Wednesday, June 11, 2008

Harga minyak Malaysia kini antara yang termahal

A Kadir Jasin


PADA hari Sabtu, 7 Jun, akhbar The Star menyiarkan berita bertajuk "PM: Get true picture of global oil price hikes" (PM: Dapatkan gambaran sebenar mengenai kenaikan global harga minyak.)

Kata Abdullah Ahmad Badawi beliau berharap rakyat jelata memperoleh maklumat yang betul agar dapat memahami apa yang sedang dihadapi negara.

Setiap orang daripada kita, kata Perdana Menteri, mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing di dalam keadaan yang mencabar ini.

"Dengan itu, marilah kita menghadapi bersama cabaran ini dengan daya tahan demi kebaikan negara dan generasi akan datang."

Tetapi rata-rata, reaksi rakyat jelata boleh disimpulkan begini - peranan kerajaan menarik balik subsidi minyak dan menaikkan harga minyak. Tanggungjawab kami adalah menganggung bebannya.

Mengambil ilham daripada seruan Perdana Menteri itu, saya melayari Internet untuk "mendapatkan gambaran sebenar" mengenai kenaikan 41 peratus harga minyak itu.

Sekarang fahamlah saya bahawa akibat kenaikan harga sebanyak 78 sen seliter pada tengah malam Rabu lalu itu, harga petrol kini RM2.70 seliter atau RM10.20 segelen Amerika (US gallon). Dalam Dolar Amerika, ia bersamaan AS$3.12 segelen (AS$0.82 seliter).

(Saya terpaksa mengubah kepada gelen dan Dolar Amerika kerana perangkaan global menggunakan ukuran gelen dan Dolar Amerika. Segelen Amerika bersamaan 3.785 liter. Kadar tukaran adalah RM3.27 kepada satu Dolar Amerika.)

Pada kadar AS$3.12 segelen, harga petrol di Malaysia adalah lebih murah daripada di Amerika Syarikat di mana harganya melepasi AS$4.00 (RM13.08) segelen.

Tetapi kita kena ingat Amerika jauh lebih kaya daripada kita. Mengikut Buku Fakta (Fact Book) Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika, pendapatan purata berdasarkan pariti kuasa membeli (purchasing power parity) rakyat Amerika adalah AS$46,000 tahun lalu.

Dalam bahasa yang mudah, jika pendapatan dibahagikan sama rata, setiap orang penduduk Amerika mempunyai kuasa membeli bernilai AS$46,000 berbanding kita sebanyak AS$14,400.

Itu pun bukan semua rakyat Malaysia mempunyai kuasa membeli sebanyak AS$14,400. Hanya segelintir sahaja yang mempunyai kuasa membeli sebesar itu.

Majoritinya adalah berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah yang paling teruk menderita akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang akan dicetuskan oleh kenaikan harga minyak.

Segelen minyak berharga AS$4.00 bagi penduduk Amerika adalah "murah" kerana pendapatan dan kuasa membeli mereka tinggi. Manakala pada kadar AS$3.12 segelen bagi penduduk Malaysia adalah mahal kerana pendapatan kita rendah.

Pendapatan penduduk Amerika lebih tiga kali ganda daripada pendapatan penduduk Malaysia. Lagipun Amerika adalah negara pengimport bersih minyak manakala kita adalah negara pengeksport. Maksudnya kita mengeksport lebih banyak minyak mentah daripada mengimport. Para pembesar kita sering mengatakan harga minyak petrol lebih mahal di Singapura. Betul. Harga segelen petrol di Singapura, mengikut laman web Shell Singapura, adalah sekitar AS$6.28 segelen.

Tetapi pendapatan per kapita PPP penduduk Singapura adalah AS$48,900 atau 3.4 kali ganda lebih tinggi daripada pendapatan per kapita PPP kita. Lagipun Singapura negara kecil, pengangkutan awamnya bagus, tambangnya berpatutan dan Singapura tidak ada setitik minyak pun .

Selain itu mereka ada "pilihan". Mereka boleh menyeberang ke Johor untuk membeli petrol. Bagi membeli segelen di Malaysia mereka hanya perlu membelanjakan sekitar S$2.63 atau AS$1.92 kerana nilai duit mereka lebih tinggi daripada ringgit Malaysia (RM1 bersamaan 42 sen Singapura.)

Tetapi akibat dasar "flip-flop" kerajaan kita sekejap tidak boleh dijual kepada orang asing dan sekejap boleh - penduduk Singapura yang berkali-kali ganda lebih kaya daripada kita menikmati durian runtuh setiap kali mengisi minyak di Malaysia.

Rakyat rasa tertipu dan keliru. Pada 3 Jun Menteri Perdagangan Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna Shahrir Abdul Samad berkata harga minyak hanya akan naik pada bulan Ogos.

Susah kita hendak faham. Berita ini tersebar satu dunia. Jadi Shahrir cakap karut atau memang harga akan naik hanya pada bulan Ogos tapi entah macam mana bos dia naikkan harga lebih awal.

Jadi saya nak tanyalah sikit. Shahrir tidak hadir mesyuarat Kabinet kah? Tidak masuk akal kalau Kabinet tidak dibawa berunding mengenai keputusan menarik balik subsidi dan menaikkan harga minyak yang sangat berat kesannya kepada rakyat jelata.

Atau (atau) Shahrir cuba memberi amaran bahawa kerajaan akan menaikkan harga minyak sekali lagi Ogos ini?

Satu lagi tabiat buruk sesetengah pembesar kita adalah kecenderungan mereka membandingkan Malaysia dengan negara-nagara yang lebih miskin dan lebih mundur.

Kalau kita hendak banding negara kita dengan negara-negara miskin, tidak perlulah kita bersusah payah hendak menjadi negara maju. Kita jadi sajalah macam negara-negara miskin yang kucar-kacir dan rakyat jelatanya menderita.

Perdana Menteri bercakap mengenai kebajikan generasi akan datang. Apakah prospek mereka jikalau hari ini pun mereka tidak cukup makan, tidak cukup pakai dan tidak cukup persekolahan kerana kos sara hidup dan inflasi yang tidak terkawal?

Jadi itulah lebih kurang kefahaman saya setelah membuat sedikit kajian seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri ketika berucap sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Sabtu lalu.

Kesimpulannya, harga minyak petrol (dan juga diesel) di negara kita kini adalah antara yang termahal di dunia berasaskan pariti kuasa membeli (purchasing power parity).

Ia semestinyalah akan memberi kesan yang luas terhadap kuasa membeli dan inflasi serta prestasi ekonomi keseluruhannya. - kadirjasin.blogspot.com

No comments: