Artikel yg. berikut telah disiarkan dalam akhbar KONSEP ERA PAKATAN (KEP) Bil.12 16-30 November 2009 m/s 10 Bahagian Rencana. Berikut adalah tulisan penuh tanpa suntingan editorial.
SEKOLAH 1ALIRAN DAN PAKEJ RASUAH ILMU NAJIB
Oleh : ROZAN AZEN MAT RASIP
SEKOLAH 1ALIRAN DAN PAKEJ RASUAH ILMU NAJIB
Oleh : ROZAN AZEN MAT RASIP
Pendidikan melalui institusi persekolahan telah berjaya membuktikan ianya salah satu elemen memupuk perpaduan dan membina. Keberhasilan memecah serba sedikit stratafikasi sosial peninggalan penjajah British melalui dasar pecah dan perintah tidak dapat dinafikan. Namun perlanjutan pada perkembangan ini terganggu dengan kewujudan sekolah aliran jenis dan sekolah swasta walau dalam keadaan yang terkawal dan diterima positif atas sebab kontrak sosial.
Dalam percubaan mengubah kearah pembaikan pendidikan dan mengemaskini persefahaman kaum dengan gagasan sistem Sekolah 1Aliran, respon rakyat yang sepatutnya meyambut sebuah lagi tawaran mesra susunan dukungan konsep 1Malaysia Perdana Menteri Najib Razak menjadi seakan boomerang effect dalam cubaan menaja sokongan.
Ketika diumumkan, sayap pemuda Parti Gerakan dan MIC terus laju membantah perlaksanaan Sekolah 1Aliran. Telah dijangka dengan sikap lawan arus komponen BN berkenaan, umum tahu puncanya adalah pengamalan berterusan sektarianisme parti berlandaskan kepentingan perkauman dikalangan parti-parti BN. Sikap ini juga hasil pendidikan kerajaan BN yang gagal membentuk persefahaman yang bersepadu dalam pemikiran (menghapus prejudis perkauman) selain latar belakang dan gaya hidup politikus dikalangan BN.
Ditinjau dari perspektif politik, diyakini juga antara kekhuatiran Perdana Menteri Najib Razak adalah penerimaan khalayak umum terutamanya para ibu-bapa yang kritis terhadap implementasi dan perlaksanaan sistem persekolahan yang masih kabur itu. Najib Razak nyata terperangkap antara retorik gagasan 1Malaysia dengan sejarah serta budaya realpolitik BN yang diyakini tidak mampu mendukung impian beliau. Keharmonian dan perpaduan sekali lagi sekadar kosmetik bagi agenda sempit meraih populariti slogan walhal realiti KPI dinilai gagal menangani permasalahan pentadbiran serta penolakan kepercayaan oleh rakyat.
Mudah difahami apabila khalayak pengundi bimbang dan enggan diperdaya lagi setelah BN sering mencatatkan perlaksanaan dasar-dasar pendidikan dan sistem pembelajaran yang bermusim short-term dan tidak tersusun aplikasinya. Kasus-kasus tidak konsisten seperti Reformasi Pendidikan (ketika Najib Razak Menteri Pelajaran), Sekolah Bestari, Sekolah Wawasan, Sekolah Agama Rakyat (SAR) juga isu kuota, yuran serta kualiti graduan kolej persendirian dan UiTM tidak mampu untuk rakyat menanggung risiko lagi.
Ini belum melibatkan hal-hal berkait seperti ketelusan pemberian biasiswa, syarat ketat pinjaman dan ketidakadilan caj perkhidmatan serta tempoh pembayaran balik, sistem meritokrasi yang dipertikai ketelusan perlaksanaan, kadar pengangguran dan peluang pekerjaan lepasan bidang yang tidak terbela dipasaran kerjaya, peruntukan pendidikan kontroversial seperti Akta Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Akta Pendidikan 1996 (IPTS), sekadar menyebut beberapa contoh.
Semua ini harus dilihat sebagai pembaziran dan pemusnahan total masa depan anak bangsa Malaysia dengan tiada sikap akauntabiliti kerajaan BN. Merujuk kegagalan dasar PPSMI sejak 6 tahun lalu, seramai 1.8 juta murid terbabit dengan perbelanjaan wang RM 4.5 billion wang rakyat lebur. PPSMI (2003-2010) dikritik hebat kerana ianya merupakan ego kerajaan BN perlekehkan pandangan cerdik-pandai dan membelakangkan bantahan rakyat yang bimbang implikasi dasar berkenaan yang telah diduga merosakkan keseimbangan pembelajaran serta membelakangi martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (baca: bahasa perpaduan).
Sebagai rekod KPI mencabar pengumuman BN dalam mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperkuatkan Bahasa Inggeris, dua (2) buah sekolah luar bandar di Sabah mencatatkan kegagalan 100% pelajar UPSR tahun lalu manakala kegagalan terburuk para pelajar Melayu seramai 40 ribu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ujian SPM tahun 2000.
Juga menimbulkan perdebatan sub-isu Sekolah 1Aliran adalah kebebasan pembelajaran dalam bahasa ibunda dan masa depan sekolah aliran jenis kebangsaan. Tokoh veteran politik DAP dan kritik sosial terkenal Lee Ban Chen dalam pertemuan menyatakan sememangnya perpaduan boleh dicapai melalui sekolah satu aliran tetapi agak sukar dan perlu menghadapi pelbagai cabaran. “Ini adalah akibat sistem pendidikan yang begitu teruk dilaksanakan oleh BN dan tidak serius dalam sebarang pengumuman dan perlaksanaan berkaitan. Malah tiada sebarang perincian dan panel yang mantap dalam membentuk mahupun menjelaskan pelan sekolah satu aliran”.
Beliau yang juga bekas editor Sin Chew Jit Poh serta Setiausaha Eksekutif Dong Zong juga menyoal kejujuran komentar menyokong penghapusan sekolah pelbagai aliran dibuat seperti contoh tokoh akademik sejarah Prof. Khoo Kay Kim yang beliau lihat dengan penuh prejudis memandangkan kedudukan dan keselesaan tokoh dikritik itu dalam badan dan suruhanjaya lantikan berkepentingan kerajaan.
Kolumnis malaysiakini.com dan merdekaonline.com yang pernah ditahan ISA kerana Mogok Ladang Bukit Asahan dan Ladang Triang (1967-1974) ini juga menambah, “Kenyataan Khoo Kay Kim sering berubah dan tidak menampakkan hujah yang konstruktif membela idea Perdana Menteri.”
…bersambung dalam KEP Bil. 13
Penulis adalah graduan UIAM ijazah Sains Politik. Kini aktivis politik sepenuh masa dan pensyarah separuh masa. Diamanahkan jawatan Ketua AMK Cabang BATU dan Naib Ketua AMK WP.
No comments:
Post a Comment