Thursday, July 17, 2008

DEBAT ANWAR LAWAN SHABERI: ANTARA RETORIK DAN PERSEPSI


Oleh: Yusfarizal Bin Yussoff


Saya menantikan Debat yang telah direncanakan oleh Agenda Daily dengan sabar dan tekun. Bagi saya, inilah peluang dan ketikanya untuk menyaksikan tokoh pidato terkemuka negara Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beraksi secara langsung dalam acara berbentuk debat atau bahas. Ini juga peluang untuk menyaksikan seorang tokoh pimpinan kabinet muda Barisan Nasional menyampaikan aspirasi Kerajaan. Apakah seorang pak menteri dapat merungkai dengan bijak persoalan yang sentiasa bermain diminda rakyat marhaen, iaitu benarkah Anwar tidak akan dapat menurunkan harga minyak?.

Dengan dipengerusikan oleh Dato’ Johan Jaafar, yang saya masih kurang pasti sama ada beliau adalah pihak yang bebas atau tidak, dan disaksikan lebih 200 orang di Dewan Bahasa dan Pustaka, Debat yang bermula tepat jam 9.00 dimulakan oleh Anwar.

Sebagai pembuka dan pendebat pertama, saya terpaksa nyatakan bahawa pembukaan Anwar bukan pembukaan yang terbaik. Dengan pembukaan ringkas untuk mengejar peruntukan masa, Anwar terus mengumumkan gagasan Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga minyak RM0.50 kepada RM2.20. Kemudian beliau terus melompat ke angka RM5 billion yang merupakan dana yang diperlukan untuk membolehkan penurunan harga tersebut, dan disepanjang Debat, beliau menghuraikan daripada mana datangnya RM5 billion. Secara strukturnya, sememangnya tidak kemas, tetapi huraian bersahaja dengan fakta yang jelas menarik minat penonton. Anwar terus melontarkan fakta tentang standby capacity eletrik negara yang terlalu tinggi menjangkau 40% yang hanya menguntungkan Janakuasa Elektrik Bebas (“IPP”) dan merugikan TNB dan Petronas. Beliau kemudian menyatakan bahawa keuntungan dan pulangan yang diberikan oleh Petronas kepada Kerajaan sekiranya diuruskan dengan baik dapat membantu kurangkan bebanan rakyat yang terlalu terdesak dek kerana kenaikan harga minyak. Fakta terakhir diutarakan adalah tentang perbelanjaan Kerajaan sebanyak RM13 billion hanya untuk menanggung kerugian Perwaja Steel yang merupakan contoh ketirisan dan kebocoran dalam pengurusan ekonomi negara.

Secara konsepnya, dapat saya simpulkan kes Anwar adalah berkisar tentang penilaian faktor makro ekonomi dan tataurus ekonomi kerajaan yang menyebabkan Kerajaan gagal menyerap kenaikan harga minyak dunia.

Datuk Shaberi Cheek memulakan serangan tepat dengan menyatakan bahawa janji penurunan harga minyak tersebut adalah cerita sebelum pilihanraya semasa harga minyak pada kadar RM1.92. Oleh yang demikian cadangan penurunan RM0.50 mestilah daripada RM1.92 dan bukannya daripada harga baru RM2.70. Oleh yang demikian, Shaberi merumuskan sekiranya pengurangan RM0.50 dairpada RM1.92, maka Anwar memerlukan lebih RM50 billion untuk menjayakan pengurangan tersebut. Bagi saya, hujah tersebut bernas untuk menjerat pendekatan Anwar. Namun Shaberi memilih jalan jauh untuk berhujah, dan secara tidak langsung menampakkan matlamat utamanya iaitu untuk melakukan pembunuhan karakter (character assassination) keatas Anwar. Beliau membuka lembaran sejarah 1974 ketika Tun Abdul Razak menggagaskan Petronas dan mendapat sokongan rakyat termasuk PAS. Namun begitu ia tetap mendapat tentangan Anwar yang menggerakkan mahasiswa untuk membuat bantahan terhadap Tun Abdul Razak. Keghairahan Shaberi menghuraikan fakta sejarah tersebut untuk membongkar kelemahan karekter Anwar terus menyesatkan beliau sehingga gagal langsung menyentuh fakta tentang IPP dan Perwaja.

Sesi kedua diteruskan pula dengan Pengerusi bertanyakan soalan kepada kedua-dua ahli panel. Soalan Johan ialah tentang komen pendebat berkaitan subsidi yang akan juga dinikmati oleh syarikat minyak besar seperti Exxonmobil dsb kerana Petronas hanya menguasai 40% pasaran minyak runcit. Shaberi menjawab bahawa subsidi bukanlah kaedah yang kekal lama dan ia hanya akan menyebabkan perbelanjaan untuk kemajuan seperti pembinaan sekolah terpaksa dikurangkan. Syarikat Exxonmobil akan menikmati subsidi tersebut dan tidak memberi faedah kepada rakyat, dan beliau mencadangkan adalah lebih baik supaya faedah tersebut diberikan terus kepada rakyat bukan dalam bentuk subsidi. Beliau lantas memberikan contoh negara ekonomi maju seperti Norway dan Finland yang juga tidak memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya dan menganggap bahawa cadangan Anwar hanyalah cadangan populist semata-mata.

Anwar terus menjawab tentang bandingan Norway dengan menyatakan bahawa nisbah bandingan itu adalah meleset kerana pendapatan per kapita penduduk Norway adalah 10 kali ganda daripada Malaysia. Beliau lantas menegaskan bahawa membantu rakyat seperti membuat sekolah sememangnya sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan. Beliau menjelaskan pula tentang terma subsidi yang sering digunakan untuk menggambarkan bantuan kepada golongan miskin yang dipandang negatif. Beliau menyatakan golongan pelabur dan peniaga besar juga mendapat subsidi atas nama lain seperti insentif, bail out atau bantuan ekonomi yang mana tidak pula dipandang negatif. Ini adalah satu double standard yang tidak harus berlaku.

Sesi ketiga pula menyaksikan wakil setiap pendebat akan bertanyakan soalan. Ia dimulakan dengan wakil Shaberi iaitu Datuk Nordin Kadri bertanyakan Anwar tentang soalan yang saya kira cukup retorik. Beliau menyatakan bahawa premis Anwar tentang cadangan penurunan harga minyak adalah bercanggah kerana alasan beliau adalah berkenaan dengan IPP dan bukannya minyak. Anwar kemudian bersahaja menjawab bahawa IPP ada kaitan dengan gas dan minyak disambut dengan gelaktawa dan tepukan penonton. Nordin meneruskan pertanyaan retoriknya dengan menyatakan bahawa cadangan Anwar adalah umpama seorang anak yang baru kematian bapa dan ingin mengagih-agihkan harta pusaka sesama saudara. Saya sungguh tidak mengerti retorika ini kerana ia amat jelas berniat jahat untuk menyindir dan lahir dari kedangkalan pemahaman tentang semangat Debat hari ini. Seperti dijangka, Anwar bersahaja menyindir Nordin tentang soalan yang panjang seumpama ulasan kononnya mungkin terpengaruh dengan gaya kaunseling beliau. Anwar menjawab bahawa wang yang Petronas pulangkan kepada Kerajaan adalah hak rakyat dan ini akan digunakan untuk kebaikan rakyat dan “anak kita” juga. Kenaikan harga minyak bagi beliau menyebabkan kerosakan yang kerterlaluan sehingga tiada orang yang menyokongnya kecuali Ahli Parlimen Barisan Nasional. Beliau juga menyatakan bahawa kenaikan harga minyak global juga secara tidak langsung memberikan pulangan yang lebih kepada Petronas dan negara.

Selanjutnya, wakil Anwar iaitu Zulkifli pula bertanyakan kepada Shaberi. Soalan beliau cukup padat dan membunuh apabila beliau bertanya tentang perbelanjaan RM4.3 billion hasil daripada kenaikan RM0.30 pada tahun 2006 yang kononnya diperuntukkan untuk pengangkutan awam yang sehingga hari ini hanya dibelanjakan sebanyak RM834 juta sahaja. Soalan beliau ialah bagaimana pula Kerajaan hendak belanjakan wang lebihan daripada pemotongan subsidi terbaru sedangkan wang dahulu amat sukar dihabiskan.

Ternyata Shaberi sekali lagi mengelak daripada menjawab dan hanya menyatakan secara sinikal bahawa Zulkifli tidak merujuk kepada fakta kenaikan harga minyak global daripada USD70 pada tahun 2006 kepada USD140 pada kadar semasa. Beliau kemudian melontarkan fakta tentang kenaikan inflasi sebanyak 30% di Venezuela walaupun harga minyak hanya RM0.10, dan begitu juga dengan Iraq. Kerajaan juga katanya telah berjaya menyelesaikan krisis makanan kerana harga beras Malaysia lebih rendah daripada Thailand. Ternyata, diversikasi beliau kepada isu beras pula menyesatkan lagi maudhu’ wacana yang beliau bawa.

Seterusnya adalah giliran Zulkifli bertanya kepada Anwar tentang Tabung Warisan yang pernah dicadangkan. Anwar menjelaskan ringkas bahawa dana amanah dicadangkan ketika Kerajaan mempunyai lebihan disebabkan belanjawan lebihan dahulu dan untuk kegunaan masa hadapan. Namun, idea tersebut tidak dipanjangkan dan dikembangkan selepas itu. Anwar juga seterusnya mempertikaikan mekanisma penentuan kadar inflasi oleh Kerajaan yang tidak tepat. Walaupun Gabenor mengisytiharkan kadar inflasi 6%, namun hakikat sebenar ia lebih daripada itu dan menurut pengumuman bank-bank dalam negara, ia melebihi 8%. Ini jelas menunjukkan pertentangan nyata antara pendirian Kerajaan dengan keadaan sebenar.

Nordin pula kemudiannya bertanya kepada Shaberi soalan yang langsung gagal saya cerap. Tanpa sedar tentang kelucuan soalan beliau, beliau yang begitu ghairah ingin menyindir Anwar bertanyakan kepada Shaberi kenapakah Anwar janji turun minyak tetapi tidak janji turun inflasi?.Atas soalan yang sesat tersebut, jawapannya pasti juga sesat. Shaberi menjawab pula tentang rizab minyak yang akan habis pada tahun 2015, dan menyatakan fakta bahawa Malaysia hanya pengeluar minyak yang kecil berbanding Arab Saudi dsb, dan keuntungan hasil daripada carigali dalam negara adalah hanya 26% daripada keuntungan keseluruhan Petronas. Beliau mengakhiri jawapannya dengan kenyataan jenaka yang merimaskan dengan mengatakan tentang minyak atar dan minyak urut.

Sesi seterusnya dimulakan dengan Anwar bertanya kepada Shaberi. Bagi saya Anwar melalukan kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh kebanyakan pendebat yang baik iaitu bertanya terlalu banyak soalan dalam satu soalan. Beliau sepatutnya memilih untuk bertanya tentang janji Kerajaan untuk tidak menaikkan harga yang telah dimungkiri sahaja kerana bagi saya soalan tersebut sudah cukup sukar untuk dijawab. Namun beliau terus menghuraikan pula tentang bagaimana media memutarbelitkan pandangan dan pendirian beliau tentang isu tersebut dan akhirnya hanya bertanya kenapa Kerajaan tidak uruskan wang Petronas dengan baik untuk kurangkan bebanan rakyat.

Shaberi menjawab dengan mengulang-ngulang tentang gerakan mahasiswa Anwar pada tahun 1973 dan menyatakan bahawa IPP dipersetujui ketika Anwar menjadi Menteri Kewangan dahulu, dan Anwar tidak boleh salahkan orang lain. Shaberi juga tiba-tiba melompat bercerita tentang bagaimana Anwar memohon bantuan IMF dalam krisis 1997 sehingga menyebabkan banyak syarikat dan individu muflis disebabkan Anwar. Beliau akhirnya menyimpulkan bahawa walaupun harga minyak naik, rakyat masih cukup makan dan inflasi tidak tinggi seperti Arab Saudi, Venezuela, Iran dan Qatar.

Kemudian tiba giliran Shaberi pula bertanya kepada Anwar. Soalan beliau ringkas tentang keadaan ketika kita kehabisan minyak pada tahun 2015 nanti, apa akan berlaku dan adakah ketika itu barulah kita hendak naikkan harga minyak secara mendadak?

Anwar terus menyatakan secara sinikal bahawa soalan Shaberi akhirnya kembali kepada maudhu’ kerana sebelum itu beliau menceritakan perkara lain yang tiada kaitan. Anwar mencabar kenyataan tentang kehabisan minyak pada tahun 2015 dengan menyatakan Petronas dalam laporannya tidak pernah menyatakan minyak akan habis sebaliknya menyatakan sekiranya tidak ada telaga minyak baru dijumpai, maka dianggarkan pada tahun 2015 Malaysia akan jadi pengimport bersih. Anwar juga menjawab tentang tuduhan berkenaan dengan IPP pada zamannya dengan menyatakan bahawa Pengerusi TNB ketika itu Tan Sri Ani Arop menyokong pandangan Kementerian Kewangan yang bertentangan dengan pendirian EPU dan Perdana Menteri sendiri tentang harga IPP. Namun ia tidak diambil kira oleh Kerajaan dan oleh itu Tan Sri Ani telah meletak jawatan. Anwar mencabar Shaberi supaya melihat rekod-rekod Kerajaan sebelum membuat tuduhan itu. Seterusnya Anwar melontarkan fakta baru tentang penyeludupan diesel yang merugikan sebanyak RM700 juta dan berlaku ketirisan apabila Kerajaan membelanjakan RM117 juta untuk melantik syarikat Teras Kimia yang merupakan syarikat kroni berkenaan minyak diesel. Beliau kemudian menyatakan bahawa kenaikan minyak ini sebenarnya adalah preskripsi IMF dan beliau mencabar Kerajaan untuk berdebat tentang 1997 dalam forum yang lain dan menyatakan adalah fitnah besar sekiranya Shaberi menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan IMF.

Anwar melontarkan lagi fakta tentang dividen khas yang diberikan Petronas kepada Kerajaan sebanyak RM6 billion, yang mana beliau hanya meminta RM1 billion untuk mengurangkan harga minyak.

Kemudian, Johan pula sekali lagi bertanya kepada Anwar tentang kenapa perlu jadi PM untuk bagi idea. Kenapa tidak beri idea lain sekarang tanpa perlu tukar kerajaan. Anwar bersahaja menjawab sebab itulah beliau menyertai Debat tersebut untuk berkongsi pendapat dengan Kerajaan. Beliau kemudian mempertikaikan kesedian Kerajaan untuk mendengar dan meneliti cadangan beliau. Beliau kemudian memberikan fakta tentang inflasi pada tahun 2006 selepas kenaikan RM0.30 iaitu sebanyak 4.8%, dan selepas sebulan harga minyak naik baru-baru ini, inflasi telah mencecah 8%, Anwar simpulkan bahawa Malaysia juga menuju jalan yang sama dengan Venezuela, bahkan lebih teruk kerana di Venezuela sekurang-kurangnya harga minyaknya rendah, tetapi di Malaysia sudahlah harga minyak tinggi, inflasi juga tinggi.

Saberi kemudian menjawab soalan Johan (yang sebenarnya tidak ada kaitan dan seolah-olah ditujukan kepada Anwar seorang sahaja) dengan menyatakan sekali lagi tentang cadangan penurunan sepatutnya daripada RM1.92. Beliau kemudian melontarkan fakta tentang Petronas Berhad yang menyumbang 91% keuntungan kepada Kerajaan dan bertanyakan berapa lagikah yang perlu diberikan?. Ini bukanlah amalan ekonomi yang sihat kata beliau.

Sesi terakhir adalah sesi penggulungan dimulakan oleh Anwar. Anwar menggulung secara ringkas dengan menyatakan bahawa kenaikan harga minyak di Malaysia adalah keterlaluan tinggi berbanding negara pengeksport. Namun harga minyak global menurut kajian akan sampai ke breakpoint dan menetap. Anwar menyatakan bahawa kalau Kerajaan meneruskan dasar sekarang, maka ekonomi Malaysia akan terus parah. Beliau merumuskan ucapan beliau dengan pengumuman bahawa beliau akan bertanding dalam pilihanraya terdekat sekiranya diberi peluang, dan menyatakan bawah fitnah dan khianat terhadapnya ada batasannya.

Shaberi sebaliknya pula menggulung dengan longlai dan hanya mengulang sekali lagi tentang penentangan terhadap Tun Abdul Razak, Mahathir dan Pak Lah oleh Anwar. Beliau meneruskan pembunuhan karekter terhadap Anwar dan menyatakan bahawa Anwar tidak pernah berubah menggunakan demonstrasi jalanan sebagai wadah meraih sokongan rakyat.

* * *

Andaian bahawa pendebat universiti masa kini mempunyai kegagalan untuk memfokus kepada isu sebenar dalam perdebatan rupanya telah menjadi fenomena global dan melarat kepada ahli politik Malaysia. Saya berasa kecewa melihatkan pendebat yang sepatutnya telah mencapai darjat kematangan minda yang tinggi kelihatan melompat-lompat dalam ucapan dari satu hujah ke hujah yang lain, tanpa premis, tanpa definisi dan tanpa struktur yang kemas. Pembunuhan karekter yang cuba dilakukan oleh Shaberi ternyata amat amat memualkan dan meloyakan. Seharusnya landasan debat yang ditampilkan bersifat bebas, matang dan profesional dan bukannya dijadikan medan melampiaskan nafsu dan amarah seluruh kabinet kerajaan kepada Pakatan Rakyat. Teringat pula rasanya ketika Debat 100 jam dahulu. Saya terpaksa memuji Anwar yang bertindak bijak dalam mengawal kemarahannya dan menampakkan kematangan beliau dalam arena politik dan pengucapan awam. Cuma, persediaan yang rapi dipihak Anwar dengan hujah yang tersusun akan lebih membantu mesej yang beliau ingin sampaikan. Pendebat yang baik adalah pendebat yang tidak lari daripada isu yang diutarakan. Dalam Debat ini, terdapat banyak isu yang tidak dijawab oleh Shaberi. Antara ialah seperti berikut:-

1. Perjanjian dengan IPP merugikan TNB dan Petronas

2. Syarikat Teras Kimia yang merupakan kroni Kerajaan

3. RM4.3 billion untuk perbelanjaan pengangkutan

4. RM13 billion untuk menanggun kerugian Perwaja Steel

5. Dividen Khas Petronas

Isu yang tidak dijawab oleh Anwar ialah tentang subsidi yang akan menguntungkan Exxonmobil.

Shaberi juga gagal memperlihatkan penguasaan bahasa Melayu yang optimum kerana kedengaran beberapa kesalahan diksi seperti “peminjam-peminjam atau along antarabangsa” yang sepatutnya dikatakan “pemiutang-pemiutang”. Anwar ternyata masih mengekalkan kesegaran dan keindahan bahasa Melayunya dengan perkataan-perkataan seperti “wacana segar”, “maudhu’”, “harga menetap”, dsb.

Dari segi strategi perdebatan, Shaberi ternyata hilang arah kerana gagal mengawal emosi dan gejolak nafsu amarah beliau. Dalam masa yang sama, kegagalan riak wajah beliau untuk menipu dan gerak tubuh yang seakan-akan “kalah” diakhir Debat menunjukkan strategi yang tidak tepat dalam menghadapi lawan yang besar. Pembunuhan karekter adalah kaedah yang boleh digunakan, sekiranya sesuai. Namun terhadap Anwar, kaedah tersebut bukan sahaja tidak sesuai malahan langsung mencacatkan dan membunuh kredibiliti Shaberi sebagai Menteri. Anwar yang bermatlamat meraih simpati, dengan mudah berjaya menguasai pentas dengan bujukan dan rayuan kepada rakyat. Sikap beliau yang profesional dalam menghadapi tekanan Shaberi adalah strategi terbaik. Senyuman dihadapan 22 juta rakyat Malaysia adalah ubat paling mujarab untuk meraih belas dan sokongan berbanding lendir liur yang berbondong-bondong menghiasi rongga bibir yang telah kelat.

Dari segi fakta juga, terlalu banyak yang menyimpang daripada kebenaran. Inflasi adalah sangat berkait rapat dengan cara pentadbiran makroekonomi sesebuah negara dan juga dasar fiskal. Sekiranya Venezuela dijadikan sandaran, sudah tentulah kadar inflasi mereka mencecah 30% kerana mereka mengimport 100% makanan dari luar dan dalam masa yang sama mempunyai krisis makan dengan Columbia. Pengurusan yang tidak cekap oleh Hugo Chavez juga banyak membantu menaikkan inflasi walupun harga minyak rendah. Sejak 2003 lagi, dasar Hugo mengawal ketat harga barang dan matawang telah menyebabkan krisis makanan yang teruk sehingga tinjauan yang dibuat oleh Datanalisis pada 2007 menunjukkan 9 makanan asas seperti gula, daging, susu tepung, ayam, telur, beras, jagung, tepung, sardin dan kacang amat sukar diperolehi.

Begitu juga dengan negara seperti Arab Saudi yang walaupun kaya tetapi tidak mempunyai tataurus yang baik sehinggakan sistem pelupusan sampah pun menggunakan kaedah “dimakan oleh kambing”. Maka sudah tentu dinegara sebegini inflasinya tinggi dan Malaysia jika tiada tadbir urus yang baik akan menjadi seperti mereka juga.

Berkenaan dengan fakta bahawa Malaysia pengeluar minyak yang kecil juga saya kira satu penipuan kerana setahu saya (melalui pembacaan dan kajian), telaga minyak terbesar selepas Arab Saudi adalah di Malaysia, dan kita masih belum mengekplotasi sumber minyak di Sabah dan Sarawak dan pantai timur dengan sempurna. Tan Sri Hassan Merican sendiri menyatakan bahawa eksplorasi hidrokarbon di Sabah dan Sarawak adalah sukar kerana ia berada di laut dalam dan beliau juga menyatakan bahawa sumber rizab minyak mungkin boleh bertahan selama 22 tahu lagi, iaitu sehingga 2030 dan bukan 2015. Itupun hanya jangkaan kalau tiada sumber baru ditemui.

Sudah berada ditahap ini, masih tidak mahu membuat kajian mendalam? Itu amat menyedihkan.

Format Debat yang dirangka juga agak menarik dan mungkin boleh dikembangkan lagi secara lebih berstruktur. Cuma yang menggelikan hati saya ialah gelagat Nordin yang menunjukkan kecetekan pendapat dan kebankrapan idea beliau dengan melontarkan analogi atau perumpamaan yang gagal difahami dengan jelas dan mudah pula dipatahkan. Beliau jelas tidak langsung membantu Shaberi bahkan meranapkan kredibiliti Kerajaan dan Shaberi.

Pendek kata, dari segi debatnya, masih banyak kelemahan pada kedua-dua pendebat dan ini perlu diperbaiki segera. Dalam keadaan begitu, hanya pengalaman menentukan kemandirian seseorang pendebat di akhir perdebatan, dan bukannya kuasa atau jawatan.

* * *

Komen:-

Datuk Nur Jazlan Mohamad (Ahli Parlimen Jelai) dalam perbualan telefon dengan Astro Awani:-

“Datuk Shaberi berjaya menurunkan taraf Anwar yang diagung agungkan oleh pembangkang dan segelintir rakyat Malaysia. Shaberi mempunyai fakta sebaliknya Anwar hanya menyatakan retorik politik dan sejarah…(ekstrak dan kesimpulan, bukan ayat sebenar)

Penulis:- Bukalah mata luas-luas dan jangan prejudis. Siapa berfakta siapa retorik dan sejarah?

Komen:-

Datuk Shahrir Samad:-

“Cadangan turunkan harga petrol takkan beri kesan kepada ekonomi, kalau turun diesel barulah kesan kerana peniaga guna diesel” …(ekstrak dan kesimpulan, bukan ayat sebenar)

Penulis:- Macam itukah pemahaman Menteri?

Jangan risau, komen-komen yang lebih menarik akan menyusul esok dan seterusnya.

Dari Anjung Saujana

2.10 pagi 16 Julai 2008

YUSFARIZAL BIN YUSSOFF

Nota: Penulis adalah seorang bekas pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah menjuarai pelbagai kejohanan debat termasuk Debat Piala Diraja dan Debat Perdana (anjuran Majlis Peguam). Pernah dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Pencapaian Individu oleh Majlis Debat Universiti Malaysia. Pernah menjadi jurulatih debat kepada beberapa buah universiti seperti UIAM, UPSI, etc. Memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden Alumni Debat UIAM. Merupakan seorang rakan kongsi di Tetuan Zulpadli & Edham, Peguambela dan Peguamcara Kuala Lumpur.

No comments: