Saturday, November 1, 2008

Jaminan Pak Lah Retorik Politik!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyambut baik pengakuan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan, Datuk Pahlawan Ramli Yusuff semalam yang mendedahkan bahawa beliau adalah pegawai kanan polis yang sedang disiasat berhubung dakwaan tidak mengisytiharkan harta bernilai RM27 juta.

Meskipun beliau menafikan dengan membuat penjelasan, pengakuan Ramli ini dialu-alukan, kerana beliau masih akur dan faham dengan nilai akauntabiliti dan integriti sebagai seorang pegawai polis dan penjawat awam.

AMK melihat sewajarnya sikap Ramli ini disusuli oleh ramai lagi pegawai tertinggi kerajaan dan elit politik yang berselindung daripada mengisytiharkan harta mereka kepada umum.

Dalam masa yang sama AMK ingin menyatakan kekesalan ke atas BPR dan PDRM yang bersifat mengancam Ramli dek kerana penyiasatan yang telah dijalankan di bawah seliaan Ramli ke atas kegiatan jenayah along yang turut melibatkan seorang individu bernama Goh Cheng Poh @ Tengku.

Disebabkan oleh sabitan yang dibuat berdasarkan kepada penyiasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) yang diketuai Ramli atas arahan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Johari Baharom, pemberi maklumat telah dibongkarkan identitinya oleh BPR kepada Peguam Negara yang membawa kepada beberapa implikasi, termasuklah dakwaan ke atas Ramli menyalahgunakan kuasa oleh CCID dalam tindakan pencegahan jenayah berhubung penahanan dan perintah buang daerah terhadap Goh Cheng Poh @ Tengku.

Ini membuktikan bahawa jaminan Abdullah dan BPR di dalam siasatan kes klip video skandal VK Lingam - Ahmad Fairuz bahawa saksi akan dilindungi adalah satu retorik untuk memerangkap saksi dan pendedah maklumat semata-mata.

Sewajarnya di dalam kes berprofil tinggi seumpama ini, adalah menjadi satu perkara utama keselamatan saksi perlu didahulukan. Tetapi, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila suspek, Cheng Poh, yang dibuang daerah sebelumnya disebabkan jenayah bunuh dan along, melakukan u-turn untuk mendakwa Ramli menyalahgunakan kuasa lantaran laporan media yang menyatakan Cheng Poh adalah ‘bersih’.

AMK turut menggesa kerajaan untuk menjawab beberapa persoalan yang timbul daripada kenyataan media yang dibuat oleh Ramli, khususnya identiti Goh Cheng Poh yang dikhuatiri mempunyai kaitan dengan pegawai tertinggi polis mahupun elit politik.

Ini berikutan keengganan Penasihat Undang-undang Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, seorang pegawai Pejabat Peguam Negara, yang enggan memberi nasihat dan sebaliknya mengarahkan Ramli dan pegawainya menyediakan afidavit mengenai kertas siasatan terhadap Goh, yang menyebabkan pegawai CCID terpaksa mendapatkan nasihat perundangan daripada sebuah firma guaman yang kemudiannya membantu mereka menyediakan draf afidavit tersebut.

Jelas, wujud satu kecelaruan yang ketara, yang membabitkan ‘kerjasama’ pegawai tertinggi PDRM, Jabatan Peguam Negara, dan pegawai tertinggi Kementerian Keselamatan Dalam Negeri!

Insiden ini begitu memalukan, dalam keadaan Abdullah Ahmad Badawi mengepalai Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Terbukti kini, Abdullah hanya memainkan retorika politik terbaru untuk menutup aib kerajaan, dan sekarang, bahu beliau terus terbeban untuk menjawab persoalan hasil daripada insiden ini.

Rakyat berhak merasa malu mempunyai sebuah kepimpinan negara yang cacamarba seumpama ini.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

No comments: