Saturday, May 1, 2010

[AMK Malaysia] Kenyataan Media Ketua AMK Malaysia 29 April 2010

Kenyataan Media

29 April 2010

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) kesal dengan insiden yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid Amzah, pelajar berusia 15 tahun yang ditembak mati oleh polis pada 26 April 2010 yang lepas.

Insiden ini berlaku dalam keadaan kes yang melibatkan Norizan Salleh dan Allahyarham Tawfiq Noorzan masih gagal diselesaikan oleh pihak PDRM dan Kementerian Dalam Negeri. Apa yang lebih mengecewakan ialah tindakan pihak polis yang kelihatan bermain tarik tali dengan insiden sebenar yang membelenggu tiap-tiap kes.

Alasan berterusan yang diberikan ialah mereka 'hanya menjalankan tanggungjawab' yang menjadikan nyawa manusia sebagai galang ganti kecuaian mereka. AMK melihat pihak polis seolah-olah tidak belajar daripada kesalahan yang lepas. Justifikasi yang memuaskan secara berterusan gagal diberikan.

AMK mempersoalkan mengenai etika pengendalian kes-kes yang memerlukan tembakan dibuat seperti yang terkandung di dalam Arahan-arahan Tetap Ketua Polis Negara tidak diberi penekanan oleh anggota polis. Rentetan kes yang berlaku ini jelas menampakkan keperluan Kerajaan untuk menyegerakan kewujudan IPCMC sebagaimana yang didesak oleh Pakatan Rakyat sekian lama. Salahlaku polis semakin berleluasa, dan adalah sesuatu yang sangat malang sekiranya kes salahlaku polis juga disiasat oleh polis!

AMK, dengan solidariti Dewan Pemuda Pas Pusat serta Pemuda Sosialis DAP di bawah panji Pemuda Pakatan Rakyat dengan ini menggesa agar:

(i) Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, dan Ketua Polis Negeri Selangor meminta maaf kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah secara terbuka tanpa kompromi;

(ii) sebuah Suruhanjaya Bebas diwujudkan untuk menyiasat kes ini pada kadar segera; dan

(iii) Pemuda Umno-BN dan juga badan-badan pro-Melayu seperti Perkasa menyatakan ketetapan mereka mengenai kezaliman yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid ini,apakah mereka turut menentang atau bersetuju dengan pembunuhan beliau.

Sehubungan dengan itu, Pemuda Pakatan Rakyat dan badan-badan pertubuhan bukan kerajaan lainnya akan mengemukakan kes ini ke perhatian Suhakam pada hari Isnin, 3/5/2010, jam 2.30 petang agar desakan berterusan ke atas salah laku polis ini dapat dijana dan diperkukuhkan melalui insiden malang ini.


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments: