Thursday, May 29, 2008
Kenapa Ezam Berubah?
(Ihsan SongkokPutih daripada TranungKite)
PAGI 28 Mei dalam diari Mohamad Ezam Mohd Nor bermula begini –dalam catatan saya yang tiba ke rumahnya kira-kira jam 11.00 pagi di Seksyen 7 Shah Alam. Ada deretan kereta diletakkan di tepi pagar rumah banglo dua tingkat itu. Sebaik melangkah masuk dan memberi salam, nampak kelibat ayah Ezam, Pak Cik Mohd Nor, dan ibu Ezam, bonda Aisyah tersenyum.
Selepas bersalaman dan beramah tamah, saya dijemput masuk ke rumah, di ruang tamu itu, sudah siap menunggu, rakan-rakan karib Ezam ketika menerajui Angkatan Muda PKR, Abdul Ghani Harun, S D Johari, saudara Nazmi, Syed, dan Azwandin Hamzah.
Ezam, tidak kelihatan, kata isterinya, Bahirah, beliau masih di bilik menghabiskan bacaan Al Quran -rutin pagi yang diamalkan beliau sejak di penjara Kajang lagi.
Jam 11.30 pagi, Ezam keluar, dengan baju lengan panjang berwarna biru air, seluar slack berjalur halus berwarna kelabu kehitaman, dan kot.
“Dah minum?” katanya ramah, sambil bersalaman. Tenang, memang gaya Ezam dari dulu lagi. Biarpun hari ini, beberapa jam lagi beliau akan berdepan dengan orang yang pernah diserangnya bertahun-tahun.
“Kenapa abang berubah?”
Beliau dalam kiraan jam, akan mengumumkan sokongannya yang tidak berbelah bagi, kepada parti dan orang yang pernah menjadi musuhnya dahulu. Dan saya mencuri kesempatan untuk bertanya, “Kenapa abang berubah?”
“Kenapa saya berubah? Saya tidak berubah, saya menyokong dasar, bukan parti atau individu, dasar UMNO kini berubah, jadi saya kembali menyokong UMNO dan sudah tentulah menyokong kepimpinan yang berani mengubah dasar tersebut,” kata Ezam.
“Saya yakin agenda perubahan yang diumumkan Perdana Menteri sekarang ini, termasuk soal memperkasa BPR, memulihkan institusi kehakiman dan banyak lagi merupakan agenda perubahan yang besar dan wajar disokong,” katanya.
Sambil berbual ringan, Ezam melihat jam di tangan yang waktu itu sudah menunjukkan jam 11.55 pagi.
“Kita pergi dua kereta, empat orang satu kereta, dari sini kita singgah di Bandar Sunway, ada restoran Bakso, jumpa Hamdan, saya hendak isi borang di situ, dari situ kita bergerak ke KL Sentral, Datuk Wan Farid tunggu dan dia akan bawa kita masuk ke Parlimen,” kata Ezam pada semua yang hadir.
Arahannya jelas dan tegas. Itulah ciri Ezam yang menarik minat saya sejak dulu. Dan ramai lagi, satu ketika dalam Angkatan Muda PKR, gaya Ezam berceramah menjadi ikutan pemimpin pemuda lainnya. Termasuklah gaya sebutan khasnya bila berkata “Kerana apa?...” yang intonasinya ditekan, sedalam-dalamnya, berhenti senafas dan disambung semula.
Doa keluarga iringi langkah Ezam
Selepas berdoa, dan Ezam mengucup pipi kedua ibu bapanya memohon restu, bersalaman dengan isteri dan adiknya, Illa. Kami bertolak tepat jam 12.10 tengahhari. Mengikut arahan yang jelas tadi. Di dalam kereta, Ezam yang duduk di kerusi penumpang sebelah depan, sibuk melayan sms dan panggilan telefon.Saya kira berita beliau akan bertemu Perdana Menteri sudah heboh. Bermacam-macam orang yang telefon, kebanyakkannya wartawan, Ezam melayan satu persatu panggilan tersebut.
Bila sampai di Restoran Bakso itu, Hamdan Taha, rakan karib Ezam bersama seorang lagi sudah menunggu. Sudah ada beberapa helai borang keahlian Umno seumur hidup.
Satu yang kosong diserahkan. Ezam ambil dan membacanya, “Ada Pen?” katanya, pen di ambil, dan tanpa rasa gementar, beliau mengisinya, satu persatu. Dan menandatangani borang tersebut.
Selesai bab borang, kami bergegas ke KL Sentral, sepanjang perjalanan, Ezam kembali melayan panggilan telefon.
Kami sampai di KL Sentral jam 2.15 petang, sambil menunggu Datuk Wan Farid, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, yang akan membawa Ezam ke Parlimen.
Sebaik Wan Farid muncul dengan kereta Perdananya, Ezam berpindah kenderaan. Beliau bersama Wan Farid, dan kami mengikuti dari belakang.
Terus ke Parlimen, dan terus ke pintu VIP, di sana setiausaha politik Pak Lah, Datuk Reezal Marican, sudah menunggu. Kebetulan ada juga Bendahari Umno, Datuk Azim Zabidi, dan Ketua Pemuda Umno Datuk Hishamuddin Hussein.
Wartawan rasmi Parlimen
Ezam bersalaman dengan semua, bergurau dengan Hishamuddin, yang beberapa hari sebelum itu memberitahu wartawan beliau ada tiga soalan kepada Ezam sebelum masuk Umno. Ezam bersalaman, dan berjalan beriringan dengan Hishamuddin. Gaya orang politik.
Dari situ kami menaiki lif ke tingkat dua. Bilik menunggu Perdana Menteri di Parlimen. Di sajikan air teh o kosong, sambil Ezam, Wan Farid, Reezal Marican dan seorang lagi setiausaha politik Abdullah yang baru dilantik, Datuk Alwi berbual.
Tidak ada wartawan dibenarkan masuk, kecuali dari Agendadaily.com, Hanafiah Man dan Lukman Abdullah yang sudah boleh dianggap wartawan rasmi Parlimen. Saya sempat menghantar beberapa sms kepada Jeff, dan Epul rakan yang bertugas mengemaskini KLpos.com.
Kira-kira jam 3.40 petang, Ezam bertemu Abdullah. Entah apa yang mereka bualkan. Saya tidak masuk. Cuma menunggu bersama-sama lebih 50 wartawan di bilik sidang media yang bakal diadakan. Bersebelahan dengan bilik menunggu.
Sambil berbual-bual dengan penganalisis politik terkenal Mohd Sayuti Omar dan Zubaidah Abu Bakar yang hadir untuk merakam detik bersejarah itu.
“Bismillah...”
Selepas 40 minit. Abdullah dan Ezam keluar. Sidang akhbar diadakan. Abdullah seperti biasa menjawab semua soalan. Dan pada soalan, apa peranan yang akan dimainkan oleh Ezam di dalam Umno, beliau dengan selamba berkata, “Itu biar Ezam yang jawab”.
Ezam sendiri, memilih untuk mengadakan sidang akhbar sehari selepas pengumuman rasmi tersebut. Hari ini. Ezam bersama penyokongnya akan mengadakan sidang akhbar di sebuah hotel di Petaling Jaya kira-kira jam 11.00 pagi.
Ada detik yang penting. Yang saya sempat catatkan. Tatkala Ezam menyerahkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Abdullah.
Ezam bersalaman, sambil berkata, “Bismillah...,” Abdullah yang sebelum itu senyum, bertukar serius. Diambilnya borang Ezam itu, dengan kata-kata yang sama, “Bismillah...” Tangan Ezam digengam erat. Abdullah kembali tersenyum. Lebih manis dari biasa. Kilauan cahaya kemera tidak henti-henti merakamkan satu lagi saat bersejarah kepada bangsa dan negara.
Semalam. 28 Mei. Abdullah, menerima seorang hulubalang baru dalam perjuangannya untuk perubahan.
Dan seperti kata Ezam, “Saya tidak berubah, dasar UMNO yang berubah, jadi saya kembali menyokong UMNO dan sudah tentulah menyokong kepimpinan yang berani mengubah dasar tersebut,”.
Sidang media Abdullah di ParlimenDatuk Wan Farid yang banyak memainkan peranan disebalik kembalinya Ezam ke dalam Umno
Reezal Marican (Kanan) menyambut kedatangan Ezam Mengisi borang Umno di restoran Bakso...Turut kelihatan Hamdan Taha.
Inilah borang keahlian Umno seumur hidup Mohamad Ezam Mohd Nor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment