Saturday, July 26, 2008

Perhimpunan 10 Ogos serah memo kepada Pengarah DBKL

Adnan Ibrahim | Foto Nasir Sudin
Fri | Jul 25, 08 | 12:16:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Majlis Permuafakatan Kampung Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan (Muafakat) akan menyerahkan memorandum kepada Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dato' Salleh Yusup pada 10 Ogos ini dalam satu perhimpunan di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam, Gombak, di sini.

Pengerusinya, Ishak Surin berkata Muafakat menuntut supaya perkampungan Melayu tradisi diwartakan sebagai perkampungan warisan.

Menurut beliau, usaha terakhir sedang dilakukan bagi mengemaskinikan memorandum kampung terbabit iaitu Kampung Padang Balang, Kampung Bandar Dalam dan Kampung Chubadak bagi Parlimen Batu manakala Kampung Sungai Merali, Kampung Bahagia dan Kampung Puah bagi kawasan Parlimen Wangsa Maju.

Image"Kami sedang kumpulkan memorandum itu dan akan umumkan pada 10 Ogos dalam perhimpunan besar-besaran yang akan diadakan di madrasah tersebut dan Ketua Pengarah DBKL dijangka akan turun," ujarnya.

Pada waktu itu kata beliau, bendera hitam akan dinaikkan sebagai tanda muafakat penduduk yang terdiri daripada pelbagai aliran politik sama ada PAS, PKR dan Umno.

"Kita ketepi kepentingan parti politik kerana seluruh parti politik bersatu di bawah Muafakat. Bendera hijau, biru muda dan biru tua kita turun dan kita naikkan bendera hitam. Saya daripada PAS, Tian Chua daripada PKR dan Timbalan Pengerusi Muafakat daripada Umno," ujarnya berselorah.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Gontong Royong Penduduk Kampung Padang Balang, Gombak di sini, baru-baru ini.

Beliau turut melahirkan kekesalan dengan sikap DBKL kerana sejak pukul 8.00 pagi penduduk menunggu kehadiran mereka untuk menyerahkan memorandum penduduk Kampung Padang Balang tetapi lain yang datang.

Katanya, golongan wanita sampai tidak tidur malam untuk menyiapkan kueh tetapi pihak DBKL tidak datang untuk meraikan penduduk kampung sebaliknya dihantar jengkaut seolah-olah mahu menghina penduduk.

Turut berucap dalam majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Barisan Bertindak Penduduk Kampung Padang Balang, Haji Zainal Abidin Maa's yang menyifatkan kampung tersebut sudah wujud sejak 1840 lagi dan memang layak diwartakan sebagai kampung warisan. - mns

2 comments:

Angkatan Muda Keadilan BATU said...

DBKL masih lagi belum matang..

Anonymous said...

Aden anak jati kampong bandar dalam, walaupon aden orang kampuang, tak panah pon orang kampuang parasan aden idup ko mati n punyo lah BUYERS urang kampuang pon aden tak kesah.Che'gu Sahak Surin is a warrior for me & i'll support him till the end. yg pasti nya DBKL BUYERS!!!! From Selekoh!!!