Wednesday, November 18, 2009

Artikel yg. berikut telah disiarkan dalam akhbar KONSEP ERA PAKATAN (KEP) Bil.12 16-30 November 2009 m/s 10 Bahagian Rencana. Berikut adalah tulisan penuh tanpa suntingan editorial.

MASA DEPAN PENDIDIKAN BERSAMA PAKATAN RAKYAT
Oleh : ROZAN AZEN MAT RASIP


Meneliti sejarah pendidikan negara pasca-merdeka sentiasa berkembang dengan kejayaan-kegagalan sesuatu dasar implementasi. Tidak dapat diketepikan kebenaran pendidikan adalah mobiliti sosial penting dalam membentuk kesepaduan jamak budaya dikalangan rakyat. Dilihat dari konsep Teori Fungsionalisme, adalah difahami selain masyarakat dan media massa, institusi sekolah memainkan peranan kritikal mewujudkan kestabilan, perpaduan dan evolusi progresif sesebuah masyarakat madani.

Tuntutan perubahan sejak insiden 13 Mei 1969 memperlihatkan sistem persekolahan Malaysia diberi citra semangat baru dan identiti tersendiri dengan penyusunan semula pembelajaran kurikulum dan sokongan pembentukan kemahiran melalui kegiatan kokurikulum. Semuanya telah direncanakan berpaksikan ideologi Rukunegara.

Perkembangan semasa memperlihatkan Perdana Menteri Najib Razak secara tergesa-gesa mengumumkan sistem sekolah 1Aliran. Sebagaimana dijangka, respon segera rakyat terutamanya parti komponen BN adalah pelbagai dan tiada penyatuan mahupun persetujuan. Malahan majoriti rakyat menuntut penjelasan lanjut dan terperinci dalam memahami arah tuju sekolah 1aliran Najib Razak apabila mereka memperlihatkan sikap dingin. Kekhuatiran berulangnya kasus-kasus dasar pendidikan kerajaan yang longgar dan tiada objektif kekal sehinggakan mengganggu pembelajaran pelajar juga faktor pengaruh besar.

Walaupun begitu, fokus utama tulisan ini sebenarnya seruan pada semua komponen parti Pakatan Rakyat (PR). Sebagai pembangkang parlimen paling jitu dalam sejarah politik demokrasi Malaysia serta terbukti lebih kukuh membentuk persefahaman juga dalam menyelesaikan sebarang permasalahan kerjasama, adalah menarik dan perlu bagi PR mengusahakan formula dan segera tampil pakej yang lebih praktikal mengikut kesesuaian kehendak rakyat/pengundi. Ini agar PR tampak kehadapan dengan kerangka pendidikan yang senantiasa diletak sebagai wacana utama dan sebagai alternatif pembelajaran yang lebih ideal juga realistik.

Umum sedar bahawa ramai dikalangan pimpinan termasuk sympathizers pembangkang merangkumi tokoh-tokoh pemikir dan bekas tenaga pengajar (peringkat sekolah-IPTA). Termasuk adalah para pendukung berlatarbelakang profesional dan berpengalaman eksekutif merangka dasar-dasar pendidikan negara hampir sepanjang kerjaya mereka. Penulis melihat sekolah satu aliran merupakan ruang cabaran at par setanding dengan rekod kredibiliti intelegensia ini yang sememangnya dihargai sebagai aset penggerak-pengubah sosial dalam PR. Malah tidak keterlaluan dinyatakan topik sekolah satu aliran adalah mudah bagi pembangkang. Hanya tinggal proses memantapkan blueprint, diperkemaskan wawasan seterusnya halatuju sistem perlaksanaan tersendiri yang lebih efektif.

Pakatan Rakyat terutamanya PKR perlu melakar masa depan bangsa Malaysia dengan menjamin pendidikan percuma dan menjadikan mutu pendidikan sekolah, kolej dan universiti Malaysia terbaik di rantau Asia Tenggara (rujuk DSAI - LIMA JANJI SAYA – Harapan Baru Untuk Malaysia). Penilaian pasti turut diletakkan kepada kredibiliti Ketua Umum Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai mantan Menteri Pelajaran sekitar pertengahan 80’an selain mandat dan kapasiti beliau peneraju utama Ketua Pembangkang Parlimen.

PR harus lebih dinamik, matang menjadi juara dalam pendidikan (sekolah 1Aliran) yang diakui agak sensitif dalam konteks sejarah dikalangan rakan parti komponen. Ini kerana tiba masanya BN sekali lagi pasti memainkan isu perkauman mencabar PR agar tampil telus dengan point of view berbeda sekaligus unik berkait dengan pelan pendidikan selain modul BN. Sebagai mewakili kehendak serta kesejahteraan pendidikan rakyat, PR perlu menyahut cabaran ini sebagai para pemimpin bertanggungjawab dan amanah (taklif) sepenuhnya.

Kesimpulannya, penulis masih berharap agar objektif Seminar Menilai Dasar Penddikan Negara : Masalah serta Halatuju yang dianjur sekitar tahun 2001 dahulu menjadi realiti dengan kehendak-kesesuaian semasa. Konvensyen Pakatan Rakyat yang bakal berlangsung 18-20 Disember 2009 Shah Alam, Selangor depan pula diharap meletakkan keutamaan persoalan sekolah satu aliran versi PR sebagai salah satu agenda nasional PR dalam menyusun strategi dan pengisian menuju Putrajaya.

Penulis adalah graduan UIAM ijazah Sains Politik. Kini aktivis politik sepenuh masa serta pensyarah separuh masa. Diamanahkan jawatan Ketua AMK Cabang BATU dan Naib Ketua AMK WP.

No comments: