Thursday, May 29, 2008

Ezam : Mahathir, Najib dan Pak Lah mencari peluang.

Sekitar 3-4 hari ini, sibuk di sana sini memperkatakan tentang kemasukan Ezam Mohd Noor ke dalam UMNO. Namun, pesanan saya kepada semua pihak supaya bertenang. Tiada apa yang perlu dirisaukan tentang kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Baik Tun Dr Mahathir, baik Najib mahupun Dato Seri Anwar Ibrahim, semuanya dikaitkan dengan penyertaan seorang reformis bernama Ezam Mohd Noor ke dalam UMNO dengan satu matlamat – memastikan Pak Lah tidak terus memerintah!

Masing – masing dengan niat tersendiri. Mengikut bacaan politik saya, saya merumuskan bahawa kemasukan Ezam ke dalam UMNO kerana 2 sebab. Saya cuba untuk tidak menjadikannya sebagai 3 sebab. Kerana sebab yang ke 3 itu akan menjahanamkan lagi negara. Mari, kita lihat satu persatu sebab – sebab ini.

Sebab pertama.

Semuanya strategi Tun Dr Mahathir. Tun sengaja keluar dari UMNO kerana beliau telah menyusun orang – orang beliau untuk membawa Ezam kembali kepada UMNO kerana hanya Ezam yang tidak terlibat dengan mana – mana parti politik. Ezam juga dilihat sebagai singa yang masih tidur dan berkuku tajam. Bila – bila masa boleh mengaum dan menerkam. Ezam juga masih mempunyai penyokong setia walaupun keputusannya memasuki UMNO akan menyebabkan penyokongnya berpecah. Ada yang kecewa kerana mengenangkan sumpah keramat Ezam di era reformasi. Ada yang akan menyertai UMNO kerana mengekalkan prinsip kesetiaan walaupun dengan membuntut Ezam ke mana sahaja. Ada pula penyokongnya yang menjadi keliru mengenai apa yang harus dilakukan. Nak masuk UMNO, dah meluat. Nak terus dengan Pakatan Rakyat, belum pasti hala tuju. Nak aktif dalam GERAK, sengat utama dah pindah pejabat. Yang tinggal hanya anak – anak didik Ezam yang belum teruji kewibawaannya apabila Ezam tiada. Langsunglah penyokong mereka yang keliru ini terus menerus berada di atas pagar dan mengambil sikap tunggu dan lihat.

Keputusan Tun keluar UMNO dan kemasukan EZAM ke dalam UMNO dilihat sebagai strategi Tun. Tun berbuat demikian kerana memastikan Pak Lah tertekan dengan operasi pembersihan rasuah dalam UMNO. Tun mengharapkan agar Ezam akan menekan Pak Lah sehinggalah Pak lah meletakkan jawatan. Dan, jangan lupa bahawa Tun pernah menyatakan bahawa kemungkinan untuk beliau menyertai UMNO kembali setelah Pak Lah meletakkan jawatan!

Tun juga tidak begitu penting lagi dalam politik. Hanya usik – usik manja nya terhadap Pak Lah pada PRU 12 menjadi salah satu faktor BN tersungkur di 5 negeri selain faktor Anwar Ibrahim, Nik Aziz, Hindraf, Bersih dan lain – lain. Selain dari usikan Tun kepada Pak Lah, beliau tidak lagi dilihat mempunyai motif untuk kesinambungan politik. Beliau dilihat lebih kepada menjaga tembelang beliau dari pecah malah jika itu bukan penyebabnya, boleh jadi kerana Tun sayangkan Malaysia dari dijahanamkan oleh kerajaan menantu – mertua. Mungkin juga! Itu tekaan politik saya untuk Tun dalam isu kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Kita lihat ramalan saya seterusnya.

Sebab kedua.

Ini lebih kepada usaha keras Najib untuk meneruskan nafsu politik beliau supaya tidak dipijak, dilenyek oleh orang – orang menantu – mertua. Najib memastikan orang – orangnya membawa Ezam ke dalam UMNO dengan sebab supaya Ezam akan memperkasakan Pemuda UMNO. Ezam akan dibantu oleh penyokong – penyokong Najib dalam Pemuda UMNO untuk memastikan bahawa Khairy Jamaluddin tersungkur ketika dalam usaha untuk duduk di kerusi Ketua Pemuda UMNO Malaysia. Apabila tersungkur, maka terowong gelap yang dilaui Najib ketika ini akan bersinar sedikit walaupun masih malap – malap lagi.

Tetapi, apa akan terjadi jika sebaliknya berlaku? Apa akan jadi jika Najib gagal untuk menghalang Khairy Jamaludin ke kerusi yang empuk tetapi panas itu? Jika Najib gagal, lebih baik beliau pulang ke Pekan untuk membuka bengkel membaiki helicopter, pusat ujian kapal selam dan lain – lain. Pepatah Melayu juga ada menyebut “Sediakan payung sebelum hujan”. Itu pun jika Najib sempat menyediakan payung. Keadaan Najib di dalam UMNO ibarat telur di hujung tanduk. Bila – bila masa sahaja beliau boleh dihapuskan, diletupkan dan dihumbankan ke mana – mana gaung yang curam oleh Pak Lah dan Khairy Jamaluddin. Ini semua gara – gara seorang model Mongolia! Bersumpah menafikan penglibatannya sudah, Rosmah menafikan juga sudah, tinggal nak mengaku bahawa beliau terlibat dengan pembunuhan Altantuya sahaja yang belum dilakukan.

Kalau ikutkan orang Melayu Islam, dengan bersumpah atas nama Allah sudah cukup kuat untuk menafikan tentang sesuatu perkara. Tetapi tidak dalam isu Najib – Altantuya. Biarpun beliau bersumpah, beliau tetap diasak oleh Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat tentang keadilan dalam mencari pembunuh sebenar Altantuya. Pak Lah juga tidak bersuara mempertahankan Najib. Jadi, sedikit sebanyak memberi pandangan bahawa Najib tidak dipertahankan oleh ketuanya. Boleh jadi juga bahawa, Pak Lah mengetahui bahawa dalang pembunuhan Altantuya ialah Najib. Oleh sebab itulah, Pak Lah tidak mempertahankan Najib dalam isu ini dan Najib juga terpaksa bersikap “Yes bos” untuk menyatakan sokongan penuh kepada Pak Lah atas setiap keputusan Pak Lah walaupun keputusan Pak Lah akan menjahanamkan negara.

Bertitik tolak atas masalah yang dihadapi Najib ini dan masalah – masalah lain yang masih dalam simpanan dan akan dibuka bila – bila masa inilah menyebabkan Najib perlu mencari seseorang yang boleh menganggu KJ dan Pak Lah. Najib juga berhajat untuk menjadi Perdana Menteri. Jadi, jika Najib tidak menjatuhkan Pak Lah sekarang, jawabnya Najib akan bersara sebagai Ahli Parlimen Pekan sahaja kelak.

Itulah 2 pandangan saya tentang kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Di awal tadi ada saya sebutkan bahawa saya mengelak untuk memberi 3 sebab kerana sebab yang ke 3 ini akan menjahanamkan lagi negara. Tidak dapat tidak saya perlu menyatakan sebab ketiga ini demi menyelamatkan Malaysia.

Sebab ketiga bacaan politik tentang kemasukan Ezam ke dalam UMNO ialah hasil dari usaha orang – orang KJ. Parah dan punah jika sebab ketiga ini menjadi ramalan yang tepat. Yang selama sebelum kemasukan Ezam pun negara sudah dijahanamkan oleh Pak Lah dan KJ. Inikan pula jika kemasukan Ezam ini atas usaha untuk memperkasakan Pak Lah dan pentadbirannya. Pak Lah yang dikenali sebagai pengasas ajaran Islam Hadhari ini sekian lama menyesatkan pengikutnya semenjak menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sehinggakan Ezam yang begitu sinonim dengan gerakan reformasi juga mampu disesatkan. Pak Lah dan KJ melihat bahawa peranan Ezam akan memberi kekuatan baru kepada pemerintahannya. Ezam akan membantu KJ mengukuhkan kedudukannya dalam Pemuda UMNO. KJ pula akan memastikan mertuanya kekal memerintah supaya KJ dapat mengaut segala jenis keuntungan yang ada di negara ini. Pedulikan tentang krisis makanan yang melanda. Persetankan rakyat bawahan yang menderita mencari sesuap nasi. Itulah KJ yang menjadi virus dalam tanah air tercinta ini.

Bahaya. Itu ungkapan yang sesuai untuk semua hal – hal negara yang diuruskan oleh Pak Lah sebagai boneka KJ. Saya cukup benci untuk mengatakan sebab yang ketiga diatas ini. Jika benar ramalan saya tentang sebab ketiga tadi, percayalah. Kita akan kembali merempat di negara sendiri. Kita akan menjadi orang suruhan kepada mereka yang telah membeli negara ini. Mungkin anda menganggap dakwaan saya ini mustahil Tetapi fikirkan apa yang telah kita hilang semenjak Pak Lah mengambil tampuk pemerintahan. Pantai Holdings (kemudian dibeli semula dengan keuntungan berganda kepada Singapura), Jambatan bengkok, Wilayah Iskandar, Pulau Batu Putih dan akan ada lagi yang hilang dari Malaysia selepas ini. Jika Pak Lah dikekalkan memerintah, risiko yang ditulis diatas perlulah dihadapi.

Namun semua itu tidak akan berlaku jika Anwar Ibrahim mengotakan apa yang dikatanya sebelum ini. Jika benar Kerajaan Malaysia akan bertukar tampuk pemerintahan September 2008 ini, suasana terowong yang gelap akan terang disinari cahaya dan harapan baru untuk Malaysia. Tapi apakah teka – teki Anwar Ibrahim ini akan menjadi kenyataan? Jika perkara ini tidak terjadi, percayalah bahawa Anwar Ibrahim akan memberi implikasi yang buruk kepada Pakatan Rakyat. Rakyat akan melihat Pak Lah yang menipu dengan mengatakan tiada pembubaran Parlimen tetapi sebaliknya berlaku keesokannya ketika PRU 12 sebagai watak yang sama dengan Anwar Ibrahim nanti. Kesannya tentulah kepada rakan – rakan Pakatan Rakyat. Jika dinilai kembali dan tidak berlaku seperti yang Anwar Ibrahim canangkan September ini, PKR lah yang akan tersungkur teruk akibat dari janji Anwar Ibrahim yang tidak dikotanya. PAS kekal dengan ketabahan berdasarkan pengalaman – pengalaman sebelum ini. Tapi PAS akan merasai peritnya kesan dari hal itu. DAP sahaja yang nampaknya kekal bertahan mantap biar apa pun yang terjadi.

Itu semua ramalan dan bacaan politik saya. Apa yang saya ramalkan ini melibatkan hal negara. Kesan tindakan pemimpin tempiasnya dirasai oleh rakyat bawahan. Oleh kerana itulah saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia bahawa anda terlibat dalam keputusan – keputusan negara. Anda perlu memainkan peranan sebagai rakya Malaysia. Keputusan yang anda buat itu diwakili oleh wakil – wakil rakyat yang telah dipilih pada PRU 12 yang lalu. Jadi, sekarang anda perlu menjadi pengkritik yang kuat kepada wakil rakyat yang anda pilih. Jika benar, perbaiki. Jika salah, perbetulkan. Ingat, Negara kita tanggungjawab kita.

Muhamad Khairul Anwar Mat Azidin
http://anarqiyellow.blogspot.com/
http://amkbatu.blogspot.com/


No comments: