Saturday, November 1, 2008

Kenyataan Media : Penurunan Harga Minyak RM 0.15 Tidak Ikut Harga Pasaran Semasa

Kenyataan Media.

31 Oktober 2008.

Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan (AMKWP)


Penurunan Harga Minyak RM 0.15 Tidak Ikut Harga Pasaran Semasa.

Pengumuman penurunan harga minyak oleh kerajaan berkuatkuasa tengah malam ini sebanyak RM 0.15/Liter menidakkan harapan rakyat terbanyak untuk melihat harga bahan api Malaysia berada pada paras yang lebih rendah mengikut harga pasaran semasa.

Harga minyak dunia sudah jatuh ke paras USD 66.00 Setong dan sekiranya kerajaan Malaysia benar ingin melihat harga bahan api ini kembali ke paras yang lebih rendah, AMKWP merasakan inilah masa yang paling sesuai. AMKWP mensasarkan harga minyak Malaysia berada pada paras RM 1.40/Liter dan mahu kerajaan Malaysia mengotakan janji untuk menyelaraskan harga minyak mengikut harga pasaran dunia.

Kerajaan mewarwarkan kepada rakyat mengenai subsidi RM 0.30 yang telah diberikan untuk pengguna. Walaupun sudah di tolak nilai subsidi RM 0.30 ini, harga yang patut rakyat bayar adalah RM 1.10 namun rakyat pula dipaksa membayar subsidi yang jauh lebih tinggi kepada kerajaan secara tidak sedar iaitu sebanyak RM 1.05 berdasarkan harga baru esok , RM 2.15/Liter.

AMKWP meminta kerajaan agar bersunguh memperhalusi harga minyak ini memandangkan keadaan ekonomi Malaysia sekarang amat teruk dan membimbangkan. Harga minyak adalah faktor utama dalam semua aspek kegiatan ekonomi dan inilah masa yang sesuai untuk kerajaan membuktikan negara pengeluar minyak seperti Malaysia dapat bersama rakyat menikmati hasil sumber alam ini.

Rakyat sudah muak dengan permainan kerajaan dengan pelbagai alasan untuk segera menurunkan harga minyak. Mengapa kajian perlu dilakukan hanya untuk menurunkan harga minyak sedangkan kerajaan begitu pantas menaikkan harga minyak tanpa banyak alasan . Kesannya sehingga hari ini, harga barangan melambung tinggi dan rakyat menanggung keperitan hidup .

AMKWP bertekad untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat hak mereka sebagai pengguna dan penduduk negara Malaysia, negara pengeluar minyak dunia. Perubahan kerajaan perlu dipastikan berjaya secara aman dan teratur agar rakyat Malaysia bebas dari kesengsaraan, Merdeka dari kezaliman.

Md Zaman Md Tasi
Ketua Angkatan Muda Keadilan
Wilayah Persekutuan

No comments: