Pelancaran GMP di Sogo
Perjuangan GMP Mula Merakyat
SEMASA dalam perjalanan pulang dari menyertai dan menyaksi majlis pelancaran gerakan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matemetik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) - GMP di Sogo beberapa orang penjenguk blog Merah Tinta telah menghubungi saya bertanya kenapa tidak dikemaskan laporan mengenai perhimpunan mini yang diadakan di tepian kompleks itu sore tadi.
Beberapa penjenguk tegar itu tidak sabar untuk membaca ulasan dan pengamatan saya mengenai himpunan berkenaan. Mungkin mereka tidak puas hati mendengar laporan yang dibuat televisyen yang memberi gambaran himpunan berkenaan hambar dan tawar. Sikap rajin dan tidak sabar itu menunjukkan mereka juga prihatin kepada himpunan berkenaan.
Memang hajat saya, sebaik sampai di rumah saya mahu segera kemaskinikan blog dengan peristiwa berkenaan. Tetapi apa boleh buat kerana melencong ke tempat lain jadi masa terbuang di jalanan. Sebaik hendak pulang dua orang anggota polis tiba-tiba telefon minta minum dan makan mee rebut bersama mereka di sebuah kedai mamak di hadapan Sogo.
Agak satu jam setengah juga masa terbuang bersama dua anggota polis itu yang bertanya hal perkembangan politik semasa khasnya berhubung desas desus ada wakil rakyat akan melangkah ke parti lain dan juga minta pandangan dan ulasan mengenai masa depan parti Umno. Jadi hendak tak hendak terpaksa juga melayan pegawai polis berkenaan.
Manakala sebaik sampai rumah hampir Maghrib ada pula kawan datang jemput untuk ke masjid al Ridhwan di Hulu Kelang untuk mendengar syarahan pendakwa tersohor Indonesia, Aa Gymnastiar.
Bagi saya himpunan di Sogo petang tadi walaupun kecil (hambar) tetapi ia memberi erti dan signifiken tersendiri. Himpunan hari ini mencatat sejarah tersendiri kerana inilah kali pertama para pejuang bahasa Melayu turun ke kaki lima bagi menggerakan perjuangan mereka - meraih simpati dan sokongan orang ramai untuk GMP.
Sebelum ini mereka hanya melaungkan di langit biru saja, di dalam bilik hawa dingin ataupun bertengek di majlis-majlis anjuran NGO dan parti politik atau di bilik-bilik seminar atau konvensyen saja. Kali ini mereka sudah tidak boleh sabar dan turun sendiri ke bawah untuk mengajak rakyat bersama mereka. Apabila pejuang bahasa dan sastera sudah hilang sabar ia menandakan keadaan bahasa Melayu sudah begitu parah.
Saya sampai agak awal ke kompleks berkenaan sekitar jam 2:30 petang. Suasana masih lenggang menyebabkan saya melilau dalam kompleks beli belah berkenaan bersama isteri dan anak-anak. Saya sengaja membawa isteri dan anak kali ini untuk memberi peluang mereka melihat bagaimana satu himpunan memperjuangan bahasa ibunda mereka diadakan.
Selama ini anak-anak saya hanya membaca tulisan dan melihat gambar demonstrasi yang saya tulis dan rakam dalam buku-buku politik. Saya mahu biar mereka alami sendiri kehangatan sebuah perjuangan bangsa mereka. Dalam hati kecil saya meminta biarlah perhimpunan tadi ada ketegangan; maksudnya ada larangan oleh pihak polis. Saya mahu mereka - anak-anak saya merasai atau melihat bagaimana suasana perhimpunan yang diganggui polis.
Namun keadaannya sejuk dan dingin saja dan terkawal dengan baik. Jumlah polis hampir sama ramai dengan mereka yang menghadiri himpunan itu. Layanan polis juga baik dan mesra! PDRM telah menghantar dua orang pegawai berbangsa India untuk memantau himpunan tadi. Saya kira polis ada strateginya kenapa tidak hantar pegawai polis berbangsa Melayu.
Mungkin kalau polis mengirimkan pegawai berbangsa Melayu kekok juga untuk mereka bertindak jika perhimpunan itu melarat. Masakan polis berbangsa Melayu bersedia untuk menyuraikan perhimpunan yang bertujuan untuk memperkasakan bahasa mereka!
Dengan menghantar pegawai berbangsa India, mereka fikir tidak timbul masalah sebab polis itu berbangsa India! Tetapi sesuatu yang ironis berlaku petang tadi apabila menurut Hassan kedua pegawai polis berbangsa India itu mengucapkan tahniah kepadanya kerana menjadi penggerak GMP itu. "Polis ucap terima kasih kepada saya, you tulis ini," begitulah bisik Hassan kepada saya.
Dalam pemerhatian saya perhimpunan tadi memang tidak cukup tenaga. Apa lagi kalau dibandingkan dengan siri-siri himpunan tunjuk perasaan yang diadakan di tempat itu pada tahun 1998, jauh bezanya. Nampak sekali himpunan itu tidak diurus dengan baik. Tidak ada apa-apa kain pemindang atau sepanduk yang menjulang slogan membela bahasa Melayu kecuali sekeping Manila kad yang berbunyi "Jangan Bunuh Bahasa Ibunda", yang dibuat secara tergesa-gesa nampaknya.
Masa saya sampai jam 2:45 minit petang keadaan masih lenggang. Lima minit kemudian baru ternampak kelibat Hassan Ahmad sedang menaiki tangga kaki lima Sogo.
Kebetulan hujan turun renyai-renyai, langaknya macam orang larikan daripada hujan sahaja tidak ada gaya pun untuk berdemonstasi! Selepas itu baru kelihatan Ainon Mohamad, Dr Abdullah Hassan, Dr Shahrir Md Zain mendekati Hassan Ahmad.
Wartawan dan jurugambar juga mulai mengerumuni Hassan Ahmad dan ia secara tidak langsung telah membentuk satu kelompok. Polis yang sedia ada sejak dari jam 2:00 petang lagi menambahkan angka dan membesarkan lingkaran himpunan berkenaan.
Tanpa disedari majlis pelancaran GMP itu tiba-tiba diberitahu sudah selesai. Ia berlangsung dalam tempoh tidak sampai enam minit. Hassan sudah menyuraikan diri dan duduk untuk minum di warung berdekatan. Entah apa yang diperkatakan semasa pelancaran itu saya tidak tahu. Cuma sehelai kertas sebagai press release diedarkan kepada wartawan.
Semasa dimeja untuk minum, baru nampak tokoh-tokoh dan pejuang bahasa yang datang duduk mengerumuni meja. Antara mereka, Dr Anwar Ridhuan, Dr Awang Sariyan, Ahmad Razali, A Samad Said, Dinsman, Khalid Salleh, Pyan Habib, juga turut sama kelihatan. Beberapa professor dan mahasiswa dari universiti tempatan juga turut hadir sama.
Dalam pada itu saya tercari-cari pejuang-pejuang bahasa lain, daripada Gapena dan lain-lain tetapi tidak nampak. Mungkin waktu itu mereka belum sampai kerana terkadas dalam kesesakan jalan raya dan hujan. Dan paling mengejutkan apabila persatuan Bahasa Tamil dan Cina juga turut hadir memberi sokongan kepada gerakan itu.
Selepas para himpunan hendak bersurai ahli Parlimen Batu, Tian Chua muncul diikuti oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin dan beberapa aktvis dan reformis reformasi. Kehadiran mereka ini memberi semangat, hajat untuk bersurai tadi tidak jadi. Memang himpunan tadi tidak memuaskan terutama mereka yang pernah menyertai demonstrasi di era refomasi dulu. Tetapi seperti saya katakan, sebagai permulaan ia bolehlah dianggap berjaya. Bagi kelompok yang mahu belajar berdemostrasi dikira berjaya.
Sekurang-kruang himpunan sore tadi menunjukkan pejuang bahasa yang tidak berkepentingan dan mendapat apa-apa kontrak atau berangan-angan untuk menjadi senator dan wakil rakyat menerusi parti kerajaan sudah berani untuk turun ke bawah menggerak perjuangan mereka untuk memansuhkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matemetik dalam bahasa Inggeris. Syabas kepada semua pejuang bahasa ibunda.
No comments:
Post a Comment