Saturday, May 1, 2010

[AMK Malaysia] Kenyataan Media Ketua AMK Malaysia : Kenyataan Musa Hassan Melampau, PM Najib Digesa Pecat KPN

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

30 April 2010

Kenyataan Musa Hassan Melampau, PM Najib Digesa Pecat KPN

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memandang serius akan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam respon beliau kepada media mengenai insiden tembakan ke atas Allahyarham Aminulrasyid Amzah beberapa hari lepas.

Kenyataan beliau, sebagaimana yang dipapar di beberapa media internet semalam dilapor seperti berikut:

"Jika anda tidak mahu polis menguatkuasakan undang-undang, cakap saja. Saya boleh arahkan anggota-anggota saya supaya jangan buat apa-apa termasuk memeriksa kenderaan atau menangkap Mat Rempit yang memandu tanpa lesen."

Kenyataan seumpama ini adalah jelas satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab, malah lebih memalangkan keluar daripada mulut seorang Ketua Polis Negara yang sepatutnya mengutamakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Kenyataan Musa ini menggambarkan seolah-olah rakyat dan media tidak mempunyai hak untuk mempersoalkan sekelumitpun kerja polis, dan rakyat perlu menerima seluruhnya tugas polis, walaupun berlaku cacat cela dan penyelewengan, tanpa kompromi.

AMK percaya bahawa persepsi rakyat ke atas polis sekarang berada di tahap yang mendukacitakan, rentetan pelbagai salah laku dan salah tindakan yang diambil, sekecil kes rasuah jalanan sehinggalah sebesar penglibatan Asiasoft, sebuah syarikat yang berpangkalan di Tel Aviv, Israel yang mempunyai akses ke dalam sistem maklumat PDRM.

Kes yang melibatkan A.Kugan (mati dalam lokap), A. Gnanapragasam (mati dalam lokap), Suwandi Ab Ghani dan Muhammad Azman Aziz (tembakan di program Bersih, Batu Buruk), Tawfiq Noorzan (tembakan di Perlis), A. Gnanapragasam (mati dalam lokap), Norizan Salleh (tersalah tembak), dan terbaru Aminulrasyid, menggambarkan berlaku kepincangan kepimpinan yang serius di dalam PDRM. Lebih mendukacitakan, kesemuanya berlaku di bawah kepimpinan Musa selaku Ketua Polis Negara. Dan kenyataan susulan
seperti di atas jelas menggambarkan bahawa beliau gagal menjulang aspirasi rakyat untuk dijamin keselamatan mereka sepenuhnya.

AMK menggesa Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk mengambilserius akan kenyataan ini. Kenyataan tersebut sangat berat dan AMK yakin betapa wujud keperluan yang mendesak agar Musa dipecat ataupun digantung tugas bagi menjamin profesionalisme dalam siasatan lanjut ke atas beberapa kes lain yang bersabitan.

AMK percaya, sekiranya Perdana Menteri masih serius dengan Program Transformasi Kerajaan dan juga NKRA yang dilaung-laungkan di bawah slogan "rakyat didahulukan", maka langkah pertama untuk menjayakan NKRA mengurangkan kadar jenayah, ialah memperkemas pengurusan dan kepimpinan polis dengan memecat Musa.

Rakyat akan memerhati, dan terus memerhati, apakah slogan yang menelan belanja puluhan juta ringgit ini benar-benar satu pelaksanaan, ataupun sekadar retorika politik.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

1 comment:

madbi said...

adala pulak ni amk yang kena dakwa menghasud...... menghasud pm supaya pecat igp kahkahkahkah!!!! siapla korang,igp boleh dakwa wooo bawah akta hasutan woooo....