IPOH, 1 Feb: Kerajaan negeri Perak menuduh kemungkinan besar dua anggota Exco mereka 'diculik' oleh pihak-pihak tertentu dalam usaha untuk menggugat kerajaan negeri itu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin berkata, kedua-duanya sudah lima hari hilang dan tidak menyertai mesyuarat Exco terakhir minggu lalu.
Kenyataan ini dibuat beliau selepas mesyuarat Pakatan Rakyat Perak pagi ini bagi membincangkan kehilangan kedua-duanya sejak lima hari lalu.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar ketika dihubungi berkata, jika kedua-duanya menyertai BN sekalipun, kerajaan Pakatan di Perak masih kekal.
"Kita masih majoriti satu kerusi. Kalau BN berjaya mendapatkan seorang lagipun, kerajaan Perak akan kekal sebagai kerajaan minoriti sehinggalah ia dijatuhkan melalui sidang Dewan Undangan Negeri," katanya kepada Siasah.
Bagi beliau, dengan mood yang ada pada rakyat sekarang, agak pelik tindakan Umno mahu membeli kedua-dua Exco itu.
Ini kerana, walaupun kedua-duanya boleh dipujuk dan dibeli dengan isu dakwaan rasuah yang mereka hadapi tetapi langkah itu tidak akan menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan kerana Umno memerlukan sekurang-kurangnya tiga Adun untuk menjadikannya majoriti dalam Dun Perak.
"Untuk mendapatkan yang ketiga memang sukar bagi Umno sekarang tambahan dengan mood yang ada di kalangan rakyat negara ini.
"Lainlah kalau Umno bertindak begitu semata-mata untuk membalas dendam ekoran penyertaan (Datuk) Nasarudin (Hashim) ke PKR," kata Kamarudin.
Sementara itu, ramai tidak yakin Umno akan berusaha mendapatkan kedua-dua Exco itu menyertainya kerana jika Umno berbuat demikian terlalu jelas caranya iaitu memberikan janji untuk tidak mendakwanya di mahkamah ekoran dakwaan rasuah ke atas mereka berdua.
"Umno sudah buruk dengan isu rasuah. Jika dia cuba dapatkan kedua-dua Exco itu, semakin jelaslah kepada rakyat Umno memang rasuah dan peranan SPRM akan dipertikaikan," kata seorang penganalisa politik.
Namun, dengan (Datuk Seri) Najib (Razak) sendiri memimpin Umno Perak dia akan berbuat apa sahaja untuk menaikkan semula moral ahli-ahli Umno yang jatuh teruk sekarang, katanya lagi.
No comments:
Post a Comment