Angkatan Muda Keadilan PKR Bahagian Batu melalui sidang media hari ini, Khamis bersamaan 21hb. Ogos 2008, ingin melahirkan kekesalan yang amat terhadap tindakan pihak berkuasa yang telah menahan Timbalan Ketua Bahagian PKR Bahagian Batu, Sdr. Mohd Noor Kamil Abd. Samad pada petang semalam (20hb. Ogos 2008) di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Penahanan Sdr. Kamil amat dikesali dan dipersoalkan oleh seluruh pihak terutamanya para Exco AMK Batu dan barisan kepimpinan Bahagian Batu yang diterajui oleh YB. Chua Tian Chang (Tian Chua). Ini juga dapat dilihat dengan reaksi para penduduk Parlimen Batu yang rata-rata sedih dengan tangkapan terhadap Sdr. Kamil dan setuju ianya dilakukan tanpa diberikan sebarang alasan rasional, hujah kukuh serta sebab - musabab yang jelas.
Rakyat Malaysia semua dapat menilai situasi sebenar hari penamaan calon itu di Permatang Pauh pada Sabtu 16hb. Ogos lalu, melalui gambar – gambar paparan media elektronik seperti televisyen dan U-tube, Sdr. Kamil merupakan salah seorang yang cuba sedaya - upaya untuk meleraikan insiden salah faham pergaduhan dicetuskan oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab.
Beliau (Sdr. Kamil) langsung tidak bertindak agresif atau mencederakan sebarang pihak. Sebaliknya Sdr. Kamil yang paling depan muncul untuk melindungi jurugambar daripada terus menjadi mangsa yang dikasari oleh pihak – pihak lain terlibat.
Tindakan berani dan pantas Sdr. Kamil untuk hadir ke IPD Sentul bersama peguam beliau Ngeow Chow Ying apabila mengetahui bahawa pihak polis telah mengedar gambar dan nama beliau dalam senarai yang dikehendaki berhubung insiden ini, patut dipuji dan diambil contoh tauladan. Ternyata Sdr. Kamil tidak takut kerana tiada apa perlu disembunyikan. Hanya patut memberi kerjasama secukupnya kepada polis agar siasatan lancar selesai.
Sebaliknya tindakan terburu-buru pihak berkuasa terus menahan Sdr. Kamil dalam lokap dan membawa beliau jauh ke Permatang Pauh semalam untuk meneruskan siasatan dilihat sebagai tindakan terburu – buru dan tidak profesional.
AMK Batu juga melihat tindakan ini dengan penuh tanda tanya. Tidak keterlaluan sekiranya rakyat Malaysia turut menilai polis seperti tidak sabar dan terus menjatuhkan maruah Sdr. Kamil seolah-olah beliau ialah pihak yang bersalah, dan tidak diberikan kredit serta layanan sebagai pembantu dan saksi penting pada siasatan. Skeptikal terhadap tindakan ini, AMK Batu membuat kesimpulan seperti ada arahan terburu - buru dan masih tertanya rasional perbuatan polis.
Malahan tidak keterlaluan juga jika orang awam melihat kes ini seakan hendak dieksploitasikan oleh pihak ketiga yang mempunyai kepentingan dalam pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Begitu laju dan besar ‘ kempen ‘ mencari pihak – pihak yang terlibat dan juga para saksi.
AMK Batu berharap agar isu ini selesai dengan seberapa segera dan Sdr. Kamil dilepaskan dari tahanan yang mencurigakan serta tidak adil ini.
Wakil pihak polis perlu tampil memberi penjelasan secukupnya berkaitan kes ini, dan melaporkan kepada khalayak ramai status keadaan Sdr. Kamil agar mendapat pembelaan yang telus dan mengikut prosedur perundangan yang sebenar.
ROZAN AZEN MAT RASIP
KETUA AMK Parti KeADILan Rakyat
BAHAGIAN BATU
No comments:
Post a Comment