Thursday, June 12, 2008

Kenyataan Media Ketua AMK

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

11 Jun 2008

Peguam Negara Lesu Kendali Kes Video Lingam dan Pendedahan Hakim Ian Chin

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius akan pendedahan terbaru yang dilakukan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Datuk Ian HC Chin mengenai campurtangan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang menekan pihak hakim.

Chin mendedahkan di dalam Persidangan Hakim pada 24 April 1997, Mahathir ketika itu secara jelas mengugut akan menggunakan tribunal khas untuk menyingkirkan hakim yang membuat keputusan tidak menyebelahi kerajaan, berikutan keputusan berhubung petisyen pilihan raya kerusi Bukit Begunan yang memihak kepada calon Bebas, Donald Lawan pada 21 April 1997.

Ini membuktikan betapa amalan mencengkam kehakiman menjadi tabiat semulajadi Mahathir yang mana mengakibatkan pelbagai bentuk ketidakadilan telah berlaku.

AMK mempertikaikan kelembapan kerajaan khususnya Peguam Negara untuk bertindak susulan daripada Laporan Suruhanjaya Siasatan Klip Video VK Lingam. Melihat kepada kes terbaru yang didedahkan oleh Datuk Ian Chin ini, tidak ada sebab untuk Peguam Negara terus duduk diam tanpa mengambil sebarang tindakan untuk mendakwa pihak-pihak berkenaan khususnya Mahathir.

Dalam kes seumpama ini, Peguam Negara boleh bertindak untuk menjalankan pendakwaan tanpa sebarang laporan polis perlu dibuat, sebagaimana yang terpakai dalam kes Dato' Seri Anwar dahulu. tetapi Peguam Negara terus lesu tanpa sebarang tindakan.

Dalam keadaan AMK telah menggerakkan kepimpinan AMK di seluruh Malaysia untuk membuat hampir 15 laporan polis berkenaan kes ini, satu pun gagal mendapat perhatian pihak Peguam negara untuk bertindak.

AMK mempersoalkan kredibiliti Peguam negara apakah Peguam Negara kini sedang bertindak untuk melindungi kalangan perasuah yang menyumbang ke arah kerosakan sistem kehakiman negara yang kian parah ini.

AMK dengan ini mendesak supaya Peguam Negara bertindak segera, ataupun sekiranya beliau gagal, AMK akan terus menekan Peguam Negara untuk meletakkan jawatan atas kegagalan beliau berfungsi dengan efektif demi menjunjung prinsip keadilan negara.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: