawa bila Pakatan Rakyat menjejaki Putrajaya, maka AUKU akan dimansuhkan. Pakatan Rakyat akan melaksanakan kampus demokrasi serta autonomi pelajar.

LEE KHAI LOON

Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Thursday, April 12, 2012

AMK Berpendapat Kerajaan UMNO/BN Tidak Ikhlas Dalam Menegakkan Hak Asasi Manusia

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
12 April 2012

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon berpendapat bahawa Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah menunjukkan kerajaan tidak ikhlas dalam menegakkan prinsip hak asasi manusia malah terdapat unsur penipuan dalam proses transformasi yang diwar-warkan oleh UMNO/BN.

Walaupun Perdana Menteri seringkali bangga dengan ‘tepati janji’, tetapi dengan pindaan Kanun Keseksaan yang masukkan kesalahan berhubung kegiatan yang mengancam demokrasi berparlimen serta pindaan AUKU yang benarkan pelajar berpolitik tetapi mengharamkan politik parti dalam kampus adalah usaha yang mengelirukan. Kesemua usaha tersebut adalah taktik politik retorik murahan untuk mengaut sokongan rakyat.
Dengan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang masih mengekalkan unsur-unsur kezaliman di mana tahanan tanpa bicara, serta memberi kuasa mutlak kepada polis untuk mengumpul bahan bukti serta memintas atau gangguan maklumat komunikasi tanpa waran mahkamah.

Maka, perubahan undang-undang yang dijalankan oleh kerajaan telah menimbulkan pertikaian di kalangan masyarakat sivil serta badan-badan NGO. Mereka berpandangan bahawa kerajaan ingin mengekang ruang kebebasan rakyat serta memperluaskan kuasa untuk teruskan matlamat menjajah rakyat.

Dalam pindaan Kanun Keseksaan yang memperkenalkan 13 peruntukan khasnya Seksyen 124B dan 124C yang menghukum mana-mana individu, penerbitan atau penyebar maklumat yang terlibat dalam kegiatan mengancam demokrasi berparlimen adalah 20 tahun manakala hukuman bagi kesalahan cubaan melakukan perkara itu adalah 15 tahun.

Pindaan tersebut seolah-olah memberi kelulusan menyeluruh (blanket approval) kepada pemerintah untuk menafsirkan kegiatan mengancam demokrasi berparlimen. Tindakan tersebut bukan sahaja menyekat kebebasan bersuara dan maklumat, malah mengekang kebebesan teknologi maklumat yang sedia ada di Malaysia.

AMK menegaskan Rang Undang-undang baru serta pindaan yang dibentangkan oleh kerajaan adalah bertentangan dengan hasrat masyarakat sivil yang berjuang untuk menegakkan hak asasi manusia serta demokrasi.

Walaupun kerajaan UMNO/BN seringkali menyatakan bahawa mereka telah banyak berkompromi serta memperbaiki keadaan hak asasi manusia, namun apabila diteliti dengan isi kandungan rang undang-undang masih terdapat banyak unsur yang zalim serta penipuan yang cuba mengelirukan rakyat.

Oleh itu, AMK menyeru semua ahli parlimen dari pemerintah atau pembangkang perlu mengumpul maklum balas daripada pelbagai pihak dan rakyat berlandaskan konsep ‘negara yang paling demokrasi di dunia’ yang diutarakan oleh PM Najib Razak sendiri.

Semua Ahli Parlimen diphon agar tidak meluluskan rang undang-undang dan pindaan akta tersebut dalam keadaan tergesa-gesa. Perbincangan serta perbahasan yang menyeluruh perlu diadakan sebelum kelulusan dibuat. Janganlah mempergadaikan asas demokrasi dan kebebasan yang telah dibina sejak Kemerdekaan Malaysia.

Wednesday, April 4, 2012

Siri Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kedah Sempena Pelancaran Kempen Jom 100% Bersih 2.0 6 April 2012 (Jumaat)

Siri Jelajah Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke Kedah
Sempena Pelancaran Kempen Jom 100% Bersih 2.0
6 April 2012 (Jumaat)

1) 5.00 ptg – Perasmian Pusat Komuniti PKR Alor Setar & Hi-Tea

Lokasi: No 172-I, Tkt 2, Jln Putra (Sebelah Sentosa Mall), Alor Setar

2) 7.15 -8.30 mlm – Solat & Tazkirah Maghrib

Lokasi: Masjid Tengku Ahmad Tajuddin (Masjid Lama), Kuala Kedah

3) 8.00 – 12.00 mlm – Majlis Makan Malam

Lokasi : Dewan Sek Men Keat Hwa, Alor Setar.

4) 9.00 – 12.00 mlm – Ceramah Pelancaran Kempen Jom 100% Bersih 2.0

Lokasi : Kompleks Sukan Hijau Kuning, Alor Setar

5) Penceramah:

i. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim

ii. YAB Dato’ Seri Azizan Abdul Razak

iii. YB Mahfuz Omar

iv. YB Teng Chan Kim

v. YB S Manikumar

vi. YBhg A Samad Said (Sasterwan Negara)

vii. YBhg Maria Chin Abdullah

viii. YBhg Dato’ Dr Toh Kin Woon

BERSIH 3.0 - SELURUH NEGARA AND LOKASI UTAMA DUNIA

Bersih himpunkan 500,000 untuk ‘Duduk-Bantah’ 28 April

KUALA LUMPUR 4 April: Gabungan Pilihan Raya Bebas dan Adil (Bersih) mensasarkan 500,000 warganegara akan turun ke Dataran Merdeka 28 April ini, untuk menyertai demonstrasi Bersih 3.0, bertemakan ‘Duduk Bantah’.

Bersih dalam kenyataannya berkata berkata, semua rakyat dan ahli-ahli parti politik yang cintakan negara dijemput hadir bersama-sama menyertai himpunan itu.

“Ini adalah saat untuk semua warga, terutamanya yang berkuasa memikirkan apakah legasi dan masa depan yang bakal ditinggalkan kepada generasi akan datang.

“Rakyat akan terus menyuarakan bantahan terhadap penipuan dan manipulasi yang berterusan dalam sistem pilihan raya untuk memastikan kemenangan Umno BN,” kata Bersih dalam kenyataannya.

Himpunan kali ini adalah yang ketiga selepas Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil.

Dijangka berlangsung serentak di beberapa lokasi lain dalam negara dan seluruh dunia, himpunan ini dibuat ekoran Jawatankuasa Penambahbaikan berhubung Pilihan Raya (PSC) dan kerajaan Umno BN tidak mengambil serius tuduhan penipuan dan penyelewengan dalam daftar pemilih.

Selain daripada pengumuman itu, Bersih juga menuntut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya meletak jawatan kerana masih gagal membersihkan daftar pengundi yang meragukan.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga gagal mendapatkan keyakinan rakyat. Justeru, kami mendesak pemimpin-pemimpin tertinggi SPR untuk meletakkan jawatan,” ujarnya.

Katanya lagi, Bersih juga menuntut reformasi pilihan raya mesti dilaksanakan sebelum PRU akan datang, dan kehadiran pemerhati antarabangsa diterima untuk memerhati perjalanan pilihan raya.





Jika anda suka berita ini, sila ‘Like’ laman Facebook KeadilanDaily.

Anda juga boleh ‘follow’ Twitter KeadilanDaily.

USUL PENAMBAHBAIKAN PROSES PILIHAN RAYA

Pindaan kepada Usul oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menurut Peraturan Mesyuarat 30 (1).

Kami, YB Mohamed Azmin Bin Ali (Gombak), YB Loke Siew Fook (Rasah), YB Dr Mohd Hatta Bin Md Ramli (Kuala Krai) ingin mencadangkan pindaan kepada usul tersebut seperti berikut :

"Bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 86 (5) dan keputusan Usul yang diluluskan oleh Dewan ini pada 3 Oktober 2011, maka Penyata Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dibentangkan di atas meja Mesyuarat di dalam Dewan ini sebagai Kertas Dewan No. DR. 1 Tahun 2012 hendaklah diterima dan dipersetujukan dengan memuatkan satu penyata minoriti yang dibentangkan oleh YB Gombak, YB Rasah dan YB Kuala Krai."


YB Mohamed Azmin Ali YB Loke Siew Fook YB Dr Mohd Hatta Md Ramli
Ahli Parlimen Gombak Ahli Parlimen Rasah Ahli Parlimen Kuala Krai

PENYATA MINORITI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS BERHUBUNG DENGAN PENAMBAHBAIKAN PROSES PILIHAN RAYA

sebarkan - BIRO PENERANGAN AMK MALAYSIA

PENYATA MINORITI JAWATANKUASA PILIHAN KHAS BERHUBUNG DENGAN PENAMBAHBAIKAN PROSES PILIHAN RAYA

1.0 Pendahuluan
Ketiga-tiga wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya iaitu Ahli bagi kawasan Gombak YB Mohamed Azmin Ali, Ahli bagi kawasan Rasah YB Loke Siew Fook dan Ahli bagi kawasan Kuala Krai YB Dr Hatta Md Ramli telah mencadangkan supaya satu Penyata Minoriti dilampirkan bersama Laporan Akhir Jawatankuasa semasa mesyuarat terakhir Jawatankuasa dijalankan pada 29 Mac 2012. Namun, cadangan tersebut telah ditolak dengan satu undian belah bahagi. Keputusan ialah 3 undi bersetuju dengan cadangan tersebut (Gombak, Rasah dan Kuala Krai) manakala 6 undi tidak bersetuju (Kota Marudu, Kangar, Alor Gajah, Kapit, Hulu Selangor dan Wangsa Maju). Adalah mustahak untuk ditegaskan bahawa sepanjang perjalanan dan prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, ahli jawatankuasa dari Pakatan Rakyat telah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam menyempurnakan tugas mereka.
Penyata Minoriti adalah penting untuk memberikan ruang kepada suara minoriti dalam Jawatankuasa melaporkan pandangan dan cadangan mereka yang tidak dipersetujui oleh majoriti dalam Jawatankuasa.Walaupun tidak mendapat undi majoriti, namun cadangan dan pandangan minoriti dalam sesuatu Jawatankuasa Pilihan Khas wajib direkod dan dilaporkan bersama Laporan Akhir Jawatankuasa.
Tujuan 3 wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa tersebut mencadangkan Penyata Minoriti ialah kerana kami berpendapat perkara yang paling asas dan penting dalam soal penambahbaikan sistem pilihanraya iaitu memastikan Daftar Pemilih yang bersih dan telus masih belum mendapat perhatian yang sepatutnya dan tindakan yang serius daripada pihak Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR). SPR gagal memberikan komitmen yang penuh untuk memastikan segala kepincangan dalam Daftar Pemilih akan diatasi dan menjamin satu Daftar Pemilih yang bersih yang bakal digunakan pada Pilihan Raya Umum yang ke-13 nanti.

2.0 Isu-isu berkenaan Daftar Pemilih yang gagal ditangani oleh SPR

2.1 Membetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen
Di antara bulan Mac 2008 dan suku ketiga 2011, SPR telah memindahkan seramai 31,294 pemilih keluar dari kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen dimana mereka mengundi pada PRU ke-12 tanpa keizinan mereka. Alasan yang diberikan oleh SPR ialah mereka menjalankan proses memperbetulkan sempadan kawasan pilihanraya ke kawasan yang sepatutnya. SPR menggunakan peruntukan undang-undang di dalam seksyen 7 Akta Pilihan Raya iaitu memperbetulkan kawasan daerah mengundi dan lokaliti di dalam aktiviti belah bahagi untuk melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan sempadan kawasan pilihanraya DUN dan Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.
Prinsip Belah Bahagi di bawah tajuk Sempadan Pilihanraya jelas menyatakan:
"Urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah ditumpukan dan terhad dalam satu-satu Bahagian Pilihanraya Negeri sahaja. Oleh itu, urusan belah bahagi daerah-daerah mengundi adalah TIDAK BOLEH sama sekali melampaui sempadan Bahagian Pilihanraya Negeri apatah lagi Parlimen termasuklah urusan untuk mencantumkan 2 daerah mengundi yang kecil atau sebahagiannya yang terletak di sempadan 2 bahagian Pilihan Raya yang berlainan."
Aduan rasmi daripada YB Ahli Parlimen Subang kepada SPR berhubung isu tersebut yang melibatkan kawasan Parlimen Subang adalah dilampirkan dalam Apendiks 1.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengakui bahawa proses yang mereka telah lakukan adalah menyalahi peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan serta-merta untuk mengembalikan pengundi-pengundi yang terjejas dalam proses tersebut kebahagian pilihanraya DUN dan Parlimen yang mereka mengundi pada PRU ke-12. Proses ini perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.2 Isu berkenaan 42,000 pengundi ragu yang masih belum dibersihkan oleh SPR
Pada penghujung tahun 2011, SPR telah mempamerkan 42,000 nama pengundi ragu yang dikatakan status kewarganegaraan mereka tidak dapat disahkan oleh JabatanPendaftaran Negara. Proses pameran tersebut telah tamat beberapa bulanyang lepas namun sehingga kini, SPR gagal membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar Pemilih Induk (DPI).
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan membersihkan senarai tersebut dan mengeluarkan nama-nama pengundi ragu tersebut dalam tempoh 15 hari daripada Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.3 Nama pengundi yang melebihi 100 tahun
Dalam Daftar Pemilih Induk SPR, terdapat 65,000 pengundi yang berumur 85 tahun keatas dan lebih 1,000 pengundi yang berumur lebih 100 tahun! Terdapat 19 nama pengundi yang lahir sebelum tahun 1900. Walaupun kebanyakan pengundi yang berumur 85 ke atas dipercayai masih hidup namun pengundi-pengundi yang melebihi 100 tahun adalah sangat diragui.
Contoh seorang pengundi yang lahir pada tahun 1853 (berumur 159 tahun sekarang) adalah dilampirkan dalam Apendiks 2.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyiasat dengan terperinci nama-nama warga emas yang berumur lebih 100 tahun ini dan seterusnya membersihkan nama-nama tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari.

2.4 Senarai pengundi ragu yang menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina
Terdapat kajian yang mendapati bahawa lebih 15,000 nama pengundi yang didaftarkan dengan menggunakan nombor kad pengenalan yang bertentangan jantina. Maksudnya ialah terdapat nombor kad pengenalan yang berakhir dengan nombor genap (yang sepatutnya untuk wanita) didaftarkan sebagai pengundi lelaki.Terdapat juga kes nombor kad pengenalan yang berakhir dengan nombor ganjil (yang sepatutnya untuk lelaki) didaftarkan sebagai pengundi perempuan.
Contoh-contoh kes tersebut adalah dilampirkan dalam Apendiks 3.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengambil tindakan menyemak nama-nama tersebut dengan Jabatan Pendaftaran Negara dan seterusnya membersihkan senarai tersebut daripada Daftar Pemilih dalam tempoh 30 hari dari Laporan ini dibentangkan di Parlimen.

2.5 Isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos
Satu kajian bebas ke atas Daftar Pemilih mendapati bahawa terdapat lebih kurang 4,500 nama isteri kepada anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos. Isteri kepada anggota polis sepatutnya tidak layak menjadi pengundi pos. SPR telah memaklumkan kategori anggota keselamatan yang layak menjadi pengundi pos ialah anggota tentera dan pasangan mereka serta anggota polis sahaja.
Contoh senarai isteri anggota polis yang didaftarkan sebagai pengundi pos adalah dilampirkan di Apendiks 4.
Jawatankuasa mengesyorkan supaya SPR mengeluarkan semua nama isteri anggota polis yang telah didaftarkan sebagai pengundi pos dan dimasukkan semula dalam Daftar Pemilih sebagai pemilih biasa dalam tempoh 15 hari selepas Laporan ini dibentangkan di Parlimen.



3.0 Rumusan
Makanya keputusan kami untuk tidak memperakui Laporan Akhir Jawatankuasa sebagai laporan yang konklusif serta menekankan keperluan dibentangkan bersama penyata minoriti adalah kerana kegagalan SPR sehingga kini untuk bertindak sesuai dengan mandat Perlembagaan demi memastikan perjalanan pilihanraya yang bersih dan adil. Malah sepanjang perjalanan mesyuarat Jawatankuasa, berdasarkan penjelasan yang diberikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, tambah meyakinkan kami bahawa SPR kian hilang kewibawaan menyempurnakan mandat tersebut secara bebas dan adil.





YB Mohamed Azmin Bin Ali YB Loke Siew Fook YB Dr Mohd Hatta Md Ramli
Ahli Parlimen Gombak Ahli Parlimen Rasah Ahli Parlimen Kuala Krai

Tarikh : 2 April 2012

Monday, November 7, 2011

Pakatan sedia sokong protes jika Najib panggil PRU sebelum syor panel khas.


Petikan dari Malaysianinsider.

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Datuk Seri Najib Razak kini berhadapan dengan protes jalanan besar-besaran kedua jika pembaharuan pilihan raya gagal dilaksanakan sebelum memanggil pilihan raya umum ke-13, langkah yang dijangka boleh mengganggu usaha pentadbirannya mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen.
Semalam, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) memberi perdana menteri kata dua bahawa pihaknya akan mengadakan protes mirip Bersih 2.0 jika membubarkan Parlimen sebelum pembaharuan pilihan raya dikuatkuasakan.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) hari ini melahirkan sokongan dengan pelan itu dan mahu Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menunaikan janjinya.

Pemimpin-pemimpin PR yang dihubungi berkata perdana menteri harus membolehkan jawatankuasa pilihan khas, yang beliau telah bentuk, menyelesaikan fungsi mereka dalam tempoh enam bulan dan melaksanakan syor-syor yang dibuat sebelum pilihan raya umum ke-13.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar memberitahu The Malaysia Insider, partinya akan memberi sokongan kepada satu lagi protes jika perlu.

“Saya percaya rakyat menunggu bukti janji-janji pembaharuan yang dibawa oleh perdana menteri,” kata Ahli Parlimen Lembah Pantai ini dalam kenyataan menerusi SMS.

Tegas Nurul Izzah, oleh kerana isu-isu pembaharuan pilihan raya berkaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0, perlu ada gelombang ketiga.

Najib dan imej pembaharuan beliau berhadapan dengan kritikan banyak pihak termasuk media antarabangsa ekoran tindakan keras pentadbirannya menangani perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli juga berkata, partinya akan menyokong pendirian PR bagi memastikan pilihan raya umum ke-13 hanya akan dipanggil selepas pembaharuan pilihan raya dilaksanakan.

“Pada pandangan parti-parti, sepatutnya tidak ada pilihan raya sehingga pembaharuan dilaksanakan.

“Jadi dua kumpulan itu merasakan bahawa kita telah diperdaya, kemungkinan akan ada sokongan, Pakatan Rakyat akan mempertimbangkan langkah menyokongnya kerana kami telah pun menjelaskan perkara itu sebelum ini,” kata beliau yang juga anggota jawatankuasa itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen DAP Anthony Loke berkata, beliau akan berusaha untuk melakukannya menerusi jawatankuasa berkenaan sebelum memberi kata dua mengenai protes.

“Pada masa sekarang, kami melihat pada opsyen-opsyen yang ada tetapi kita cuba untuk melakukannya menerusi jawatankuasa pilihan khas ini,” kata beliau yang juga anggota panel khas itu.

“Jika ia (pilihan raya) diadakan, kita perlu membuat keputusan kemudian. Kita tidak boleh membuat andaian sekarang, kami akan mengadakan mesyuarat susulan Khamis depan,” katanya lagi merujuk kepada pertemuan berkala jawatankuasa berkenaan.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang juga berkata, terlalu awal untuk mengatakan sama ada satu protes jalanan besar-besaran diperlukan pada masa sekarang.

“Saya tidak mahu membuat jangkaan buat masa sekarang, tetapi harapan rakyat adalah tinggi,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu.

Sunday, November 6, 2011

SAMM dakwa PM bubar Parlimen bulan ini



KUALA LUMPUR, 5 Nov: Sebuah NGO, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan Parlimen pada bulan ini (November 2011), bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan dalam masa terdekat.
Pengerusi Kebangsaan SAMM, Badrul Hisham Shaharin berkata, berdasarkan maklumat terkini yang diterima oleh pihaknya, pembubaran Parlimen dijangka akan dilakukan oleh Perdana Menteri sekitar 11 November ini.

Menurut beliau, tindakan tersebut sememangnya di luar jangkaan orang ramai, tetapi maklumat terkini mengenai perkembangan itu diperolehi oleh pihaknya daripada sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai.

Katanya, pembubaran Parlimen dalam masa terdekat pasti akan menambahkan lagi kepincangan proses pilihanraya di tanah air kerana ia diadakan ketika tuntutan rakyat bagi proses pilihanraya yang bersih dan adil belum dilaksanakan oleh kerajaan.

"Jika pilihanraya dipanggil dalam masa terdekat (paling tidak) sebelum menunggu jawatankuasa khas membuat keputusan, maka sudah tentu satu pilihanraya paling kotor dalam sejarah sedang dijanjikan oleh Kerajaan BN.

"Sekiranya ini tetap dilakukan, maka tidak dapat dielakkan persepsi pilihanraya kali ini hanyalah proses 'palsu' bagi menghalalkan regim Umno BN terus berkuasa," katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, menurut beliau, SAMM bersama dengan teman-teman organisasi massa lain yang mewakili rakyat Malaysia keseluruhannya memberi amaran kepada Perdana Menteri bahawa pilihanraya umum hanya boleh dipanggil setelah proses penambahbaikan proses pilihanraya dilakukan.

Katanya, proses penambahbaikan yang dituntut itu juga seharusnya satu proses 'reformasi' serius yang memberi jawapan kepada kelemahan-kelemahan yang sering dipergunakan oleh pihak tertentu dan bukan hanya perubahan kosmetik semata-mata.

Beliau yang turut dikenali sebagai Cikgu Bard menambah, yakinlah, rakyat sudah mula hilang kesabaran kerana negara sedang berdepan dengan krisis kepercayaan proses demokrasi pilihanraya paling teruk sekarang.

"Jika pilihanraya umum masih berlaku sebelum proses penambahbaikan pilihanraya yang menyakinkan, kami berjanji akan menggerakkan mobilisasi rakyat terbesar," tegasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kali ini rakyat akan turun bukan sahaja untuk melakukan protes, tetapi benar-benar untuk menukar regim yang sekian lama gagal menjamin hak rakyat untuk mendapatkan proses demokrasi pilihanraya yang bersih dan adil.

"Kita tidak boleh menolak kemungkinan rakyat akan bangkit untuk memastikan regim turun agar proses pilihanraya yang adil dan bersih boleh mengambil tempat dan negara ini boleh diselamatkan," ujarnya.

Di serata dunia kebelakangan ini, katanya, pelbagai pihak dapat melihat kebangkitan kuasa rakyat menundukkan pemerintahan diktator di beberapa buah negara.

Menurutnya, di Malaysia pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat telah memilih jalan raya untuk mendesak penambahbaikan proses pilihanraya negara yang terbukti dicemari pelbagai kecacatan yang sering dinafikan pihak pemerintah.

"Kepincangan proses pilihanraya telah diakui oleh Datuk Seri Najib dengan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Proses Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen)," katanya.

Bercanggah dengan pengakuan betapa perlunya proses penambahbaikan proses pilihanraya, tegasnya, kenyataan umum terus dikeluarkan oleh pimpinan BN dan Perdana Menteri sendiri yang mencadangkan bahawa PRU Ke-13 diadakan tidak lama lagi dan tidak perlu menunggu proses reformasi proses pilihanraya selesai.

"Malah lebih menggusarkan dan lebih bercanggah dengan jaminan untuk menambahbaik proses pilihanraya, timbul pula pelbagai perkembangan negatif seperti pemberian taraf warganegara kepada rakyat asing secara 'istimewa' untuk tujuan mengundi (khususnya bagi pihak BN)" ujar beliau.

Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM), Haris Ibrahim; Pengerusi League Unemployed Graduates, Devadas Silvaraju; Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Rohana Ariffin dan Pengerusi India Justice Party (IJP), PS Jenapala.

-harakah daily.

komen admin kalau betul telahan berita 11/11/11 pru13 kita perlu bersiap-siaga selalu.

MB tiada kuasa rombak MAS Kg Baru, kata Nong Chik



Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Menteri Besar Selangor tidak punya kuasa merombak kepimpinan tertinggi Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baharu.

Katanya, MAS tidak berada dalam bidang kuasa kerajaan Selangor kerana pengerusinya sekarang adalah Datuk Bandar Kuala Lumpur dan kuasa merombak keanggotaan lembaga tersebut terletak di bawah kerajaan Persekutuan.

Raja Nong Chik berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baharu, Ahmad Zambri As'ad Khuzami yang mahu merombak MAS dengan menggunakan kuasa Menteri Besar Selangor.

"Saranan kepada kerajaan Selangor majukanlah kawasan Melayu di negeri itu sebab banyak lagi kawasan yang mundur serta perlu diperjuangkan. Tidak payahlah kacau kerajaan pusat dan kelirukan rakyat di Kampung Baharu.

"Dalam soal Kampung Baharu ini, kerajaan Barisan Nasional tiada agenda politik kerana niat kita bangunkan Kampung Baharu untuk orang Melayu dan berharap kerajaan Selangor tidak masukkan isu politik kerana apa yang penting sama ada kawasan itu akan dibangunkan atau tidak," katanya.

Sementara itu Raja Nong Chik berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas sebagai persiapan menghadapi banjir di sekitar Kuala Lumpur menjelang ketibaan musim tengkujuh hujung tahun ini.

Katanya, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Alam yang dikendalikan DBKL kini diletakkan dalam keadaan siap sedia menggerakkan bantuan bagi menyelamat orang awam sekiranya banjir berlaku.

"Disebabkan hujan yang kita terima tahun ini melebihi 30 peratus berbanding tahun lepas dan keadaan cuaca yang sukar diramalkan, persiapan bantuan telah dibuat menghadapi bencana ini.

"Jawatankuasa ini sedia memberi bantuan kepada negeri lain yang terlibat dengan banjir sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan lembu korban dan sumbangan kewangan masjid serta surau di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis itu, Raja Nong Chik yang juga Ketua Umno Lembah Pantai menyumbang 70 ekor lembu untuk diagihkan bagi melaksanakan ibadah kurban di masjid dan surau sekitar Parlimen Lembah Pantai.


Selain lembu, beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM121,000 kepada masjid dan surau untuk kegunaan qariah setempat menjalankan ibadah itu serta sambutan Aidil Adha.

Beliau berkata daripada jumlah itu RM3,000 masing-masing disumbangkan kepada setiap masjid utama dan lima buah surau diberi tauliah menjalankan sembahyang Jumaat, manakala RM2,000 tiap satu diberikan kepada 44 buah surau lain.

- Bernama

komen Admin isu tanah di kg baru adalah contoh bagaimana kerajaan umno bn tidak peka akan suara nurani rakyat setempat.

Usul potong sebulan gaji PM gagal tapi 'panas'




Pertikaman lidah berlaku di Dewan Rakyat hari ini ketika ahli parlimen berbahas berhubung usul untuk memotong sebulan gaji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Malah Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga hilang sabarnya, setelah diasak semasa perbahasan usul yang dibawa oleh Tian Chua (PKR-Batu), yang mendakwa "masalah dan kepincangan" berlaku sejak Najib menjawat jawatan itu pada April 2009.

Usul itu, bagaimanapun ditolak dengan undi majoriti setelah dibahaskan oleh beberapa orang ahli parlimen termasuk dari Pakatan Rakyat dan kerajaan. Ia mendapat tentangan hebat dari BN termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Apa yang memberangkan Pandikar adalah apabila ahli parlimen mencelah tanpa kebenarannya - satu pencabulan peraturan tetap dewan.

Speaker itu juga membidas ahli Dewan Rakyat yang cuba ‘mengarahkannya’ mengenai cara melakukan tugasnya itu, di sebalik diri mereka yang gagal mematuhi peraturan dengan menggunakan perkataan seperti ‘bodoh’.

Bagi mengendurkan ketegangan, Pandikar membenarkan setiap wakil rakyat untuk berbahas selama sepuluh minit.

Tian Chua dan seorang penyokong pembangkang dibenar memulakan debat dan diikuti oleh dua anggota dari Kelab Penyokong BN dan seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberikan jawapannya.

Usul itu adalah untuk mengurangkan gaji sebulan perdana menteri sebanyak RM22,826.65 dengan alasan, antaranya tindakan Najib yang didakwa tidak sensitif dengan kesusahan yang dihadapi rakyat apatah lagi dengan kadar inflasi yang tidak terkawal.

Usul tersebut dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 66(9) dalam Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2012 bagi Jabatan Perdana Menteri.

Pembangkang juga menempelak langkah kerajaan membayar jutaan ringgit kepada firma perundingan perhubungan awam seperti Apco Worlwide dan FBC Media untuk mempromosi negara yang dikatakan memburukkan lagi keadaan.

(aritekel ini 100% tempelan dari malaysiakini melainkan gambar sahaja.)

Friday, September 30, 2011

revisit - sajak DINSMAN -LEBAM MATA ITU (kes ANWAR IBRAHIM dipukul oleh KETUA POLIS NEGARA 29 SEPT 1998)

sajak Dinsman

Lebam Mata Itu




Lebam mata itu

lebam sebelah wajah Malaysia



Lebam mata itu

separuh dunia tergamam

mungkinkah angkara sendiri?

sedang dia di bawah tawanan



Lebam mata itu

buta separuh rakyat Malaysia

meraba-raba kebenaran



Hitam di muka mungkin tak lama

lebam di hati rakyat ‘kan terus membara



Lebam mata itu

pengorbanan seorang reformis

mengejutkan para pahlawan

yang nyenyak tidur



Pedih peritnya dia menanggung

itulah obor perjuangan

nyala yang tak ‘kan padam



Lebam mata itu

lebam sejarah Melayu



Hitam di muka mungkin tak lama

lebam di hati rakyat ‘kan terus membara

membara hingga dalangnya ditangkap

membara hingga sistem yang korup

ditukar



(Dibacakan kali pertama di majlis Baca Puisi di Rumah Pena,

Kuala Lumpur, 4 Disember 1998)

Monday, August 29, 2011

Perutusan Ahli Parlimen BATU Y.B. TIAN CHUA bersempena HARI RAYA AIDIL FITRI / 1 SYAWAL 1432 H

Perutusan Ahli Parlimen BATU Y.B. TIAN CHUA bersempena
HARI RAYA AIDIL FITRI / 1 SYAWAL 1432 H


Assalamualaikum w.r.t. w.b.t. dan Salam Perjuangan,

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal yang bakal menjelang tiba, saya disini ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin muslimat terutama semua kenalan para penduduk di dalam kawasan khidmat saya sebagai Ahli Parlimen Batu (P.115).

Saya yakin dan percaya setelah sebulan menempuh ibadah puasa Ramadhan yakni Rukun Ketiga dalam agama Islam, muslimin-muslimat semua sama-sama sekali lagi diuji selain menahan dahaga dan kelaparan, telah juga berjaya membendung pelbagai nafsu diri dan melalui cabaran mihnah rintangan menjauhi segala larangan semasa meneruskan aktiviti harian sebagai rakyat Malaysia. Diharapkan dengan semangat ini moga semua muslimin - muslimat kekal redha, bertaqwa dan bersyukur penuh kesabaran seterusnya diberi ganjaran pahala dan keampunan.

Selain itu diteruskan beristiqamah memperbaiki diri dan senantiasa berubah ke arah kebaikan untuk perjalanan kehidupan kita sebagai masyarakat sivil, hidup aman harmoni di lain-lain bulan seterusnya. Ini terutamanya dalam meningkatkan iltizam dan mutu kerja-kerja sukarelawan sesama kita dalam menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebenaran bagi kebahagiaan dan hak rakyat yang sewajarnya. Keupayaan dan dedikasi terutama muslimin-muslimat saya yakini sepanjang bulan Ramadhan boleh dicontohi apabila bersama-sama membantu saya membela golongan yang tertindas dalam gaya kehidupan dan kos sara hidup kian meningkat selain sangat menyukarkan semakin hari terutamanya rakyat yang tidak diberi bantuan yang segera dan sewajarnya.

Seiring dengan suasana hari lebaran yang pastinya akan disambut dengan penuh kegembiraan bertemu keluarga, sanak saudara dan sahabat taulan, marilah kita sama-sama memperingati dan tidak sesaat pun melupakan golongan fakir miskin dan pelbagai lapisan dalam masyarakat kita yang berada dalam golongan kurang berada dan memerlukan bantuan. Diharapkan sumbangan bantuan yang kita hulurkan semasa menjalani ibadah Ramadhan yang penuh pahala ini dilanjutkan juga bagi meringankan beban hidup golongan tersebut. Semoga usaha kita akan menimbulkan keinsafan dan seterusnya senantiasa memanjatkan rasa kesyukuran atas nikmat dan rezeki yang kita perolehi.

Akhirul kalam ucapan, saya sekali lagi merakamkan ucapan Selamat Hari Raya dan menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua sekiranya ada tersalah kata-bahasa, tersilap langkah-perilaku, sepanjang perkhidmatan harian saya sebagai Ahli Parlimen sekiranya ada kekurangan dan kelemahan. Insya Allah akan saya perbaiki sedaya upaya dari masa ke semasa atas petunjuk dan kerjasama semua.

Tidak lupa juga saya dengan berbesar hati menjemput semua terutamanya warga Parlimen Batu dan kawasan sekitar agar hadir ke Majlis Jamuan Rumah Terbuka bersempena Perayaan Hari Raya Aidil Fitri yang sebagaimana biasa saban tahun dianjurkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Batu / KEADILAN Cabang BATU pada 17 September 2011 (Sabtu) di Taman Dato’ Senu, Kuala Lumpur kelak. Kehadiran anda semua bagi menceriakan majlis adalah amat dialu-alukan dan dihargai.

Moga iltizam Ramadhan dan Syawal menjelang menjanjikan barakah dalam kehidupan mendatang.

Salam perjuangan demi rakyat menuju kemenangan.

CHUA TIAN CHANG (TIAN CHUA)
Ahli Parlimen BATU
Naib Presiden Parti KEADILAN Rakyat

Wednesday, October 27, 2010

Malaysia 'tersangkut' di tangga 56 indeks rasuah

Aidila Razak
Malaysiakini


Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Tempat teratas dikongsi oleh tiga negara - Singapura, New Zealand dan Denmark daripada 178 negara yang dikaji.

Menurut TI Malaysia, meskipun laporan yang dikeluarkan petang tadi, menunjukkan negara menuju ke arah yang betul, namun masalah timbul ketika pelaksanaannya.

Presidennya, Paul Low berkata kejatuhan dalam markah itu “secara statistik tidak signifikan”.

Beliau berkata kegagalan menangani rasuah akan mengagalkan usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi memandangkan pertalian terus antara rasuah dan pendapatan per kapita.

Di samping itu, katanya lagi, usaha yang dibuat oleh kerajaan melalui GTP belum lagi menghasilkan sebbarang kejayaan kerana faedah daripada usaha yang dilakkukan akan mengambil masa sebelum kesannya dapat dirasai oleh rakyat di negara ini.

Menurut setiausaha agung TI Malaysia, Ngooi Chu-Ing, antara yang paling ketara adalah persepsi umum bahawa kerajaan kurang azam politik untuk menangani rasuah."Kita boleh lihat sebagai contoh, terdapat kebimbangan di kalangan umu bahawa tiada "ikan besar" yang didakwa dan juga kemajuan yang lembab dalam mengenalpasti serta mendakwa individu yang terbabit dalam skandal PKFZ (Port Klang Free Trade Zone).

"Begitu juga dengan keputusan "tiada sebarang tindakan"" (NFA) oleh peguam negara terhadap individu-individu yang didakwa mempengaruhi pelantikan hakim dalam badan kehakiman dan amalan berterusan memberikan kontrak projek-projek Mega secara tidak telus," katanya.

TI-Malaysia, katanya mengesyorkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberi kuasa mendakwa disamping membolehkan badan itu melaporkan secara terus kepada ahli jawatankuasa parlimen.

"Pada masa kini, menteri kabinet mengistiharkan harta mereka kepada Perdana Menteri namun butir-butir pengisytiharan harta mereka tidak pernah diumumkan kepada awam...kami juga menggesa ditegakkan kebebasan maklumat melalui pemansuhan Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Penerbitan dan Percetakan," katanya.

Selamat Menunaikan Ibadah Haji

Monday, October 4, 2010

EXCO ANGKATAN MUDA KEADILAN CABANG BATU 2010-2013

Ketua AMK: M Khairul Anwar Bin Mat Azidin
Timbalan Ketua: Akmal Hisyam Bin Ahmad Tamyiz
Naib Ketua 1: Chua Wei Kiat
Naib Ketua 2: Norsharizal Bin Abdul Razak
Naib Ketua 3: Ravindran A/L Vengadasamy
Setiausaha: Ahmad Azri Bin Zainal Nor
Bendahari: Harris Mohd Sani

Ketua Penerangan: Chin Yit Hon
Biro Penerangan:
Khairil Azuar Bin Khalit
Rozan Azen Bin Mat Rasip

Biro Keangotaan:
Noor Shamsul Kamarul
Mohamed Zamri Talib

Biro Pendidikan, Kebajikan dan Sosial:
Mustapa Khalid Jahaya
Muhammad Hafiz Bin Kamaruddin


Biro Sukarelawan dan Skuad:
Appala Naida A/L Nokiah

Biro Sukan dan Rekreasi:
Ravindran A/L Vengadasamy
Muhamad Amin Abdul Jalil


Biro Penyelidikan Data dan Maklumat:
Jasmin Bin Jamaludin
Akram Bakar