Thursday, February 26, 2009

Jika Mahu Terus Jadi 'Lembu', SPRM Perlu Isytihar Jadi Parti Komponen Baru BN

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

25 Februari 2009


Jika Mahu Terus Jadi 'Lembu', SPRM Perlu Isytihar Jadi Parti Komponen Baru BN

Hari ini, Rabu bersamaan 25 Februari 2009, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengambil keputusan untuk menghadiahkan seekor lembu khusus buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda 'penghargaan yang tinggi' di atas 'kebebasan dan integriti' yang telah diamalkan oleh badan tersebut.

Semalam, tatkala menyampaikan ucapan perasmian pelancaran SPRM, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menggesa agar badan tersebut bersikap adil, saksama dan profesional dalam sebarang tindakan yang diambil bagi menjamin integriti dan imej badan tersebut sebagai sebuah badan bebas.

Tetapi sepanjang dua bulan berlalu sejak SPRM dinaik taraf menjadi sebuah suruhanjaya, pelbagai kecelaruan telahpun timbul. Dalam keadaan puluhan malah ratusan laporan rasuah yang dikemukakan kepada badan tersebut dibakulsampahkan tanpa sebarang status, dua laporan rasuah yang mengkal sifatnya yang merujuk kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim berikutan kes penyelenggaraan kenderaan peribadi beliau dan juga pengagihan lembu korban sempena Eiduladha tahun lepas di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Penyelewengan yang dilakukan oleh SPRM ini, sebagaimana yang telah ditegaskan oleh AMK beberapa hari lepas, sangat bertepatan dengan kronologi usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan beberapa siri percaturan jahat yang direncana oleh Umno-BN khususnya di Selangor.

Sebagai contoh dalam kes yang melibatkan rasuah oleh ADUN Umno-BN Lenggeng, Mustafa Salim dan juga kes rasuah politik pemilihan Umno yang melibatkan Ahli MT Umno, Norza Zakaria; kedua-duanya disorokkan identiti daripada pengetahuan umum. Bukan ini sahaja, malah banyak lagi kes yang telah dikemukakan baik oleh AMK mahupun komponen Pakatan Rakyat lainnya yang mempunyai asas yang kukuh dipinggir begitu sahaja tanpa sebarang status.

Tetapi dalam kes Tan Sri Khalid, dalam keadaan Kertas Siasatan yang masih berstatus rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), Ketua Pesuruhjaya SPRM telah bersifat mendahului mahkamah untuk memulakan pendakwaan ke atas Tan Sri Khalid. Sedangkan asas-asas yang dijelaskan SPRM sebagaimana yang dilaporkan oleh media arus perdana, lebih banyak memalitkan Umno-BN di atas penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana dan instrumen kerajaan yang berleluasa sejak 50 tahun lamanya.


Profesionalisme apa yang dijulang SPRM, dalam keadaan sebarang kes yang melibatkan ahli Umno-BN tidak didedahkan kepada umum, sebaliknya asal saja wujud satu kes - meskipun tidak berasas - yang melibatkan Pakatan Rakyat, maka gegak gempitalah seluruh Malaysia dengan canang SPRM untuk melakukan pendakwaan segera.

Justeru, lembu yang 'dihadiahkan' oleh AMK kepada SPRM ini bukanlah bersifat singgungan politik murah, sebaliknya ia perlu menjadi batu tanda dan pengajaran buat SPRM agar mereka tidak berterusan menjadi 'lembu yang dicucuk hidung' khususnya oleh Umno.

Ini juga wajar menjadi peringatan buat SPRM, bahawa sebarang salahlaku yang dilakukan oleh mereka tidak pernah padam daripada ingatan rakyat, dan akan terus menjadi bahan bualan di sana sini.

Tindakan demi tindakan yang dilakukan oleh SPRM atau dulunya Badan Pencegah Rasuah (BPR) jelas mengambarkan rendahnya profesionalisme mereka dalam usaha membasmi rasuah. Pendakwaan selektif yang berleluasa hanya memberi gambaran bahawa jenayah rasuah akan menjadi semakin parah dan rakyat akan terus teraniaya tanpa pembelaan.

AMK berpendapat, sekiranya SPRM terus-menerus merelakan diri mereka menjadi 'lembu' kepada Umno-BN, maka Ketua Pesuruhjaya SPRM wajar membuat perisytiharan agar SPRM akan didaftarkan menjadi satu komponen baru di dalam Barisan Nasional kelak.

Tidak ada gunanya sebarang penaiktarafan yang kelihatan indah di pandang mata, jika SPRM masih lagi bergelumang dengan salahlaku yang jelek dan berterusan menyalahgunakan kuasa mereka demi melampias hawa nafsu pimpinan Umno-BN.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


--
Biro Penerangan
Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat
Laman Web: http://angkatanmuda.org
Emel: penerangan@angkatanmuda.org
Laman Web Ketua AMK: http://shamsuliskandar.com

No comments: